Jumaat, 25 Februari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Keunikan Wakaf Wali Mie Purba

Posted:

Keunikan Wakaf Wali Mie Purba

Keunikan Wakaf Wali Mie Purba

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Yusoff Mohamed menunjukkan 'Keris Pandai Saraf ' dikatakan berusia 300 tahun dan bernilai lebih RM10,000. – Utusan/Yatimin Abdullah


KOTA BHARU 24 Feb. – Jika berkunjung ke Laman Siti Khadijah dekat sini, jangan lepaskan peluang melihat keunikan pelbagai barangan antik, senjata tajam lama, batu permata dan benda-benda pelik lain yang dijual di sebuah gerai dikenali Wakaf Wali Mie Purba.

Antara barangan yang dijual di Wakaf Wali berhampiran Bazar Buluh Kubu itu adalah cekati berkepala ayam, seterika arang berkepala ayam, cupak beras tembaga, kendi tembaga, tapak sireh, bekas hantaran tembaga, keris lama, badik, lembing, batu alimi, batu ara dan pelbagai batu permata.

Selain itu, antara benda pelik yang ada dan menjadikan pengunjung teruja adalah mayang kelapa bersisik dan berkepala ular, kayu penunduk tikam kayu, suluh bertan tikam batu, buluh berpulas bercabang dua, kepah kelapa bercabang dua dan rotan songsang di mana buku ruasnya terbalik ke bawah.

Wakaf Wali Mie Purba itu dikendalikan oleh Yusoff Mohamed, 43, berasal dari Kampung Bunut Susu, Pasir Mas dan tiga rakannya sejak tujuh tahun lalu yang membeli dan menjual barangan antik.

Menurut Yusoff, minat mendalam terhadap barangan antik muncul ketika dia berusia 10 tahun lagi kerana pada masa itu dia sering mengikuti arwah ayahnya, Mohamed Daud merantau mencari barangan lama untuk dijual.

"Ketika saya berumur 12 tahun, ayah telah meninggal dunia dan saya bertekad untuk mewarisi pekerjaan arwah, selepas ini pula saya akan mewariskan kepada anak-anak.

"Selain minat, saya membuat kerja ini untuk membantu masyarakat kebanyakannya tidak tahu tentang alat-alat tradisional dan sejarah terutama generasi baru," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dengan adanya Wakaf Wali Mie Purba itu sekurang-kurangnya masyarakat setempat terutama di Kelantan boleh melihat barangan antik atau tradisional yang kini jarang ditemui selain di muzium-muzium.

Mengulas tentang pengalamannya merantau, Yusoff memberitahu, selepas kematian arwah ayahnya, dia telah mengembara ke seluruh negara, Singapura dan Indonesia untuk mencari barangan antik selain menimba pengetahuan tentang sejarah kawasan yang dikunjungi.

Menurutnya, pada 2001 dia telah merantau ke Indonesia bagi mencari pengalaman di sana sehingga terpaksa membuat pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup di samping mencari barang-barang antik di negara itu.

"Semasa di sana saya sempat melawat tempat bersejarah yang dipanggil Candi Pengdawa Lima di Gunong Dieng Wonosoto dan di situlah saya mendapat pelbagai batu asli, tombak, keris dan pelbagai barangan lama lain," ujarnya yang suka membahasakan dirinya sebagai Abang Mie.

Jelasnya, selepas dua tahun berada di Indonesia, dia telah bertemu jodoh dengan seorang wanita tempatan berasal dari Kampung Beringin Annom Kertek, Wonosobo, Jawa Tengah dan telah dikurniakan dua orang anak, Mohd. Saifuddin, 5, dan Nur Insyirah, 2.

Mengikut cerita Yusoff, di rumahnya sekarang terdapat beratus-ratus senjata tajam antik yang disimpannya seperti pelbagai jenis keris, pedang, pisau dan badik.

Katanya, dia bersedia menjual barangan antik itu sekiranya ada pembeli dan mendapat tawaran berpatutan.

Dalam pada itu, Yusoff memberitahu, dia turut memiliki sebilah keris dinamakan 'Keris Pandai Saraf' dikatakan berusia 300 tahun.

"Keris tersebut tertera tiga jaluran anak sungai pada bilahnya, berhulukan kayu kemuning dan sampil atau sarungnya diperbuat daripada kayu batang serunai dan senoi pelok.

"Saya pun pertama kali melihat keris seperti itu, buatan seninya amat unik dan menakjubkan," katanya.

Menceritakan asal usul keris 'istimewa' itu, Yusoff mendakwa, perkataan keris itu sendiri dikatakan berasal dari bahasa Jawa Kuno iaitu 'malang kerik' yang bermaksud bercekak pinggang.

Katanya, keris digunakan untuk mempertahankan diri semasa bersilat dan sebagai alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu.

"Keris berasal dari Kepulauan Jawa dan keris telah digunakan antara abad ke-9 dan abad ke-14 lagi. Senjata ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung,'' katanya.

Tambahnya, keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diasapkan pada masa-masa tertentu terutama pada malam Jumaat.

Bagi yang ingin melihat sendiri koleksi barangan antik milik Yusoff, bolehlah mengunjungi gerainya di Laman Siti Khadijah yang beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

RM1 juta bina 12 jalan kampung

Posted:

RM1 juta bina 12 jalan kampung

RM1 juta bina 12 jalan kampung

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Kerja membina jalan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.


PASIR PUTEH 24 Feb. - Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membina 12 jalan kampung di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini untuk kemudahan rakyat.

Penyelaras Pembangunan Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, kelulusan peruntukan itu berdasarkan permohonan yang dikemukakan pada akhir tahun lalu.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian berkata, empat DUN terbabit adalah Semerak, Gaal, Limbungan dan Selising

Katanya, selain pembinaan jalan baru, peruntukan tersebut turut melibatkan kerja membaiki jalan rosak akibat banjir yang dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.

"Peruntukan itu juga untuk projek pembentungan tebing sungai, pembangunan masjid dan surau bagi keselesaan rakyat beribadat.

"Kita juga memusatkan perhatian terhadap keindahan landskap dan kebersihan tandas di masjid untuk diselesaikan dengan menggunakan peruntukan yang sama," katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan jalan di Kampung Raja Dagang, dekat sini hari ini.

Pembinaan jalan itu memberi kemudahan kepada penanam tembakau untuk berulang-alik ke kawasan ladang bagi mengangkut hasil tanaman mereka.

Sebelum ini, penanaman terbabit menghadapi masalah ketiadaan jalan yang baik sehingga menyukarkan mereka ke ladang berikutan tanah pasir berdebu.

Zawawi berkata, kemudahan infrastruktur yang disediakan itu akan memudahkan petani mengangkut hasil pertanian dan akan merancakkan lagi produktiviti pertanian yang diusahakan oleh penduduk.

"Pembinaan jalan kampung sepatutnya dibina oleh kerajaan negeri yang disalurkan menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

"Tetapi tanggungjawab itu terpaksa digalas kepimpinan UMNO setempat memandangkan tiada usaha dilakukan pihak berkenaan walaupun kemudahan itu amat diperlukan oleh rakyat.

"Apa kelebihannya kalau kita terus berada di bawah kepimpinan kerajaan negeri yang gagal menyediakan kemudahan prasarana kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, kesedaran itu perlu dibangkitkan semula supaya rakyat tidak mudah terpedaya dengan janji manis sepanjang kempen pilihan raya.

"Keadaan ini perlu diubah dengan rakyat memberi mandat kepada kerajaan yang lebih bertanggungjawab serta sentiasa memberi perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Cherang Ruku, Mohd. Yusof Awang Mat berkata, peruntukan itu jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Pusat dalam membantu penduduk.

"Ini melegakan penduduk yang sebelum ini terpaksa guna sumber kewangan sendiri untuk bina jalan dengan membeli tanah bukit," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

300 petani terima sumbangan baja bernilai RM20,000

Posted:

300 petani terima sumbangan baja bernilai RM20,000

300 petani terima sumbangan baja bernilai RM20,000


Hanafi Mamat (tengah) menyampaikan baja kepada seorang petani di Kampung Tendong Tepi Sungai, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 24 Feb. - Kira-kira 300 petani dari kawasan Tendong menerima sumbangan baja bernilai RM20,000 daripada Kerajaan Pusat untuk meningkatkan hasil tanaman mereka.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat berkata, petani terbabit mengusahakan tanaman sayur-sayuran termasuk timun, terung, bendi, kacang panjang dan tembikai yang merupakan sumber pendapatan keluarga.

Beliau berkata, sumbangan baja itu diberikan bagi membolehkan petani terbabit meningkatkan hasil tanaman seterusnya memperoleh pendapatan lebih tinggi.

"Pemberian baja itu juga dapat mengurangkan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh petani terbabit," katanya pada majlis penyampaian baja itu di Kampung Tendong Tepi Sungai, di sini hari ini.

Menurutnya, sungguhpun kebanyakan petani terbabit mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan, tetapi hasil yang dikeluarkan dapat memenuhi keperluan sayur-sayuran di pasaran tempatan.

Beliau berkata, sayur-sayuran yang mencukupi di pasaran secara tidak langsung dapat memastikan harga di tahap terkawal, sekali gus membantu pengguna dalam mengurus kewangan mereka.

Katanya, masyarakat petani di daerah itu seharusnya meningkatkan pengeluaran hasil tanaman mereka yang sentiasa mempunyai pasaran.

"Peningkatan hasil tanaman turut meningkatkan pendapatan mereka, seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga," katanya.

Hanafi turut mencadangkan supaya petani terbabit mempelbagaikan lagi hasil tanaman mereka bagi menambah pendapatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan