Utusan Online - Utara |
Posted: Laksa sate kian popularOleh JAMLIAH ABDULLAH
ALOR SETAR 24 Feb. - Pernahkah anda menikmati laksa yang dihidangkan bersama sate? Dua juadah popular orang Malaysia itu dihidangkan dalam satu pinggan menimbulkan rasa lemak, manis, pedas dan ia sememangnya 'eksotik'. Mungkin kombinasi makanan tersebut agak pelik bagi kebanyakan orang, namun bagi penduduk negeri ini menjamah laksa bersama sate dan kuahnya adalah satu kebiasaan. Malah, kerana keunikan rasa dan keenakannya, hidangan itu semakin menjadi perhatian masyarakat seperti kata orang, belum rasa belum tahu, sekali rasa sepinggan tidak cukup. Lantas jika berkunjung ke bandar ini jangan lupa menjenguk gerai Laksa Buluh 5 di pasar pagi Simpang Empat yang cukup terkenal dengan juadah laksa sate. Pemilik gerai tersebut, Yusof Arifin, 56, berkata, hidangan laksa bersama sate serta kuahnya merupakan resipi keluarganya turun temurun iaitu sejak tahun 40-an. "Hari ini semakin ramai yang suka hidangan sebegini baik penduduk Kedah mahupun dari negeri lain. "Mula-mula bagi yang tidak pernah mencuba mungkin agak pelik tetapi bila sudah cuba, insya-Allah akan mahu lagi," kata Yusof. Katanya, laksa yang menggunakan ulam istimewa seperti daun putat itu dijual pada harga RM2 sepinggan sementara sate 30 sen secucuk. "Selalunya untuk sepinggan laksa saya hidangkan bersama lima cucuk sate ayam atau daging mengikut selera pelanggan," katanya ketika ditemui di gerainya itu baru-baru ini. Bagi perniagaan tersebut kata Yusof, dia dibantu oleh saudaranya, Ismail Mahmud, 56, yang membekalkan sate. "Sudah lama kami berniaga bersama di pasar malam atau pekan sehari kami akan berniaga bersebelahan," katanya lagi. Yusof menambah, selain Simpang Empat, pasar malam dan pasar pagi di beberapa pekan kecil di daerah ini dan Pendang seperti Tokai, Kuala Sala dan Kota Sarang Semut menjadi lokasi mereka. Kata Yusof, dalam sehari dia mampu menjual daripada 40 hingga 50 kilogram laksa bersama 1,000 hingga 2,000 cucuk sate. "Bergantung kepada hari-hari tertentu misalnya kalau hari cuti sekolah atau musim perayaan jualan akan bertambah," katanya. Bercerita lanjut katanya, dia pernah menerima pelanggan dari Selangor dan Perlis yang sanggup berjalan jauh untuk membeli laksanya. "Seperti orang lain mereka mendengar tentang laksa sate ini daripada mulut orang yang pernah mencubanya. Jadi bagi yang hendak cuba rasa laksa dimakan bersama sate datanglah," celotehnya lagi. Menurut salah seorang pelanggannya, Rokiah Razak, 56, gerai laksa sate itu memang tidak asing lagi baginya. "Setiap hari Khamis pasti akan ke sini untuk makan laksa sate ini. Saya suka laksa bersama sate ayam kadang-kadang sepinggan tidak cukup bungkus bawa pulang lagi. "Rasanya memang lain kerana kuah sate bercampur dengan kuah laksa itu lemak dan pedas sedikit. Itu yang sedapnya," katanya. Seorang lagi pelanggan, Hamidah Abdul Wahab, 26, berkata, dia mendengar cerita tentang laksa sate tersebut daripada salah seorang anggota keluarganya beberapa tahun lepas. "Betul kata orang sekali cuba memang nak lagi. Rasanya lain sangat itu yang buat laksa sate ini berbeza," katanya lagi. Bagi penulis sendiri, laksa sate memang unik dan sedap terutama ketika mengunyah laksa bersama sate serta kuah yang telah bergaul dengan kuah kacang. | ||
Posted: 20 peniaga hilang pendapatan Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI 24 Feb. - Lebih 20 penjaja kecil di Seksyen 1 dan Seksyen 3 Bandar Puteri Jaya dekat sini mendakwa hilang sumber pendapatan berikutan tidak lagi dibenarkan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) menjalankan perniagaan di bahu jalan. Menurut mereka, perniagaan yang dijalankan di bahu jalan tidak mengganggu lalu lintas kerana hanya beroperasi antara pukul 7 hingga 11 pagi serta pukul 2 hingga 6 petang setiap hari. Wakil peniaga, Azmi Salleh, 54, berkata larangan yang dikeluarkan Isnin lalu dilakukan secara drastik dan menutup 'periuk nasi' mereka kerana ia satu-satunya punca pendapatan sejak tujuh tahun lalu. "Kami terkilan kerana perintah larangan berniaga dibuat dalam tempoh cukup singkat. Lebih kecewa, tiada tapak alternatif disediakan untuk kami yang kesemuanya merupakan peniaga kecil bumiputera," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Azmi, para peniaga terbabit hanya dimaklumkan secara lisan oleh penguat kuasa MPSPK atas beberapa alasan. "Antara alasan yang diberikan ialah rungutan pengguna jalan raya berhubung kesesakan lalu lintas serta aduan daripada peniaga premis tetap yang mengatakan mereka terjejas kerana kami berniaga di sini," katanya. Tambahnya, kebanyakan penjaja tersebut menjalankan operasi mereka sejak 2004 iaitu semasa perumahan berkenaan baru dibuka. "Kami berharap MPSPK boleh beri sedikit pertimbangan kerana sebelum ini peniaga telah memohon tapak di Arked Medan Selera Bandar Puteri Jaya tetapi gagal," katanya. Sementara itu Ahli Majlis MPSPK, Ishak Man ketika ditemui berkata, pihaknya bersimpati dengan peniaga berkenaan dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian masalah itu. "Kita akan berusaha menempatkan peniaga terbabit di tapak baru selepas membawa masalah mereka untuk diberi perhatian dalam mesyuarat MPSPK tidak lama lagi," katanya. Selain itu jelasnya, pihaknya juga akan melakukan bancian terperinci serta mengeluarkan lesen peniagaan kepada penjaja terbabit agar mereka boleh beroperasi secara sah pada masa akan datang. | ||
28 tahun tunggu masih belum dapat duduki rumah Posted: 28 tahun tunggu masih belum dapat duduki rumah
GERIK 24 Feb. - Impian 18 pembeli rumah teres di Taman Intan Permata di sini untuk memiliki kediaman sendiri masih belum tercapai meskipun sudah menunggu hampir 28 tahun. Malah, ada antara mereka yang sudah melunaskan kesemua hutang rumah tersebut tetapi masih gagal mendiami premis berkenaan sehingga sekarang. Seorang pembeli rumah tersebut, Abd. Halim Darus, 58, yang merupakan pesara tentera berkata, kediaman tersebut dijual pada 1983 dengan harga RM25,000 seunit untuk bumiputera dan RM35,000 untuk bukan bumiputera. Namun katanya, projek pembinaan rumah yang sudah siap 65 peratus dan dibangunkan oleh pemaju beribu pejabat di Lahat itu dihentikan secara tiba-tiba pada 1986. Abd. Halim berkata, pada 2008, hasil penemuan dengan tiga wakil rakyat termasuk bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, projek berkenaan berjaya disiapkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) setahun selepas itu. Bagaimanapun katanya, rumah tersebut didakwa tidak dapat diduduki sehingga sekarang kerana SPNB enggan menyerahkan kunci rumah tersebut kepada pembeli. "Terdapat 18 buah rumah di Taman Intan Permata dan 10 daripadanya dibeli oleh penduduk Cina sementara lapan lagi adalah Melayu. "Sampai bila kami harus sabar menunggu? Saya masih lagi menyewa rumah malah ada di antara kami terpaksa menjual tanah dan kebun semata-mata untuk membayar rumah itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Seorang lagi pembeli, Che Siok Chong, 72, yang merupakan pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, dia sudah habis membayar hutang rumah berkenaan tujuh tahun lalu tetapi malangnya masih belum dapat mendiami rumah tersebut. "Saya benar-benar kecewa, sehingga sekarang saya masih lagi tinggal di rumah kayu dan sampai bila pihak SPNB tidak mahu menyerahkan kunci rumah terbabit kepada yang berhak? "Saya semakin tua, sampai bila saya mahu hidup menyewa rumah orang? Malah, saya lebih terkilan apabila beberapa rakan saya meninggal dunia sebelum sempat menduduki rumah ini," katanya. Pengusaha bengkel motosikal, Lei Ah Tat, 60, pula kesal kerana rumah yang sudah siap itu dibiarkan kosong dan kini menjadi sarang penagih dadah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan