Utusan Online - Selatan |
- Penduduk lega Buyong Gagu dipindah
- Lima pesara berputih mata tunai umrah
- Wang pinjaman lesap, peniaga tanggung hutang
Penduduk lega Buyong Gagu dipindah Posted: Penduduk lega Buyong Gagu dipindahOleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
JELEBU 24 Feb. - Penduduk Kampung Gagu dekat sini kini boleh menarik nafas lega apabila gajah jantan liar di Hutan Simpan Gapau yang didakwa menceroboh penempatan dan kebun penduduk kampung berjaya dipindahkan, hari ini. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Datuk Siow Chen Pin, kebimbangan yang menghantui penduduk berakhir apabila gajah itu dipindahkan ke Taman Negara Tasik Kenyir, Terengganu melalui operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dengan kerjasama Pusat Konsoversi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang. "Pemindahan ini sekali gus menamatkan kebimbangan penduduk setempat yang beberapa kali melihat gajah ini memasuki kampung mereka. "Meskipun kehadirannya tidak pernah mendatangkan kecederaan kepada penduduk, namun mereka bimbang haiwan itu mungkin merosakkan harta benda selain mengakibatkan kemalangan maut," katanya ketika ditemui di Hutan Simpan Gapau, dekat sini hari ini. Beliau berkata, gajah yang diberi gelaran Buyong Gagu itu sudah beberapa kali menceroboh kawasan kampung tersebut dan paling terbaru adalah pada 12 Februari lalu. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gagu, Mohd. Saad Haron berkata, kini keselamatan serta tanaman penduduk lebih terjamin. "Ini kerana gajah jantan ini telah beberapa kali memasuki kampung ini dan bertindak merosakkan tanaman di kebun penduduk setempat. "Habis semua tanaman dirosakkan terutamanya buah-buahan pasti menjadi sasarannya," katanya. Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohd. Zamri Zakaria memberitahu, dusun miliknya musnah akibat diceroboh oleh gajah jantan liar itu. "Habis semua tanaman seperti cempedak dan durian di dusun saya musnah dikerjakannya, bukan sahaja dimakan hasil tanaman saya tetapi pokok turut ditumbangkan," katanya. | ||
Lima pesara berputih mata tunai umrah Posted: Lima pesara berputih mata tunai umrah
SEREMBAN 24 Feb. - Hasrat hati lima pesara kerajaan ingin berlepas ke Tanah Suci Mekah pada Mac tahun lalu untuk menunaikan umrah tidak kesampaian gara-gara wang mereka 'dilarikan' ejen pakej ibadat itu. Ejen terbabit yang merupakan seorang wanita dikatakan menawarkan membawa mereka menunaikan umrah sebelum menghilangkan diri bersama wang RM23,560 yang sudah dibayar oleh pesara terbabit. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Negeri Sembilan yang mendengar tuntutan wakil kumpulan itu, Abdul Rahim Che Din, 61, hari ini memutuskan agar tuntutan itu difailkan semula dengan lebih terperinci selepas mendengar aduan mereka. Dalam aduannya, Abdul Rahim memberitahu tribunal, pada Januari tahun lalu, mereka telah menemui seorang wanita yang dikenali sebagai Normah Yaakub di Kuala Lumpur yang menawarkan pakej umrah dengan bayaran RM5,880 seorang. Katanya, wanita itu menawarkan pemergian umrah pada Mac tahun yang sama melalui sebuah syarikat pelancongan yang beribu pejabat di sini. Menurutnya, mereka kemudian membuat bayaran pendahuluan RM1,000 seorang secara tunai manakala bakinya melalui akaun bank atas nama wanita terbabit. Pesara itu diberikan resit atas nama syarikat Anjung Warith Holidays Sdn. Bhd. yang turut tertera cop syarikat yang didakwa menjalankan pakej umrah tersebut. ''Bagaimanapun, dua hari sebelum tarikh sepatutnya pergi mengerjakan umrah iaitu pada 16 Mac tahun lalu, kami dihubungi wanita itu yang memberitahu jadual perjalanan itu terpaksa ditangguhkan selama dua minggu kerana belum memperoleh visa daripada Arab Saudi. ''Penangguhan itu berlaku sebanyak tiga kali sebelum kami gagal menghubunginya sehingga kini,'' katanya. Mereka menamakan Ifwat Trans Travel & Tours Sdn. Bhd. (Ifwat) yang beribu pejabat di sini sebagai pihak yang dituntut. Pengarah Eksekutif Ifwat, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff yang hadir pada prosiding itu dalam pembelaannya memberitahu, wanita tersebut telah menggunakan nama Ifwat untuk memperdaya semua mangsa kerana syarikat itu tidak pernah menawarkan pakej umrah kepada mana-mana pihak. Menurutnya, syarikat juga tidak pernah mengambil wanita itu sebagai ejen atau pekerjanya. ''Saya bersimpati dengan semua yang terlibat tetapi saya percaya mereka ditipu oleh wanita itu,'' katanya. | ||
Wang pinjaman lesap, peniaga tanggung hutang Posted: Wang pinjaman lesap, peniaga tanggung hutangMELAKA 24 Feb. - Sudahlah wang hampir RM15,000 yang dipinjam daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) tidak sampai ke tangan, malah sepasang suami isteri terpaksa pula membayar ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan sejak hampir dua tahun lalu. Itulah nasib yang menimpa Jabidah Suhadi, 50, dan suami, Rosli Wahab, 51, yang bukan sahaja buntu memikirkan mengenai kehilangan wang tersebut, malah terpaksa melupakan hasrat menaik taraf kedai makan mereka menggunakan wang pinjaman itu. Menurut Jabidah, semuanya bermula pada November 2008 ketika dia membuat permohonan pinjaman daripada TEKUN dengan tujuan menaik taraf kedai makannya di Batu Berendam di sini. Menurutnya, sebaik sahaja menerima cek bernilai RM14,852.56 daripada TEKUN, dia segera memasukkannya ke sebuah bank di Malim Jaya pada 17 November 2008 dan tidak sabar menunggu tiga hari bagi mendapatkan wang tersebut. "Saya terkejut apabila memeriksa akaun pada 24 November dan mendapati jumlah tersebut tiada dalam akaun bank. Bimbang terjadi sesuatu, saya menghubungi TEKUN dan mereka mengatakan mustahil wang berkenaan masih belum dimasukkan ke dalam akaun saya," katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela), di sini semalam. Menurut Jabidah, dia yang masih tidak berpuas hati memeriksa akaunnya sekali lagi dan terkejut apabila mendapati ia hanya mengandungi RM4,863 dan bukannya RM14,852.56. "Saya cuba periksa sekali lagi dan dalam tempoh 10 minit sahaja kesemua wang di dalam akaun saya hilang begitu sahaja," katanya yang terkejut dengan kejadian itu. Menurutnya, dia membuat laporan di bank berkenaan dan institusi kewangan itu mengesahkan terdapat dua transaksi berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit sahaja pada hari berkenaan iaitu 19 November 2008. Katanya, untuk transaksi pertama sebanyak RM9,996.27 dikeluarkan dan dihantar ke akaun seseorang yang berada di Sawahlunto, Indonesia. Katanya, selepas itu, sebanyak RM4,863 dikeluarkan menerusi perkhidmatan sistem dalam talian. "Memang saya tak pernah tahu cara menggunakan sistem itu, bagaimana saya mahu mengeluarkannya," katanya. Menurutnya, dia sehingga kini masih gagal mendapatkan penjelasan daripada pihak bank. "Sehingga kini, saya terpaksa menjelaskan sebanyak RM200 sebulan kepada pihak TEKUN untuk melangsaikan pinjaman ini," katanya. Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Bank Negara Malaysia dan meminta pengadu merujuk kepada bank terbabit untuk tindakan selanjutnya. Katanya, perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati jika membuat pemindahan wang secara dalam talian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan