Utusan Online - Utara |
- 377 graduan OUM terima diploma
- Hapuskan jenayah seksual
- Bersedia sahut cabaran, bersaing dunia luar - Dr. Ahmad Fairuz
377 graduan OUM terima diploma Posted: 377 graduan OUM terima diplomaOleh ABD. RAZAK OSMAN
KEPALA BATAS 22 Feb. – Seramai 377 graduan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menerima diploma sempena Majlis Penganugerahan Diploma Profesional OUM di Dewan Milenium, di sini baru-baru ini. Antara yang menerima anugerah berkenaan adalah graduan Diploma Profesional Pengurusan Acara, Diploma Profesional Pengurusan Hospitaliti, Diploma Profesional Pengurusan Pelancongan, Diploma Profesional Seni Kulinari dan Diploma Profesional Pengurusan Peruncitan. Lima graduan dipilih menerima Anugerah Graduan Terbaik iaitu Fadzlina Isa (Pengurusan Acara), Zanariah Kamis (Hospitaliti), Zainul Abidin Ahmad Mohd. Isa (Pelancongan), Ahmad Zairul Azli Zakaria (Peruncitan) dan Khor Boon Hai (Seni Kulinari). Anugerah disampaikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Penasihat Pembangunan Koridor Negara. Hadir sama Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak. Ketika berucap pada majlis itu, Abdullah berkata, mereka yang lulus dalam bidang pengajian masing-masing boleh memainkan peranan penting dalam menjayakan pembangunan Koridor Utara meliputi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan kawasan utara Perak. ''Keadaan pembangunan di tempat ini semakin pesat terutamanya dalam bidang pertanian, pembuatan dan perkhidmatan dan kita yakin ia akan terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya. Abdullah berkata, dalam bidang pelancongan, lebih 4.8 juta pelancong datang setiap tahun di negeri-negeri berkenaan dan ia merupakan peluang besar kepada graduan terbabit untuk mengisi peluang pekerjaan yang dijana. ''Bagi memenuhi keperluan itu, NCIA perlu melakukan sesuatu yang lebih baik dengan meningkatkan keperluan pasaran kerja kepada penduduk tempatan," kata beliau. Seorang penerima diploma itu, Zanariah Kamis, 32, dari Lubuk Banting, Padang Menora ketika ditemui berkata, dia gembira kerana berjaya menamatkan pengajian itu dalam masa 10 bulan sahaja. ''Dengan adanya diploma ini, saya harap boleh mendapat kerja yang lebih baik termasuk di bahagian perhotelan selepas ini," katanya. | ||
Posted: Hapuskan jenayah seksualGEORGETOWN 22 Feb. – Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (DPCPP) akan menganjurkan kempen Hapuskan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebagai satu usaha untuk menimbulkan kesedaran orang ramai bagi membanteras jenayah itu. Pengerusi Bahagian Usahawan Muda DPCPP, Oon Weng Boon berkata, kempen itu yang akan diadakan sepanjang tahun ini akan dilancarkan Sabtu ini di kompleks membeli-belah 1st Avenue. Menerusi kempen itu, katanya, pelbagai aktiviti akan diadakan di beberapa tempat tumpuan orang ramai di seluruh negeri seperti persembahan bergerak di kompleks membeli -belah dan pasar malam serta ceramah di kawasan perumahan dan di tempat kerja. "Kami terpanggil untuk menganjurkan kempen ini kerana jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat dan menurut laporan dalam tempoh enam tahun iaitu dari tahun 2001 sehingga 2007, jenayah itu didapati meningkat sebanyak 200 peratus di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Oon berharap orang ramai memberi sokongan dan kerjasama untuk menjayakan kempen itu dengan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang kempen itu. – BERNAMA | ||
Bersedia sahut cabaran, bersaing dunia luar - Dr. Ahmad Fairuz Posted: Bersedia sahut cabaran, bersaing dunia luar - Dr. Ahmad Fairuz
SINTOK 22 Feb. - Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tun Dr. Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim mengingatkan para graduan universiti itu agar sentiasa bersedia berdepan dengan persaingan dunia luar yang cabarannya agak berbeza dengan kehidupan kampus. Beliau berkata, ilmu yang diperolehi di universiti dalam bentuk ilmu atau pengalaman, boleh dijadikan bekalan bagi mengemudi kehidupan pada masa akan datang. "Oleh itu, segala cabaran perlu ditangani dengan bijaksana bagi menggambarkan nilai intelektual dan kematangan apabila keluar dari menara gading. "Universiti bukanlah semata-mata pusat melahirkan tenaga manusia berkualiti, tetapi ia juga membentuk manusia yang mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab nasional untuk membina masyarakat yang stabil, aman damai dan bersatu padu," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-23 Sidang Kedua, Sesi Kelima dan Keenam di sini Sabtu lalu. Konvokesyen tersebut diadakan bagi menggantikan majlis konvokesyen yang terpaksa ditangguhkan pada 2 November lepas akibat bencana banjir melanda Kedah. Ahmad Fairuz berkata, universiti berperanan besar kerana dapat memberikan sumbangan terhadap perkembangan dan kemajuan tenaga manusia serta berusaha menggerakkan proses pembaharuan demi kemajuan negara bangsa. "Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme dan universiti boleh memainkan peranan penting kerana pendidikan merupakan mekanisme penting dalam membina negara bangsa yang mempunyai acuan sendiri," katanya. Justeru itu, katanya, para graduan harus membina suatu tekad yang tinggi bukan menjadi beban kepada negara kerana mereka dilahirkan untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. Beliau turut mengingatkan para graduan untuk terus membina tradisi muafakat yang lebih kental dan menyeluruh supaya proses membina negara bangsa boleh berlaku dengan melibatkan semua pihak. Tambah beliau, graduan dinasihatkan supaya terus bersaing dan sentiasa sensitif kepada segala perkembangan di seluruh pelosok dunia kerana pengetahuan yang kukuh akan dapat melahirkan graduan berkaliber. "Justeru itu, para graduan juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kepakaran tertentu malahan acuan minda ke arah high thinking order amatlah diperlukan bagi menentukan pendekatan untuk mencapai kelebihan dalam persaingan menjadi lebih efektif," katanya. Menurut beliau lagi, kasih kepada bangsa hendaklah diperkasakan dengan peranan graduan sebagai warganegara untuk turut sama menyumbang berasaskan kebolehan, kelayakan dan kepakaran yang ada pada mereka. "Melalui kurikulum dan kokurikulum di universiti, para graduan merupakan alat sosialisasi bagi melahirkan golongan yang mempunyai sikap rasional dan bertoleransi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan