Rabu, 23 Februari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Ambil langkah jimat cermat

Posted:

Ambil langkah jimat cermat

Ambil langkah jimat cermat

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

RAKYAT sudah pasti berasa lega dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen untuk tidak menaikkan harga petrol RON95 dalam waktu terdekat.

Langkah itu dilakukan walaupun kerajaan terpaksa menanggung subsidi cukup tinggi berikutan harga minyak mentah dunia terus meningkat sehingga melepasi AS$108 (RM327) setong semalam.

Peningkatan itu ekoran kebimbangan berlaku pengurangan pengeluaran minyak akibat pergolakan politik di negara-negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) di Asia Barat dan Afrika Utara.

Kenaikan berkenaan telah menyebabkan beberapa negara bertindak meningkatkan harga petrol termasuk China yang pada minggu lalu menaikkan harga bahan api itu sebanyak 4.6 peratus iaitu kenaikan kedua dalam tempoh tiga bulan selepas kenaikan 14.4 peratus pada Disember lalu.

Afrika Selatan pada 2 Februari lalu turut menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 26 sen seliter atau 2.7 peratus.

Negara-negara lain yang turut menaikkan harga petrol RON95 bermula awal tahun ini adalah Amerika Syarikat (AS), Austria, Belgium, Finland, Jerman, Belanda, Portugal, Sweden dan United Kingdom.

Walaupun kerajaan telah memberi jaminan tiada kenaikan harga petrol RON95 dalam waktu terdekat, rakyat harus bersedia dari segi mental untuk menghadapi peningkatan harga bahan api itu yang dijangka tidak dapat dielakkan berikutan wujud tanda-tanda krisis politik di Mesir yang kini merebak ke Libya akan turut berjangkit ke Iran.

Iran merupakan pengeluar kedua terbesar dalam OPEC dengan membekalkan 3.7 juta tong minyak mentah sehari ke pasaran dunia. Keadaan juga akan menjadi semakin parah jika krisis berkenaan merebak ke Arab Saudi yang merupakan pengeluar terbesar dalam pertubuhan yang mempunyai 12 negara anggota itu dengan 10.5 juta tong sehari.

Kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia itu jika berterusan akan menyebabkan tanggungan subsidi petrol dan diesel kerajaan mencecah RM14 bilion tahun ini berbanding RM6.3 bilion tahun lalu.

Sekiranya berlaku kenaikan harga petrol RON95, harga barangan lain sudah pasti akan turut naik berikutan peningkatan kos pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Prof. Madya Dr. Rusinah Siron, rakyat perlu bersedia menerima kemungkinan kenaikan harga petrol di pasaran tempatan meskipun kerajaan memberi jaminan tidak akan sewenang-wenang menaikkan harganya.

''Kita bercakap soal globalisasi yang mana Malaysia juga tidak boleh mengelak daripada kesan negatif daripada kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

''Kerana itu, orang ramai perlu rasional dalam menerima kenaikan harga minyak dunia ini serta kesannya kepada ekonomi negara," kata beliau.

Selain ketidaktentuan politik di negara-negara Arab yang merupakan negara pengeluar minyak terbesar dunia, jelas beliau, kenaikan harga minyak juga boleh berpunca daripada bencana alam, kemerosotan sumber bumi itu dan tekanan ekonomi global.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dan Pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah turut mengakui kenaikan harga petrol tidak dapat dielakkan berikutan trend peningkatan harga bahan api itu di pasaran dunia sejak akhir-akhir ini.

Katanya, rakyat harus bersedia berdepan dengan kemungkinan kenaikan itu walaupun kerajaan memberi jaminan tidak akan meningkatkan harga petrol dalam waktu terdekat.

''Kenaikan harga ini perlu dilihat dari sudut positif kerana ia sebenarnya memberi manfaat kepada industri dan seluruh rakyat negara ini,'' ujarnya.

Seperti yang diungkap oleh Haim Hilman, rakyat seharusnya bersikap positif dengan kenaikan harga petrol yang kemudiannya sudah tentu akan diikuti dengan peningkatan harga barangan.

Kenaikan harga berkenaan sudah pasti tidak akan memberikan kesan ketara sekiranya pengguna membuat persediaan secukupnya termasuk mengamalkan sikap berjimat cermat.

Tabiat gemar makan di kedai mungkin boleh ditukar dengan memasak sendiri dan membawa bekal ke pejabat. Rakyat juga boleh mengurangkan lagi penggunaan gula dalam makanan dan minuman seharian, sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi.

Penjimatan penggunaan elektrik juga boleh dibuat dengan memastikan lampu dan kipas dipadamkan apabila tiada orang di dalam bilik. Televisyen juga tidak boleh dibiarkan terpasang tanpa sesiapa menonton. Rakyat juga boleh berjimat cermat dengan menggunakan perkhidmatan awam.

Dengan persediaan dan perancangan secukupnya, rakyat sudah pasti tidak akan panik apabila harga barangan naik secara mengejut. Ini kerana, kenaikan terbabit boleh berlaku akibat faktor lain selain peningkatan harga minyak mentah dunia.

Ini terbukti bagi tempoh Julai hingga Disember 2010, harga makanan dunia melambung sehingga 32 peratus akibat bencana alam, termasuk kemarau di Rusia, Asia Tengah dan Eropah. Ia juga berpunca daripada banjir yang melanda India, Pakistan, China dan Australia sepanjang tempoh tersebut.

Selain membuat persiapan, rakyat tidak harus bersikap menyalahkan kerajaan apabila berlaku kenaikan harga bahan api dan barangan yang berpunca daripada faktor global yang tidak boleh dielak.

Mereka juga, harus mengelak diri daripada terpengaruh dengan pihak oportunis yang cuba mempolitikkan isu berkenaan untuk meraih sokongan.

Pada masa sama, peniaga juga tidak harus mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya dengan alasan peningkatan harga minyak. Sebarang kenaikan seharusnya dibuat secara munasabah.

Marilah kita bersama-sama melihat senario kenaikan harga minyak dan barangan dari sudut positif dengan mengamalkan sikap berjimat cermat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sekadar perubahan kosmetik

Posted:

Sekadar perubahan kosmetik

Sekadar perubahan kosmetik

OLEH HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


universiti Industri Selangor (Unisel) diberi nama baru oleh Kerajaan PKR Selangor berkuat kuasa 16 Februari lalu. - UTUSAN/ Asmaruddin Jamaluddin


PADA 16 Februari lalu, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengumumkan penukaran nama Universiti Industri Selangor (Unisel) kepada Universiti Selangor berkuat kuasa serta merta.

Ia dilihat sebagai satu penjenamaan semula kepada institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu setelah kira-kira 12 tahun penubuhannya. Penubuhan universiti itu pada 1999 asalnya adalah idea bernas kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mungkin kerajaan negeri sekarang tidak mahu lagi rakyat mengenang bahawa pembinaan universiti itu adalah hasil kejayaan pembangunan yang dilaksanakan oleh BN sebelum ini.

Timbul persoalan adakah penjenamaan semula itu benar-benar seiring dengan kedudukan semasa universiti itu atau ia sekadar perubahan kosmetik yang dilakukan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Atau ia sekadar satu propaganda atas nama imej baru bagi menutup pelbagai masalah yang melanda Unisel sejak pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada 2008.

Apa sebenarnya yang ingin ditonjolkan melalui penjenamaan semula yang dibuat ala 'mi segera' itu dalam keadaan pengurusan universiti dikatakan belum bersedia sepenuhnya. Adakah ia sekadar perubahan logo dan nama?

Kita boleh berkunjung ke kampus utama Unisel di Bestari Jaya dan kampus Shah Alam di Seksyen 7 untuk menyaksikan apakah perubahan yang hendak sangat ditonjolkan itu.

Ketempangan sudah kelihatan beberapa hari sebelum pengumuman penukaran nama Unisel apabila pengumuman pelantikan Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru dilakukan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali.

Sepatutnya pengumuman itu dilakukan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atau paling tidak Menteri Besar sendiri. Sumber dalaman menyebut baginda murka dengan tindakan tersebut.

Difahamkan penyerahan watikah pelantikan canselor itu dijadual disempurnakan oleh baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 1 Mac ini.

Apa guna penjenamaan semula sekiranya Unisel berada dalam keadaan tenat sejak diambil alih oleh kerajaan PKR. Universiti itu kini menderita akibat kerugian yang ditaksirkan hampir RM60 juta sejak hampir tiga tahun lalu sehingga membuatkan ia terpaksa menggunakan dana rezab universiti.

Difahamkan Unisel sekarang sudah berada di bawah pemantauan setiausaha syarikat yang diletakkan di Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang turut memantau perjalanan anak-anak syarikat kerajaan negeri yang bermasalah.

Pentadbiran Abdul Khalid sudah pasti tidak akan membiarkan Unisel muflis. Abdul Khalid akan menerima malu besar jika sebuah universiti di Selangor terpaksa ditutup kerana rugi. Lantas tiada jalan lain kecuali beliau terpaksa membelanjakan dana negeri untuk menyelamatkan universiti itu.

Jika ini berlaku, mungkin kerajaan negeri terpaksa menutup pusat pendidikan negeri lain bagi menampung perbelanjaan sebagaimana dilakukan ke atas Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Sabak Bernam.

Pada satu sisi, kerajaan negeri cuba memberikan gambaran pelantikan canselor yang baru bukan dari kalangan orang politik bagi menunjukkan mereka tidak mahu mempolitikkan sistem pendidikan di Selangor, selain menyahut saranan mahasiswa Unisel yang mahu universiti itu diterajui oleh tokoh yang tidak terbabit dalam politik.

Namun pada masa yang sama, sebenarnya Unisel kini diperkudakan untuk kepentingan politik PKR apabila ramai tenaga pentadbiran dilantik daripada kalangan kroni parti itu. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dengan bangga menyatakan Unisel adalah satu-satunya universiti yang membenarkan beliau masuk untuk berceramah.

Kegiatan politik PKR dalam Unisel merimaskan para kakitangan dan pengurusan universiti berkenaan serta ibu bapa pelajar. Ini termasuk apabila mereka turut dikerah untuk menyertai majlis pelancaran Buku Jingga di Selangor pada bulan depan.

''Apa kaitan kami sebagai kakitangan Unisel dengan program politik PKR. Tetapi apa boleh buat, kami terpaksa mengikut arahan," kata seorang kakitangan universiti itu dalam nada kesal.

Selain itu, banyak program universiti dilakukan tanpa perancangan teliti hingga mengakibatkan banyak usaha menaikkan prestasi Unisel terbantut. Sumber dalaman menyebut tentang kegagalan perancangan penubuhan Fakulti Biomedik apabila pada sesi pengambilan Julai ini, hanya terdapat seorang pelajar mendaftarkan diri setelah ratusan ribu ringgit dibelanjakan bagi membeli kelengkapan dan pengambilan pensyarah.

Kemalapan Unisel turut dikongsi oleh Setiausaha MIC Selangor, K. Parthiban yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok. Beliau pernah mengalahkan Abdul Khalid dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 2007 sebelum DUN itu dimenangi oleh Abdul Khalid dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Bagi beliau, penjenamaan semula Unisel tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada pelajar dan universiti kecuali kepada kroni-kroni Abdul Khalid yang akan diberi projek-projek percetakan, pemasangan papan tanda, landskap dan alat pejabat yang baru.

Beliau juga menyifatkan melalui penukaran nama Unisel, Abdul Khalid sebenarnya cuba menutup masalah-masalah yang melanda universiti itu dengan propaganda imej baru.

Parthiban mendakwa, Unisel sebenarnya menghadapi masalah besar apabila kadar kemasukan pelajar ke universiti itu merudum teruk dengan anggaran lebih 50 peratus bagi setiap kemasukan.

Data terkini menunjukkan Unisel mempunyai kira-kira 12,000 pelajar termasuk pelajar luar negara, sedangkan satu ketika dahulu, difahamkan kadar permintaan memasuki universiti itu mencecah 20,000 pelajar.

''Kekurangan pelajar yang serius ini dipercayai berpunca daripada hilangnya kredibiliti Unisel sebagai pusat pendidikan tinggi yang boleh diyakini masyarakat.

''Secara umumnya, ibu bapa tidak lagi mahu menghantar anak-anak ke Unisel kerana ia dilihat sebuah institusi pendidikan yang dipolitikkan," kata Parthiban.

Mengimbau kembali penubuhan Unisel di Bestari Jaya ketika zaman BN, beliau menjelaskan pembinaan universiti itu bertujuan menjadi pemangkin keseluruhan kawasan tersebut terutamanya DUN Ijok.

''Selepas pembukaannya, banyak rumah-rumah kosong dipenuhi pelajar dan tenaga pengajar yang menyewa. Kedai-kedai di pekan Bestari Jaya juga mulai merasa tempias pembangunan universiti ini.

''Boleh dikatakan sejak dibuka, Unisel di Bestari Jaya berjaya menjana ekonomi setempat seperti mana yang berlaku di Sintok, Kedah apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) dibuka beberapa dekad lalu," katanya.

Justeru katanya, apabila Abdul Khalid terpilih menjadi Menteri Besar, penduduk DUN Ijok berharap pembangunan dan perkembangan Unisel akan bertambah pesat.

''Namun... datang lihatlah sekarang, Bestari Jaya sudah tidak meriah dahulu. Menteri Besar bukan sahaja gagal membawa pembangunan lain di sini, Unisel pula kian malap dan dirundung masalah.

''Kekurangan pelajar menyebabkan kawasan tersebut tinggal sepi. Ramai orang tempatan yang dulu berpeluang mendapat kerja di Unisel kini semakin ramai terpaksa diberhentikan," katanya.

Beliau mendapati kerajaan negeri sudah tidak mempunyai idea tersendiri bagi meneruskan kecemerlangan Selangor dalam bidang pendidikan.

''Apa yang mereka mampu buat hanya membuat perubahan-perubahan kosmetik terhadap kejayaan BN. Lebih malang, perubahan-perubahan yang cuba dilakukan tidak lebih seperti tikus membaiki labu.

''Hakikatnya, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Demikian juga masalah-masalah Unisel tidak boleh diselesaikan dengan menukar nama," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan