Utusan Online - Pahang |
- Majukan Hulu Tembeling
- 131 rumah PAKR rosak teruk dibaiki
- Yayasan Pahang naik biasiswa pelajar cemerlang
Posted: Majukan Hulu Tembeling
Saudara pengarang, Kebetulan seorang pemandu bot penambang Taman Negara merupakan kenalan lama saya ketika mengunjungi kawasan itu 15 tahun lalu. Landskap pembangunan pusat peranginan itu kini semakin berubah tetapi kerajaan masih melestarikan kehijauan alam semula jadinya. Kenalan berkenaan mengajak saya menaiki bot penambang mudik ke Hulu Tembeling kira-kira lima jam perjalanan untuk menziarahi keluarganya di sebuah perkampungan tradisional yang kaya dengan adat resam dan kehijauan alam. Namun, saya agak terkejut kerana kehidupan sesetengah penduduk masih tidak berubah dan boleh ditakrifkan berada di bawah paras kemiskinan jika dinilai menerusi pendapatan mereka. Ada yang tergolong dalam kemiskinan yang diwarisi daripada ibu bapa atau keluarga terdahulu lantaran tidak mempunyai harta dan terpaksa menumpang di tanah orang lain. Memang tidak dinafikan sudah ada penduduk yang memiliki kediaman yang agak selesa, di samping ruang garaj yang diisi dengan kenderaan pacuan empat roda. Selebihnya, saya lihat masih lagi ada penduduk yang mendiami rumah usang yang asalnya dibina daripada kayu hutan, dinding pelupuh atau kulit kayu berlantaikan batang pinang, buluh dan beratapkan separuh zink dan nipah. Saya tertanya-tanya sejauhmana berkesannya misi dan visi program miskin sifar seperti yang diuar-uarkan sejak lima tahun lalu. Persoalannya, adakah agihan kek ekonomi wujud sama rata di kalangan penduduk bandar dengan luar bandar termasuk di pedalaman Hulu Tembeling dan kawasan terpencil lain di negara ini? Saya sempat meninjau penduduk berkenaan yang rata-ratanya menjelaskan mereka sudah lama menunggu Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi belum kesampaian. Malah, ada segelintir penduduk yang membina rumah di atas tanah rizab sungai. Mungkin pihak berwajib perlu bertindak segera menyelesaikan masalah mereka yang tinggal di atas tanah rizab sungai itu dengan membangunkan projek penempatan tersusun. Di kalangan belia yang berkeluarga tetapi tidak mempunyai tapak tanah juga mahu kerajaan membangunkan penempatan tersusun dan ladang seperti projek agropolitan yang mampu mengubah kehidupan mereka. Program yang dimaksudkan adalah seperti Projek Agropolitan Tanjung Gahai di Kuala Lipis. Saya mengulas rintihan penduduk berkenaan bukan untuk merendahkan akauntabiliti atau tanggungjawab pihak tertentu tetapi bertujuan supaya usaha pembasmian kemiskinan dipercepatkan sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Kita bimbang senario kemiskinan di Hulu Tembeling akan menjadi catatan pelawat untuk didokumentasikan sama ada dalam buku, blog dan sesawang serta dokumentari yang memaparkan kedaifan rakyat dari kaca mata masyarakat luar. Itu tidak termasuk tindakan pihak pembangkang yang mungkin mengambil kesempatan terhadap kemiskinan penduduk. Saya tidak nafikan kesungguhan kerajaan mencorakkan pembangunan di Hulu Tembeling malah, berterima kasih kerana melaksanakan projek jalan raya dari Kampung Tuit, Kuala Tahan melalui Kampung Pagi hingga ke Kampung Mat Daling sejauh hampir 100 kilometer secara berperingkat. Kemudahan itu sekali gus menunjukkan proses urbanisasi mula memasuki kawasan pedalaman tersebut. Bagaimanapun, projek kemudahan asas perlu diseimbangkan kerana lebuh raya yang bakal membelah hutan rimba dan bukit-bukau Hulu Tembeling belum tentu dapat mengubat derita dan membahagiakan mereka yang masih menghuni pondok usang. INSAN TERPILIH, Damansara. | ||
131 rumah PAKR rosak teruk dibaiki Posted: 131 rumah PAKR rosak teruk dibaikiOleh ALI MAHMOOD TEMERLOH 24 Feb. - Kerajaan meluluskan sebanyak RM2.2 juta bagi membaiki semula 131 rumah Projek Awam Kos Rendah (PAKR) di Paya Taram, Kerdau dekat sini yang mengalami kerosakan teruk sejak dibina 15 tahun lalu. Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Katanya, Unit Perumahan dan Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan bagi membolehkan pembeli menduduki rumah berkenaan. "Daripada 198 unit yang dibina sejak 15 tahun lalu, sebanyak 131 daripadanya mengalami kerosakan teruk dan perlu diperbaiki. "Semua rumah tersebut sudah ada pemilik tetapi mereka tidak boleh mendudukinya apabila rumah itu mengalami kerosakan teruk," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek perumahan Paya Taram, semalam. Turut sama melawat projek tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Muhammad Safian Ismail dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Menurut Ismail, pihaknya menganggarkan kos membaiki rumah itu memerlukan peruntukan sebanyak RM16,000 seunit dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) bersetuju menanggung semua kos membaik pulih. Tambahnya, tender untuk kerja-kerja pembaikan itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat ini. Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, jalan sepanjang lima kilometer dari bandar Kerdau ke Kampung Cengkenik melalui jalan lama akan dinaik taraf tidak lama lagi. Katanya, peruntukan sebanyak RM7 juta telah dipohon daripada kerajaan negeri dan projek itu akan dilaksanakan sebaik sahaja diluluskan. Jalan itu, jelas beliau, perlu dinaik taraf untuk memberi manfaat kepada penduduk Kampung Kerdau, Kampung Guntung, Kampung Kelibang dan beberapa kampung sekitarnya bagi membawa hasil pertanian ke bandar. | ||
Yayasan Pahang naik biasiswa pelajar cemerlang Posted: Yayasan Pahang naik biasiswa pelajar cemerlang
TEMERLOH 24 Feb. - Yayasan Pahang (YP) meningkatkan kadar biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan mulai tahun ini. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob memberitahu, dengan kenaikan itu, kadar biasiswa bagi murid cemerlang dinaikkan kepada RM300 seorang berbanding RM200 sebelum ini. ''Bagi pelajar sekolah menengah, mereka yang cemerlang akan menerima biasiswa sebanyak RM600 seorang berbanding RM500 sebelum ini," katanya. Beliau berucap pada majlis penyampaian bantuan dan biasiswa kepada pelajar miskin dan cemerlang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Kampung Teluk Sentang, Kerdau di sini semalam. Adnan yang juga Pengerusi YP menegaskan, kerajaan akan terus memberikan bantuan kepada pelajar cemerlang dan miskin di negeri ini supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran dan mendapat pendidikan yang baik. Katanya, bantuan pendidikan yang disalurkan melalui YP berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang apabila jumlah mereka memasuki universiti tempatan dan luar negara semakin bertambah. "Pertambahan itu berikutan dasar pendidikan negara bertaraf dunia yang berjaya melahirkan ramai pelajar cerdik, maju dan berkualiti serta berdaya saing. ''Rakyat negara ini bertuah kerana dapat hidup dalam kemewahan hingga membolehkan kita menimba ilmu dalam suasana aman berbanding rakyat di negara lain yang berada dalam huru-hara dan menderita," ujarnya. Dalam pada itu, Adnan memberitahu, YP membelanja lebih RM600 juta untuk biasiswa dan bantuan pendidikan kepada 600,000 pelajar negeri itu dalam tempoh 28 tahun lalu. Menurut beliau, peruntukan itu pada awalnya hanya sebanyak RM2 juta sebelum dinaikkan kepada RM25 juta pada 1999. ''Perbelanjaan pendidikan untuk tahun ini sahaja berjumlah RM62 juta berikutan bertambahnya jumlah pelajar yang cemerlang. Program pendidikan dan bantuan itu bertujuan meringankan bebanan keluarga dan sebagai galakan kepada pelajar supaya terus maju dalam pelajaran. ''Kerajaan sedar hanya melalui pendidikan mampu mengubah nasib rakyat menjadi lebih baik dan ibu bapa jangan menjadikan kemiskinan sebagai alasan tidak menghantar anak-anak ke sekolah," tegasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan