Rabu, 23 Februari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


E-undi lancarkan proses pemilihan

Posted:

E-undi lancarkan proses pemilihan

E-undi lancarkan proses pemilihan


Pemenang kerusi umum, Ikhwan Syafaat Jalaini dijulang selepas pengumuman keputusan pemilihan MPP di Universiti Malaysia Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 22 Feb. – Pelaksanaan sistem pengundian secara elektronik atau e-undi menyaksikan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semalam, berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, pihak universiti mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada mahasiswa sejak sistem itu dimulakan pada 2008 lagi.

"Mahasiswa di sini memberi sepenuh kepercayaan kepada kita dan menyokong penggunaan sistem pengundian secara berkomputer.

"Dengan e-undi keputusan pemilihan diperoleh lebih cepat, walaupun ia sedikit membebankan pengurusan di bahagian teknologi maklumat kerana terpaksa menyiapkan sistem yang hanya digunakan sekali setahun, tetapi hasilnya memuaskan hati semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia selepas pengumuman keputusan pemilihan MPP sesi 2011 di sini, semalam.

Sebanyak 45 komputer digunakan untuk proses mengundi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di dua pusat pengundian iaitu 30 di Kampus Sementara Pengkalan Chepa dan 15 lagi di makmal Padang Tembak dekat sini.

Mortaza berkata, peratusan mengundi agak menurun tahun ini kerana kebanyakan mahasiswa tahun akhir masih berada di luar kawasan kampus mengikuti latihan industri.

Katanya, 75 peratus daripada 1,776 mahasiswa keluar mengundi berbanding 85 peratus tahun lalu dan bilangan itu memuaskan melihat kepada kewujudan UMK sebagai sebuah universiti yang baru sahaja bertapak dengan bilangan penuntut terhad.

Pada pemilihan semalam, sebanyak lapan kerusi menjadi rebutan 15 calon iaitu empat bagi kerusi umum, dua kerusi Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) dan dua Fakulti Keusahawanan Perniagaan (FKP).

Bagi kerusi umum, ia dimenangi oleh Muhammad Firdaus Abdul Karim, 21, pelajar tahun dua FASA; Ikhwan Syafaat Jalaini , 21, (tahun dua FKP); Amalina Abdul Aziz, 22, (tahun dua FKP) dan Noor Salehah Jefferi, 21, (tahun dua FASA)

Dua kerusi FASA pula dimenangi oleh Marianne Christie Leong, 21, (tahun dua) dan Mohd. Ruzaini Alias, 21, (tahun dua). Dua kerusi FKP pula dimenangi oleh Azlan Shaheed Zurain Tuming, 21, (tahun satu) dan S. Kumaraguru, 22, (tahun dua).

Tiada perebutan kerusi berlaku di dua fakulti iaitu Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) yang mana empat calonnya telah diisytiharkan sebagai pemenang sejak hari pencalonan lagi.

Mereka adalah Abdul Karim Wahidon, 22, dan Farah Hazwan Hanis Ho, 22, kedua-duanya mahasiswa tahun dua FTKW dan Nur Ainsyah Natasya Abd. Aziz, 20, (tahun satu FPV) dan Goh Soon Heng, 21 (tahun satu FPV).

Mortaza berkata, barisan pemenang MPP itu akan bermesyuarat selewat-lewatnya hujung minggu ini bagi menentukan Kabinet baru dan menyiapkan pelan strategik yang akan dilaksanakan tahun ini.

Beliau yakin, kesemua pemenang mewakili suara mahasiswa sebenar dan mereka bebas daripada sebarang pengaruh luar.

Sementara itu, bekas Exco MPP UMK 2010, Mohd. Nor Nasaruddin, 23, berharap MPP akan terus memastikan mereka bebas daripada pengaruh pihak tertentu kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan mahasiswa.

"Pendekatan diplomasi adalah lebih baik daripada konfrontasi. Jika pimpinan mahasiswa baik dengan pihak pentadbir universiti, ia bukan bermakna kita mahu membodek mereka, tetapi sebagai jalan pemudah bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kolej Universiti TATI sasar jadi universiti penuh 2015

Posted:

Kolej Universiti TATI sasar jadi universiti penuh 2015

Kolej Universiti TATI sasar jadi universiti penuh 2015

KUALA TERENGGANU 22 Feb. - Kolej Universiti TATI (TATiUC) Kemaman terus meningkatkan usaha untuk muncul antara peneraju dalam melahirkan teknokrat berkemahiran tinggi dan berketerampilan dalam pelbagai disiplin kejuruteraan.

Salah satu langkah besar tahun ini ialah dengan rancangan menawarkan kursus berkaitan lokomotif yang pertama seumpamanya di rantau ini.

TATiUC turut merancang membuka dua kampus cawangannya iaitu di Miri, Sarawak dan Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini yang akan menawarkan kursus di peringkat sijil dan diploma dalam bidang teknologi mesin, minyak dan gas.

Pengerusinya, Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu, segala perkembangan ini semakin meletakkan TATiUC sebagai 'pemain antarabangsa' dalam arena pendidikan ketika ia menyasarkan untuk menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2015.

Beliau berkata, sejajar dengan pengenalan kursus baru itu, sebagai persediaan, beberapa kemudahan asas akan disiapkan termasuk pembinaan sebuah landasan percubaan sejauh 1.5 kilometer.

Dengan kerjasama pengeluar trem, M-Rails International Sdn. Bhd. (M-Rails), TATiUC bakal menjadi pusat rujukan, latihan dan kepakaran kejuruteraan berkaitan teknologi dan industri itu di samping membekalkan tenaga kerja berkemahiran.

"Kita akan pastikan TATiUC akan dapat merealisasikan hasrat tersebut dan yakin dapat menyediakan kemudahan kursus lokomotif serta kelengkapan yang terbaik di rantau ini," katanya di sini baru-baru ini.

Ahmad Razif berkata, TATiUC telah diberi kepercayaan oleh syarikat berkenaan bagi menghasilkan reka bentuk trem yang akan dibina di Melaka.

Katanya, ia telah dipamerkan pada Majlis Pecah Tanah Pelancaran Projek Trem di Melaka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berapa hari lalu.

Menurut beliau, harapan Perdana Menteri untuk melihat pembinaan trem tersebut mendapat sentuhan rakyat negara ini dan sebab itulah TATiUC diberikan tanggungjawab bagi mereka bentuk model berkenaan.

Katanya, ia juga dilihat selaras dengan hasrat Kerajaan Pusat untuk memperluaskan perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur sekali gus menjadikan tren sebagai pengangkutan awam utama antara wilayah ini dengan Kuala Lumpur.

"Pembinaan landasan kereta api sedang dibina antara Gombak ke Kuantan dan kita akan merayu kepada Kerajaan Pusat agar ia disambung sehingga ke Kemaman sebagai permulaan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri berkata, beberapa tenaga pengajar juga akan dihantar ke luar negara bagi mendalami bidang berkenaan.

Mengulas lanjut, Rektor TATiUC, Dr. Mohd. Rozailan Mamat pula memberitahu, melalui kerjasama ini, TATiUC menerima peruntukan RM200 juta bagi menjayakan misi negara itu.

"Kursus peringkat diploma dan ijazah itu dijangka bermula penghujung tahun ini setelah prasarana berkaitannya siap dan untuk permulaan program peringkat sijil yang akan mula dijalankan pada Mei ini," katanya.

Kata Rozailan, TATiUC sebelum ini telah menandatangani satu memorandum persefahaman dengan M-Rails yang mana TATiUC telah diberi kepercayaan untuk membuka sebuah fakulti.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bomba bertindak cemerlang

Posted:

Bomba bertindak cemerlang

Bomba bertindak cemerlang

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 22 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah melaksanakan tanggungjawab di tahap terbaik ketika memadamkan kebakaran ladang getah dan nanas di Kampung Kuau, Bachok, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, dakwaan yang dibuat oleh petani terbabit seperti disiarkan oleh sebuah stesen televisyen swasta, kononnya jabatan itu tidak hadir memadamkan kebakaran tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menyatakan, pasukannya telah bertungkus lumus memadamkan kebakaran tersebut yang melibatkan kawasan tanah gambut sejak 13 Februari lalu.

"Walaupun menghadapi masalah tekanan air rendah sehingga terpaksa menggunakan air laut, namun pasukan kami telah berusaha keras untuk memadamkan kebakaran itu.

"Api merebak terlalu cepat dan kawasan yang terlibat pula begitu luas, sehingga menyukarkan pihak kami untuk mengawal api daripada terus merebak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penyerahan dan menerima replika kunci ibu pejabat baru Balai Bomba dan Penyelamat negeri di Mukim Kota, Tunjung dekat sini, semalam.

Pengarah Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Kerja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ir. Azman Mohd. Hashim hadir sama.

Utusan Malaysia pada 19 Februari lalu melaporkan, kebakaran hutan yang merebak di sebuah ladang getah berhampiran Kampung Kuau, Bachok menyebabkan kira-kira 20 petani kerugian kira-kira RM4.5 juta.

Petani terlibat mendakwa, kerugian itu berikutan ladang getah seluas 16 hektar yang diusahakan bersama tanaman nanas sebagai tanaman alternatif musnah dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya akan memulakan operasi di ibu pejabat baru berkenaan mulai April ini.

Beliau percaya, dengan kemudahan di bangunan baru yang berharga lebih RM10 juta itu, ia akan lebih meningkatkan perkhidmatan jabatan berkenaan di tahap cemerlang.

"Bangunan ini akan beroperasi sepenuhnya dengan melibatkan urusan pentadbiran. Bagaimanapun, balai bomba negeri masih lagi kekal di lokasi lama (Jalan Long Yunus) seperti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk membina satu lagi balai bomba di kawasan berkenaan setelah mengambil kira Tunjung bakal menempatkan banyak jabatan dan agensi Kerajaan Pusat.

"Dengan adanya balai di kawasan ini, ia akan memudahkan masyarakat berurusan dengan bomba dan mempercepatkan operasi memadam kebakaran sekiranya berlaku bencana berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan