Utusan Online - Rencana |
Posted: SPR jelas isu peti undiOleh ZULKIFLI JALIL TERMASUK Merlimau dan Kerdau, sejak Mac 2008, terdapat 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) yang telah dan bakal dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Semuanya berjalan lancar dan dua PRK yang terbaru itu kelak diharap turut berjalan lancar. Meskipun begitu, dalam pertemuan suruhanjaya itu yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof dengan parti-parti politik di Sarawak beberapa hari lalu, terdapat satu isu yang hangat telah dibangkitkan. Parti-parti berkenaan yang tidak disebut dari blok mana, menimbulkan kebimbangan kemungkinan akan berlaku peti undi ditukar dengan peti yang lain atau kertas undi dalam peti sebenar ditambah bilangan kertas undi untuk meningkatkan undi parti tertentu. Bertitik tolak daripada kekhuatiran itulah, para pemimpin dan wakil parti berkenaan berharap sangat agar SPR menjalankan proses pengiraan undi di saluran tempat mengundi dan bukannya di pusat penjumlahan. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pusat mengundi di pedalaman yang kecil bilangan pemilih dan ditutup seawal pukul 11 pagi. Abd. Aziz yang dihubungi Utusan Malaysia ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi semalam untuk bertemu pegawai-pengawai pengurus pusat mengundi di Sibu memberitahu, meskipun jumlah undi belum dikira di saluran, ia tetap dipastikan bebas daripada sebarang unsur penyelewengan. "Memang kertas undi dalam peti undi tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana setiap peti undi adalah unik yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan khususnya pelekat hologram dan kod tertentu," kata beliau. Mengikut prosedur ditetapkan SPR, tepat pukul 5 petang, Ketua Tempat Mengundi akan menutup pintu masuk ke tempat atau saluran mengundi. Lidah peti undi akan dipaterikan di hadapan ejen-ejen pengundian bagi menghalang apa-apa kertas undi dimasukkan ke dalam peti undi selepas tempoh itu. Peraturan Pilihan Raya 24(1)(c) menyebut Ketua Tempat Mengundi hendaklah menyediakan penyata kertas undi di dalam Borang 13 di hadapan ejen-ejen mengundi. Antara perkara penting yang perlu dicatatkan di dalam Borang 13 itu adalah seperti berikut: i) Bilangan kertas undi yang diterima daripada pegawai pengurus. ii) Bilangan kertas undi yang dikeluarkan daripada pengundi. iii) Bilangan kertas undi rosak. iv) Bilangan kertas undi yang tidak digunakan. v) Jumlah kertas undi yang patut berada di dalam peti undi. Apabila tiba masa untuk membuka peti undi, semua ejen calon yang bertanding akan dijemput mengambil tempat masing-masing di dalam bilik pengiraan undi untuk menyaksikan sendiri proses pembukaan peti undi tersebut di hadapan mata mereka sendiri. Perkara ini dibuat sedemikian bagi mematuhi kehendak Peraturan 25 (3)(a) dan (b) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. Kemudian, Ketua Tempat Mengundi akan membandingkan bilangan kertas undi yang ada di dalam peti undi supaya sama dengan butiran di dalam Penyata Borang 13. Tindakan ini bagi menentukan bilangan kertas undi di dalam peti undi itu tidak melebihi bilangan yang dinyatakan dalam Borang 13. Justeru, kata Abd. Aziz, tindakan ini dapat menyangkal sepenuhnya mana-mana dakwaan bahawa SPR menambah kertas undi di dalam sesuatu peti undi. "Jika perkara yang didakwa ini berlaku dan bilangan kertas undi yang ada di dalam peti undi itu melebihi bilangan yang dinyatakan di dalam Borang 13, sudah pasti akan ada ejen-ejen mengundi yang hadir membuat bantahan. "Namun kalau diambil kira sepanjang 14 PRK sejak Mac 2008, tidak ada dakwaan sedemikian dibangkitkan," katanya. Lagipun, tegas Abd. Aziz, beliau sendiri telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama rapat dengan SPR dalam usaha memastikan ketelusan dan kelancaran proses pilihan raya di negara ini. "Mereka ada kepakaran. Katakan jika ada pegawai atau kakitangan SPR dikesan melakukan penyelewengan dengan menambah kertas undi di dalam peti undi, mereka yang terlibat ini pasti akan ditangkap. "Ini kerana mereka yang terbabit tidak akan tahu siapa di sekeliling mereka kerana anggota SPRM berkenaan sentiasa bersama SPR. Kita telah beri 'lampu hijau' kepada penguatkuasa membasmi rasuah ini," kata beliau. Mengulas permintaan parti-parti politik di Sarawak supaya proses mengira undi di saluran pedalaman dilakukan di situ juga, beliau berkata, ia tidak dapat dipertimbangkan. "Ini kerana peti-peti undi terbabit akan diangkut menggunakan helikopter. Mengikut nasihat masyarakat setempat, helikopter tidak boleh terbang pada waktu petang di sana kerana keadaan berkabus dan menyukarkan penglihatan. "Namun, SPR beri jaminan tidak kira peti-peti undi itu diangkut menggunakan helikopter atau perahu sekali pun, kedudukan kertas-kertas undi di dalamnya tetap tidak akan berubah. "Ia tidak boleh berkurang satu pun atau bertambah satu pun, sama seperti semasa mengundi di saluran," kata beliau. |
Posted: Untung jadi calon di MerlimauKhabar dari Melaka BERDASARKAN faktor sejarah, Pas tidak pernah berjaya menembusi benteng ampuh Barisan Nasional (BN) di Melaka sejak selepas merdeka termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau. Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau pada 6 Mac ini, tidak dinafikan BN mempunyai kelebihan untuk menang selesa sekali gus meneruskan kesinambungan kejayaan terbaru yang dicapai BN dalam PRK DUN Tenang di Johor, baru-baru ini. Ditambah kejayaan yang dicapai oleh BN pada PRK DUN Bagan Pinang, Parlimen Hulu Selangor, DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi, ia menunjukkan kecenderungan rakyat sudah kembali yakin terhadap parti pemerintah berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Salah satu faktor utama mendorong kejayaan BN ialah suntikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang berjaya membuka minda rakyat di semua PRK yang dimenangi BN. Ini menunjukkan tahap populariti BN dalam kalangan rakyat semakin meningkat selepas pelbagai program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dapat diterima oleh rakyat berbilang kaum di negara ini. Ia juga adalah perkembangan yang menggalakkan bagi BN selaku parti pemerintah selain melihat pemulihan sokongan masyarakat Melayu, Cina dan India yang semakin meningkat di setiap PRK yang diadakan sebelum ini. Tidak hairanlah DUN Merlimau disifatkan sebagai kawasan putih buat BN dan ini merupakan PRK kali ke-15 diadakan. Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dari parti UMNO pada 20 Januari lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari ini dan tarikh 6 Mac bagi hari pembuangan undi. Pada PRU 2008, Allahyarham Mohamad Hidhir berjaya mengekalkan kerusinya apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang. Berdasarkan daftar undi sehingga 20 Januari 2011, jumlah pengundi di DUN Merlimau ialah 10,679 orang iaitu Melayu sebanyak 64.1 peratus, Cina (20.84 peratus), India (14.67 peratus) dan lain-lain bangsa (0.39 peratus). Berdasarkan rekod, DUN Merlimau merupakan kubu kuat BN yang diwakili UMNO kerana setakat ini dalam mana-mana PRU, ia belum pernah terlepas ke tangan pihak pembangkang. Lebih menarik kejayaan yang dicapai oleh semua calon dari BN menunjukkan peningkatan mendadak dari segi majoriti kemenangan mengatasi apa yang diperoleh pada 2008. Ekoran momentum tersebut, PRK di DUN Merlimau juga dijangka memihak kepada BN dan tidak mustahil kemenangan kali ini bakal mencatat majoriti yang lebih besar berbanding dengan PRU 2008. Begitupun, kepimpinan tertinggi BN tidak menetapkan jumlah majoriti besar bakal dicapai di Merlimau. Kunjungan dua pemimpin utama negara iaitu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Februari lalu dan disusuli lawatan kerja sehari Perdana Menteri pada Sabtu lalu memberi suntikan semangat, bukan sahaja kepada rakyat di Merlimau tetapi lebih penting menyemarakkan jentera BN. Jentera BN yang bergerak sejak 25 Januari lalu diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sudah menampakkan tanda-tanda awal sokongan besar bakal berpihak kepada BN. Diperkuatkan dengan gerak kerja yang diatur oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menggunakan strategi lawatan dari rumah ke rumah di semua tujuh kawasan peti undi DUN Merlimau, selain langkah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menginap di rumah orang kampung mengukuhkan lagi kekuatan BN di Merlimau. Didorong oleh suasana aman dan damai dalam kalangan tujuh atau lapan calon yang dikemukakan oleh BN Melaka kepada pucuk pimpinan parti, tiada sebarang masalah yang timbul jika ada di antaranya tidak terpilih bertanding mewakili BN pada penamaan calon, Sabtu ini. Muhyiddin akan mengumumkan nama calon DUN Merlimau pada hari ini di Bilik Gerakan BN di pekan Merlimau, sehari selepas beliau mengumumkan nama calon bagi DUN Kerdau. Suasana ketika ini dilihat lebih memihak kepada BN berdasarkan gerak kerja jentera yang diketuai oleh Mohd. Ali yang merupakan Pengarah Pilihan Raya DUN Merlimau. Tidak dinafikan kekuatan BN di Merlimau disuntik oleh Mohd. Ali. Ini kerana sejak 25 Januari lalu, beliau saban masa sejak pagi hingga lewat malam dan hampir setiap hari berada di Merlimau. Kehadirannya di Merlimau bukan sahaja memantau jentera BN, sebaliknya beliau berjumpa dengan pelbagai masyarakat di kawasan terbabit tidak kira guru, nelayan, petani, kakitangan kerajaan, swasta, pekedai dan orang awam. Pada siang hari, Mohd. Ali akan bertemu masyarakat di tujuh kawasan peti undi iaitu Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak. Pada sebelah malam setiap hari pula, beliau akan mempengerusikan mesyuarat sama ada di peringkat UMNO Bahagian, Cawangan, Puteri, Wanita dan Pemuda termasuk BN negeri serta BN di DUN Merlimau. Najib pada lawatan kerja sehari di Merlimau Sabtu lalu sewaktu berucap pada majlis Jamuan Rakyat dan sambutan Tahun Baru Cina di padang Politeknik Merlimau turut melahirkan rasa kagum dengan Mohd. Ali yang bergerak dari pagi hingga lewat malam memantau jentera BN. ''Saya tidak tahu waktu bila beliau (Mohd. Ali) tidur kalau sepanjang hari hingga lewat malam masih bermesyuarat di Merlimau," ujarnya. Cakap-cakap masyarakat di Merlimau, siapa yang bakal menjadi calon BN, orang itu diibaratkan seperti memasuki rumah baru dengan segala peralatan dan kelengkapan rumah sudah siap dipasang. ''Untung siapa yang menjadi calon BN di Merlimau. Semua masalah rakyat telah diselesaikan oleh Ketua Menteri. Daripada parit tersumbat hingga atap ditukar barupun beliau ambil kisah. ''Calon yang akan diumumkan pada hari ini hanya perlu melawat semua tujuh kawasan peti undi bertemu masyarakat dan memperkenalkan diri kerana semua kerja sudah dibereskan oleh Mohd. Ali dan jenteranya," katanya. Seperti kata Pengerusi BN Melaka itu sewaktu membuat pertemuan dengan seluruh jentera BN di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau pada 25 Januari lalu, beliau mahu membereskan segala masalah rakyat Merlimau sebelum penamaan calon. Perkara itu perlu dilaksanakan kerana ia akan memudahkan tugas jentera BN selepas penamaan calon iaitu bertemu rakyat dari rumah ke rumah di semua tujuh kawasan peti undi untuk menambat hati mereka bagi memberi undi kepada BN dan bukannya Pas. Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Melaka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan