Sabtu, 26 Februari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Semua Pejabat Pos beroperasi esok untuk pengguna bayar saman

Posted: 25 Feb 2011 09:09 PM PST

KUALA LUMPUR: Semua pejabat pos di seluruh negara dibuka esok untuk memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman trafik mereka pada hujung minggu.

Pengarah Pengurusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar berkata, waktu operasi adalah seperti hari biasa.


"Kami faham ada pelanggan yang sukar menjelaskan bayaran saman mereka pada hari bekerja, justeru kami berusaha membantu dengan membuka pejabat pos terpilih untuk sebarang urusan pada hari Ahad.

"Kami harap pelanggan akan menggunakan peluang ini untuk menjelaskan bayaran saman mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata untuk maklumat lanjut orang ramai boleh hubungi talian Posline di 1-300-300-300 atau layari laman web www.pos.com.my.-Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua kemuka borang pencalonan PRK DUN Merlimau

Posted: 25 Feb 2011 06:44 PM PST

JASIN: Dua calon, seorang dari Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi dari PAS mengemukakan kertas pencalonan mereka sebelum tempoh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau di Dewan Platinum Politeknik Merlimau dekat sini, ditutup pada pukul 10 pagi.

Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff dalam tempoh sejam proses itu berlangsung sejak 9 pagi ini.


Calon BN, Roslan Ahmad, 44, dilihat memasuki dewan tersebut untuk menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.09 pagi, manakala calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, pada 9.02 pagi.

Cuaca cerah di pusat penamaan itu melancarkan proses penamaan calon pagi ini.


Sebelum itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon BN bersama ribuan penyokong ke pusat penamaan calon itu.


Turut mengiringi Ketua Menteri Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Merlimau, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas; Presiden MIC Datuk G Palanivel dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa mengiringi calon parti itu bersama ribuan penyokong ke pusat penamaan calon itu.


Turut mengiringi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sebaik tempoh pencalonan ditutup, borang-borang pencalonan dipamerkan di papan kenyataan berhadapan pusat penamaan itu untuk semakan umum.

Tempoh bantahan dibuka selama sejam dan tamat pada jam 11 pagi.


Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.


Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.-Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan