Selasa, 22 Februari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


PBR bela rakyat miskin hidup selesa

Posted:

PBR bela rakyat miskin hidup selesa

PBR bela rakyat miskin hidup selesa

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Rumah bernilai RM33,000 sebuah yang diberikan secara percuma kepada penduduk miskin menerusi pendekatan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). - utusan/Torek Sulong


BACHOK 21 Feb. - Rumah yang lengkap kemudahan asas seperti elektrik dan bekalan air, sangat diperlukan oleh pasangan suami isteri bagi membesar dan mendidik anak-anak dengan lebih sempurna.

Rumah juga merupakan harta yang boleh diwarisi kepada anak-anak.

Namun, masih ramai penduduk di negeri ini terutama di kawasan luar bandar, tidak memiliki kemudahan tersebut akibat kemiskinan.

Bagaimanapun, hasil inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah (KKLW), berjaya mengubah kehidupan penduduk luar bandar.

Program Bantuan Rumah (PBR) yang dilaksanakan oleh kementerian itu memberi pembelaan kepada rakyat miskin menikmati kehidupan lebih selesa.

Di bawah program tersebut, mereka yang tidak memiliki rumah, dibina rumah baru berharga RM33,000 dan diberikan secara percuma.

Manakala rumah yang perlu dibaik pulih pula, dibaiki dengan peruntukan mengikut keperluan sewajarnya.

Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, dekat sini, misalnya, sebanyak 83 buah rumah disediakan untuk penduduk miskin membabitkan 39 rumah baru dan 44 rumah dibaik pulih oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri.

Langkah RISDA itu mampu melegakan penduduk miskin berkenaan kerana kini mereka dapat menikmati kehidupan lebih selesa berbanding sebelumnya.

Pengarah RISDA Kelantan, Zahari Mat Amin berkata, RISDA dipertanggungjawabkan menjayakan NKRA Kerajaan Persekutuan itu bagi kawasan Bachok untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan pembelaan dapat memiliki rumah lebih selesa di bawah PBR.

Katanya, sebuah rumah tiga bilik yang lengkap dengan ruang dapur dan bekalan eletrik sudah dianggap cukup selesa bagi penduduk miskin yang tinggal di luar bandar dan jauh daripada arus pembangunan.

"Siapa yang mampu memberi bantuan sebegitu kecuali Kerajaan Persekutuan yang sentiasa prihatin membela nasib rakyat. Hasilnya, 48,000 isi rumah di negeri ini mendapat manfaatnya," katanya pada majlis penyerahan kunci rumah kepada 83 penduduk miskin di Kampung Lati Hilir, dekat sini semalam.

Majlis penyerahan kunci itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang juga Ketua UMNO bahagian.

Pada majlis tersebut, seramai 10 penduduk miskin turut menerima sumbangan zakat.

Majlis itu turut diserikan program sambutan Maulidur Rasul serta kenduri rakyat yang dihadiri oleh pemimpin setempat.

Zahari berkata, sebanyak RM4.4 juta dibelanjakan bagi pembinaan 207 buah rumah di bawah PBR di daerah ini sepanjang tahun lalu, dengan RM1.7 juta daripadanya untuk kawasan Tawang.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, RISDA memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi membina 795 buah rumah termasuk rumah baru dan dibaiki pulih.

"Memiliki kediaman sendiri merupakan langkah pertama untuk golongan miskin tegar ini keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Sementara itu, seorang penerima rumah PBR di Kampung Lati Hilir, Yussof Ibrahim, 57, menambah, rumah yang 'dihadiahkan' oleh Kerajaan Persekutuan itu akan memberi keselesaan kepada enam orang anaknya untuk belajar.

"Inilah hadiah paling besar untuk saya yang bekerja kampung dan tidak mampu membina rumah sendiri disebabkan tiada sumber kewangan yang mencukupi," kata bapa tunggal itu.

Ujarnya, beliau sebelum ini hanya menyewa sebuah rumah kecil di Kampung Tepuh yang terletak agak jauh daripada saudara-maranya.

Bagaimanapun, katanya, hasil perjuangan pemimpin UMNO setempat, kini dia dapat memiliki rumah baru berhampiran saudara-maranya di Kampung Lati Hilir di sini.

Warga emas, Habsah Hamzah, 61, dari Kampung Cherang Hangus pula berkata, rumah baru itu akan membolehkannya menghabiskan sisa-sisa hidup dalam keadaan lebih selesa.

Katanya, tawaran untuk mendapatkan bantuan rumah tersebut dimaklumkan oleh pemimpin setempat apabila mendapati beliau tinggal di rumah yang kecil dan sempit bersama beberapa orang anak dan cucu.

"Saya amat bersyukur kerana masih ada yang sudi membela keluarga kami yang miskin. Siapa yang sanggup membelanjakan RM33,000 untuk memberi keselesaan kepada kami kecuali kerajaan yang ingin melihat rakyatnya tidak terus hidup dalam kesusahan," katanya sayu.

Bagi Hanisah Mamat, 53, pula, dengan adanya rumah itu, beliau sekeluarga akan dapat menjalani kehidupan lebih selesa dan tidak perlu lagi berteduh di pondok usang di kampung Haji Rani, dekat sini.

"Saya berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan melalui RISDA membina sebuah rumah tiga bilik lengkap dengan bekalan air dan elektrik. Ini akan membolehkan kami hidup lebih selesa dan berupaya mengubah nasib anak-anak," katanya.

Seorang buruh kasar, Mat Yut Sulaiman, 48, dari Kampung Pangkalan Petah pula tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dengan pemberian rumah baru itu bagi menggantikan rumah papan miliknya yang semakin uzur.

"Ini semua hasil perjuangan dan keprihatinan pemimpin masyarakat yang sentiasa prihatin membela nasib penduduk. Saya cukup terharu kerana ini adalah hadiah cukup berharga untuk kami sekeluarga," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bantuan RM1 juta buka tadika

Posted:

Bantuan RM1 juta buka tadika

Bantuan RM1 juta buka tadika

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Mohd. Fatmi Che Salleh (kiri) menyampaikan Bantuan Yuran Murid Prasekolah Swasta di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 21 Feb. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan modal sebanyak RM1 juta sebagai menggalakkan usahawan muda terutama lepasan universiti yang berminat untuk membuka tadika di seluruh negeri ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh berkata, setiap peserta terbabit akan diberikan modal permulaan sebanyak RM10,000 bagi memulakan operasi tersebut.

"Peruntukan ini melibatkan sebanyak 100 buah tadika di seluruh negeri ini. Untuk makluman setakat ini, kita telah pun menerima 20 permohonan dari kawasan Kota Bharu," katanya.

Beliau menjelaskan demikian selepas menyampaikan Bantuan Yuran Murid Prasekolah Swasta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Chat, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussain Awang, Ketua Sektor Unit Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPN Kelantan, Nasrudin Talib dan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Abd. Aziz Daud.

Mengulas mengenai bantuan yuran prasekolah swasta, Mohd. Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM228,450 kepada 641 penerima dari 55 tadika di seluruh daerah ini.

"Setiap pelajar akan menerima sumbangan RM450 meliputi yuran selama tiga bulan iaitu Ogos, September dan Oktober tahun lepas. Untuk tahun ini, kita akan salurkan mengikut kadar sebenar yuran sesebuah tadika,'' ujarnya.

Mohd. Fatmi menjelaskan, ia merupakan program baru dihasilkan melalui makmal NKRA yang meletakkan sasaran meningkatkan tahap perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di peringkat prasekolah.

"Buat masa sekarang, berdasarkan maklumat yang kita dapati di makmal NKRA, hanya 67 peratus sahaja rakyat negara ini menghantar anak-anak mereka untuk mendapat pendidikan awal di tadika dan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) ialah untuk meningkatkannya kepada 87 peratus menjelang 2012.

"Oleh itu antara usaha yang dibuat kerajaan ialah memberikan bantuan yuran tadika itu sendiri supaya dapat menggalakkan orang ramai menghantar anak-anak ke tadika swasta," ujarnya.

Tambahnya, selain itu, langkah ini juga antara strategi yang dapat membantu menjana ekonomi selain memberi peluang kepada tadika swasta.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

5,774 calon STPM lulus penuh

Posted:

5,774 calon STPM lulus penuh

5,774 calon STPM lulus penuh

KOTA BHARU 21 Feb. - Sebanyak 5,774 pelajar atau 96.23 peratus daripada 6,000 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh negeri ini mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, 3,365 calon atau 56.08 peratus mendapat empat dan lima prinsipal berbanding 3,245 pada tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh telah mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 92.49 peratus.

"Pada tahun ini sekali lagi negeri Kelantan mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

''Pelajar itu ialah Ahmad Syakirin Johari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Pasir Puteh dianugerahkan salah seorang pelajar cemerlang peringkat kebangsaan kategori calon istimewa dengan keputusan tiga prinsipal A, satu prinsipal A- dan satu prinispal B-.

"Seorang lagi calon kurang upaya dari sekolah yang sama iaitu Mohd. Hanif Hafizi yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah turut mencatatkan keputusan cemerlang dengan 5 prinsipal iaitu 1A, 3A- dan 1D," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pelajaran Negeri di sini hari ini.

Hussain berkata, 18 buah sekolah daripada 59 buah sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya mencapai keputusan 100 peratus dalam peperiksaan STPM tahun 2010.

Sekolah-sekolah tersebut ialah, SMK Sultan Ismail, SMK Dato' Ahmad Maher; SMK Kubang Kerian (2); SMK Agama Naim Lilbanat; SMK Zainab (1); SMK Ismail Petra; SMK Badak; SMK Agama Falahiah, Pasir Pekan; SMK Bachok dan SMK Tanah Merah (2).

SMK Perempuan Pasir Mas; SMK Mahmud Mahyiddin, Pasir Pekan; SMK Pahi; SMK Kampung Laut; SMK Tanah Merah (1); SMK Kubang Bemban; SMK Kamil; SMK Dato' Perdana dan SMK Ismail Petra.

Tambahnya, seramai 18 calon sekolah bantuan kerajaan telah memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 iaitu enam di Kota Bharu, tiga calon di Pasir Mas, dua calon di Pasir Puteh dan satu calon di Tumpat.

"Saya mewakili warga pendidik seluruh negeri Kelantan mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua pihak terutama para pendidik, ibu bapa dan masyarakat amnya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan