Ahad, 27 Februari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mayat berdarah

Posted: 26 Feb 2011 09:53 AM PST

GEORGETOWN: Mayat seorang wanita berusia 20-an ditemui mati dengan berlumuran darah di tingkat dua kawasan letak kereta sebuah pangsapuri di Lorong Madrasah, Jelutong, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mayat wanita yang tiada pengenalan diri itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan kecederaan teruk, terutama di kepala, selain berpakaian lengkap.


Jurucakap polis berkata, berdasarkan keterangan awam sebelum kejadian berlaku, beberapa penghuni terdengar bunyi bising dipercayai orang bergaduh di tingkat 11 dan selang beberapa minit kemudian terdengar bunyi dentuman kuat.

Beliau berkata, ketika itu orang ramai bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita terlentang serta mengalami pendarahan teruk di kepala, kaki dan tangan dipercayai patah.


Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan anggota polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat mangsa dan dia dipercayai berasal dari tempat lain.


Menurutnya, polis menemui payung di tingkat 11, kasut tersangkut di tingkat lima dan cermin mata di sisi mangsa. "Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian, termasuk sama ada ia disebabkan masalah percintaan atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika ditemui mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada wujud perbuatan jenayah atau sebaliknya.


Katanya, polis juga meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rela tiada sijil halal

Posted: 26 Feb 2011 09:52 AM PST

PUTRAJAYA: Ada artis tempatan dan pemilik restoran mewah beragama Islam yang menjadi pengusaha restoran enggan mendedahkan bahan dan ramuan 'rahsia' digunakan dalam masakan di restoran mereka dalam borang permohonan pensijilan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kononnya agensi itu akan membocorkan rahsia keenakan juadah restoran berkenaan.

Sikap ego artis lingkungan 50-an dan pengusaha restoran berskala besar terbabit sebenarnya menimbulkan rasa curiga agensi berkenaan yang terpaksa menggunakan prosedur ditetapkan sebelum meluluskan pensijilan halal Malaysia kepada restoran berkenaan.


Malah lebih mengejutkan, artis terbabit mempertikaikan keperluan restorannya mendapatkan sijil halal apabila permohonannya tidak diluluskan kerana beranggapan sebagai seorang Islam, tidak memerlukan pengiktirafan berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Hamid Mohamed Salleh, berkata artis terbabit membuat permohonan secara on-line bagi mendapat pensijilan halal Malaysia, baru-baru ini.


Katanya, permohonan artis terbabit tidak diluluskan lagi kerana tidak memenuhi syarat dalam prosedur yang ditetapkan.


"Malah, bagi mempercepatkan permohonan artis itu, kita mahu artis terbabit menjelaskan bahan tertentu yang digunakan di restorannya, selain punca bahan atau ramuan itu diperoleh.

"Ia bukan sesuatu yang sukar tetapi kita hairan mengapa permintaan atau penjelasan berkaitan bahan berkenaan tidak dilayan oleh artis terbabit.


"Jakim menggunakan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan integriti pensijilan halal yang dikeluarkan benar-benar mematuhi standard yang ditetapkan," katanya ketika ditemui Metro Ahad di Putrajaya, semalam.

Bukan itu saja, Abdul Hamid berkata artis terbabit turut mendakwa tidak memerlukan pensijilan halal itu berdasarkan statusnya sebagai seorang Islam yang kononnya pasti menggunakan bahan tidak haram di restorannya.


Menurutnya, memang permohonan pensijilan halal itu tidak diwajibkan tetapi apabila artis itu membuat permohonan, beliau perlu mematuhi prosedur dan syarat yang ditetapkan.


"Sikap artis terbabit yang enggan mendedahkan bahan dan ramuan digunakan itu apabila diminta mengundang rasa curiga Jakim mengenai sajian makanan di restoran berkenaan.


"Apa yang kita minta adalah bagi memastikan standard yang ditetapkan dipatuhi dan kita hanya meminta penjelasan bahan dan punca bahan itu diperoleh sama ada dari dalam atau luar negara.


"Jika diperoleh dari luar negara, kita lihat sama ada bahan itu mendapat pengesahan halal daripada badan yang diiktiraf Jakim di luar negara," katanya.


Tanpa berselindung, Abdul Hamid berkata, artis itu hanya perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan bagi memudahkan proses permohonan dilakukan, seterusnya diluluskan.


Namun, katanya, apa yang berlaku, artis terbabit kononnya bimbang Jakim akan mendedahkan bahan dan ramuan yang menjadi 'aset' keenakan makanan di restoran itu kepada orang lain.


"Perkara ini sepatutnya tidak berbangkit kerana Jakim memiliki integriti bagi menjaga rahsia pengusaha restoran dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan kepada orang lain.


"Yang kita bimbang, bahan dan ramuan digunakan itu datang dari sumber mencurigakan atau tidak halal," katanya.


Abdul Hamid berkata, artis terbabit sebenarnya tidak rugi jika memiliki pensijilan halal Malaysia kerana ia memberi lebih keyakinan kepada pengguna beragama Islam, terutama jika restorannya turut menyajikan makanan Barat.


Katanya, sehingga kini artis terbabit belum menjawab persoalan yang dibangkitkan dan sudah pasti ada yang tidak kena dalam bahan atau ramuan digunakan di restoran berkenaan.


"Saya menasihatkan artis terbabit dan pengusaha restoran Islam berskala tinggi supaya tidak menyalahkan agensi berkenaan jika permohonan mereka belum berjaya diluluskan.


"Ini kerana, Jakim mempunyai prosedur tetap yang perlu dipatuhi bagi memastikan pengusaha restoran terbabit menggunakan bahan yang tidak mencurigakan dalam penyediaan makanan di restoran makanan.


"Memang kita orang Islam tetapi yang menjadi persoalan, ada orang Islam tidak sedar atau sengaja buat tak tahu terhadap bahan tidak halal yang digunakan di restoran mereka dan prosedur disediakan itu bagi membantu mereka mewujudkan sebuah restoran yang benar-benar mematuhi standard pensijilan halal Malaysia," katanya.


Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, beliau masih menanti tindakan seterusnya daripada artis terbabit supaya permohonan mendapatkan pensijilan halal itu boleh diproses semula.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan