The Malaysian Insider :: Bahasa |
Kerdau: pekena patin masak tempoyak di Temerloh Posted: 25 Feb 2011 11:33 PM PST TEMERLOH, 26 Feb — Mereka yang berada di bandar Temerloh sempena hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau hari ini tidak melepas peluang untuk menikmati ikan patin masak tempoyak yang terkenal di sini. Pekan Kerdau terletak kira-kira 23 kilometer dari bandar Temerloh. "Masam, pedas, sedap dan segar," kata pengunjung di sebuah gerai di tapak Pekan Sehari. "Di sini, mereka bela ikan dalam sangkar. Itu yang sedap. Kalau dalam kolam rasanya berbeza dan agak hanyir. Cara memasak di Temerloh juga berbeza dari tempat lain sebab itu orang lain kena cuba," kata Baharuddin Isa, 42, dari Kuantan. "Ikan patin masak tempoyak di sini yang masam dan pedas memikat hati saya untuk menikmatinya dan saya ketagih untuk terus menikmatinya lagi," kata Insp Johari Ahmad dari Shah Alam, Selangor, yang merancang untuk menikmati ikan patin tersebut sebelum beliau sampai ke Temerloh lagi. Oleh kerana sambutan yang luar biasa, ada gerai yang terpaksa menambah masakan mereka yang habis dalam sekejap masa. "Saya juga terpaksa menambah dua lagi pekerja kerana tak menang tangan. Pengunjung datang dari satu Malaysia nak makan masak tempoyak ikan patin," kata Shamsuddin Joned, pemilik gerai Singgah Sokmo. Amron Ambut berkata beliau juga terpaksa menambah tempahan ikan patin untuk dimasak, dari penternak ikan patin di Sungai Pahang kerana masakan ikan patinnya sudah kehabisan. "Saya terpaksa masak kuahnya dahulu dan tunggu ikan datang kerana stok yang ada habis dengan cepat kerana ramai yang datang sempena penamaan calon hari ini," katanya yang sedang menunggu ikan patin segar yang ditempahnya. Penternak patin Shaari Othman berkata harga sekilogram patin "liar" yang terdapat di dalam sungai boleh mencecah RM80 sekilogram tetapi sukar didapati kerana ia perlu dipancing. Patin turut dijual di pasar minggu di Temerloh setiap Ahad. Mungkin semasa hari mengundi di Kerdau 6 Mac ini iaitu pada hari Ahad, pengunjung boleh membeli ikan patin dan pekena patin masak tempoyak Temerloh sekali lagi. — Bernama |
Shahlan Ismail: Pelajar tidak mampu boleh mohon bantuan kerajaan untuk pulang ke Mesir Posted: 25 Feb 2011 11:21 PM PST Shahlan Ismail: Pelajar tidak mampu boleh mohon bantuan kerajaan untuk pulang ke MesirJITRA, 26 Feb — Pelajar yang tidak mampu menampung perbelanjaan pulang ke Mesir bagi meneruskan pengajian boleh memohon bantuan kerajaan, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail. Beliau berkata permohonan boleh dibuat kepada agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA). Semua permohonan akan dipertimbang secepat mungkin kerana mereka perlu kembali ke sana sebelum 12 Mac, katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau turut meminta negeri-negeri yang belum membuat keputusan untuk membantu anak negeri masing-masing agar membuat keputusan segera. — Bernama |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan