Utusan Online - Pahang |
- Pesta Menangkap Ikan meriah
- Tasik Mini Estet disaran jadi destinasi pelancongan
- Suri rumah trauma leher diacu pisau
Posted: Pesta Menangkap Ikan meriahOleh MUSAZLILA MUSTAPAR Orang ramai membanjiri Tasik Mini Estet, Kampung Cempaka, Lanchang sempena Pesta Menangkap Ikan, baru-baru ini. – utusan/ MUSAZLILA MUSTAPAR LANCHANG 23 Feb. – Seawal pukul 7 pagi orang ramai sekitar Lanchang termasuk dari Kuala Lumpur telah membanjiri Tasik Mini Estet, Kampung Cempaka, dekat sini untuk menyertai Pesta Menangkap Ikan, baru-baru ini. Meskipun pesta itu dianjurkan dua tahun sekali namun, setiap kali ia diadakan, sambutan yang diterima amat luar biasa. Ini kerana tasik yang berkeluasan 16 hektar itu mampu menampung jumlah peserta yang ramai dalam satu-satu masa. Tambahan pula, kedudukan Lanchang yang terletak di laluan yang hampir dengan daerah Lipis, Raub, Bentong dan Kuala Lumpur memudahkan orang ramai untuk sama-sama menyertai pesta tradisi itu. Apa yang menarik dalam pesta tersebut ialah para peserta berpeluang menangkap pelbagai spesies ikan yang terdapat di dalam tasik berkenaan. Ada juga peserta yang sanggup bermalam di tepi tasik itu kerana tidak mahu terlepas peluang untuk menangkap ikan pada keesokan harinya. Bagi tujuan itu, mereka membawa pelbagai kelengkapan menangkap ikan termasuk jala, jaring dan sauh. Ada kalangan mereka juga membawa ramai ahli keluarga supaya mendapat jumlah tangkapan yang banyak. Keseronokan peserta terbabit jelas terpancar menerusi keceriaan masing-masing ketika menangkap ikan. Tidak kurang juga ada antara mereka yang sekadar mahu bersuka ria bersama ahli keluarga dan merasai kehidupan orang kampung menangkap ikan air tawar. Pada pesta kali ini, lebih 2,000 peserta tidak melepaskan peluang menyertainya untuk mendapatkan ikan yang kaya dengan sumber protein itu. Pesta menangkap ikan tersebut dirasmikan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan. Turut hadir, Ketua UMNO Cawangan Kampung Cempaka, Ishak Jamaludin, Setiausaha UMNO Bahagian Temerloh, Razmi Sudin dan Pegawai Perikanan Temerloh, Haris Lebai Yunus. Pengerusi Tasik Mini Estet itu, Ishak Mohamad berkata, kawasan terbabit mempunyai 52,000 spesies ikan termasuk likoh, kap rumput, jelawat, patin, lampam, rohu, keli, haruan, puyu dan sepat. Menurutnya, pesta itu diadakan dua tahun sekali kerana pihaknya mengalami masalah kewangan untuk membeli makanan ikan. Sehubungan itu, jelasnya, pihaknya terpaksa membiarkan ikan-ikan di dalam tasik terbabit membesar dengan mencari makanan sendiri seperti rumpai, rumput dan hidupan kecil lain. "Kita memang berhasrat mengadakan pesta ini setiap tahun tetapi memandangkan mengalami masalah kewangan, kita terpaksa membiarkan ikan ini membesar secara semula jadi dengan memakan makanan yang ada di dalam tasik itu. ''Jika kita memberi makanan tambahan sudah pasti kadar pertumbuhan ikan ini lebih cepat. "Dengan keluasan tasik ini, kami tidak mampu memberi ikan-ikan makan setiap hari. Namun, kita lihat ikan ini membesar dengan baik dan rasa isinya lebih sedap kerana ia memakan sumber semula jadi yang ada di dalam tasik," katanya. Ishak berkata, tasik semula jadi tersebut boleh memuatkan lebih 200,000 ribu ikan dalam satu-satu masa. Bagaimanapun jelasnya, jumlah itu terpaksa dikurangkan supaya ikan-ikan yang terdapat dalam tasik tersebut dapat membesar dengan baik. Pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Perikanan daerah yang tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar dalam memastikan ikan-ikan dalam empangan itu membesar dan hidup dalam habitat yang selesa. |
Tasik Mini Estet disaran jadi destinasi pelancongan Posted: Tasik Mini Estet disaran jadi destinasi pelanconganSohaimi Shahadan (tiga dari kiri) menunjukkan ikan yang berjaya ditangkap oleh peserta dalam Pesta Menangkap Ikan di Tasik Mini Estet, baru-baru ini. LANCHANG 23 Feb. – Kerajaan negeri diminta menjadikan Tasik Mini Estet, Kampung Cempaka dekat sini sebagai salah satu destinasi pelancongan utama bagi Pahang. Bagi tujuan itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya akan berunding dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk merealisasikan hasrat itu. "Kita harap tasik ini mendapat perhatian Datuk Seri Noh Omar supaya menjadi aset penting kepada penduduk sekitar kawasan Lanchang ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Pesta Menangkap Ikan di tasik itu baru-baru ini. Menurut beliau, kawasan itu berada di lokasi strategik yang paling dekat dengan Kuala Lumpur untuk membolehkan penduduk di ibu negara menyertai pesta berkenaan. "Sebanyak 200,000 benih ikan baru perlu dilepaskan dalam Tasik Mini Estet ini supaya pesta menangkap ikan pada tahun akan datang menjadi lebih meriah selain dapat diadakan setiap tahun. "Di samping itu, tasik ini juga perlu dipromosikan secara lebih meluas sama ada dalam media cetak mahupun elektronik supaya orang ramai mengetahui kegiatan tahunan di sini. "Kita juga berharap penduduk Kuala Lumpur yang tidak pernah merasai kehidupan kampung boleh datang ke tasik ini untuk sama-sama menangkap ikan dan merasai keseronokan itu," katanya. Sohaimi berkata, pesta itu dapat menggiatkan promosi makan ikan air tawar dalam kalangan masyarakat kerana masih ramai yang tidak menggemari memakan sumber protein tersebut. Menurutnya, golongan muda kini lebih gemar makan makanan segera yang mendatangkan banyak risiko penyakit. ''Sebab itulah kita perlu menggiatkan promosi makan ikan air tawar untuk kesihatan. Kita lihat masyarakat kampung menjadikan ikan haruan sebagai makanan kepada ibu lepas bersalin untuk memulihkan luka semasa melahirkan anak dan luka dalaman. "Saya juga mencadangkan supaya dalam pesta akan datang, kita mengadakan pesta membakar ikan secara besar-besaran supaya semua pengunjung dapat menikmati ikan air tawar ini," katanya. Selain itu, menurut beliau, pihak jawatankuasa tasik terbabit perlu menubuhkan sebuah koperasi supaya dapat menguruskan operasi dengan lebih baik, tersusun dan bersistematik. "Saya juga berharap tasik ini menjadi salah satu pusat memasarkan ikan air tawar terbesar dalam negara. Sebab itu sebuah koperasi perlu ditubuhkan bagi mengendalikan projek ini," katanya. Sementara itu, seorang peserta yang ditemui, Wan Said Wan Muda, 54, memberitahu, setiap kali pesta itu diadakan, dia tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyertainya kerana ia merupakan satu kepuasan dan dapat sama-sama beriadah bersama keluarga serta rakan-rakan. Menurutnya, pesta seumpama itu merupakan salah satu cara terbaik untuk beriadah. "Bagi mereka yang menyertai pesta ini, pasti merasa puas dan seronok melihat pelbagai kerenah dan cara orang ramai menangkap ikan. "Kita juga dapat bertemu rakan baru yang datang dari daerah lain. Kebanyakan yang menyertai pesta ini hanya untuk beriadah bersama ahli keluarga," katanya. Selain itu, Wan Said berkata, pesta itu juga sangat bermanfaat terutama kepada golongan muda yang tidak tahu spesies ikan air tawar. Dengan adanya pesta itu jelasnya, mereka akan mengetahui setiap spesies ikan air selain melihat sendiri rupanya. "Kita harap promosi makan ikan air tawar diperhebatkan kerana ia mengandungi sumber protein yang tinggi dan baik untuk kesihatan. Ada juga beberapa spesies ikan air tawar yang dijadikan ubat bagi sesetengah penyakit," katanya. |
Suri rumah trauma leher diacu pisau Posted: Suri rumah trauma leher diacu pisauOleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM KUANTAN 23 Feb. – Seorang suri rumah kini trauma apabila lehernya diacu dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki dalam kejadian samun di rumahnya di Indera Mahkota, di sini semalam. Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 38 tahun tinggal bersendirian dan sedang mengemas rumah di tingkat atas rumahnya. Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, tiba-tiba mangsa terdengar bunyi bising dari dapur rumahnya. "Mangsa turun ke tingkat bawah dan mendapati tiada apa-apa di dapurnya sebelum naik semula ke tingkat atas. "Tidak lama selepas itu mangsa terdengar lagi bunyi yang sama lalu bergegas turun ke bawah semula dan terkejut apabila terserempak suspek berusia lingkungan 20-an memegang sebilah pisau. "Suspek bertindak mengacukan pisau itu ke leher mangsa sebelum meminta mangsa menyerahkan barang-barang berharga," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini. Menurut Noor Asyikin, suspek turut menampar mangsa beberapa kali dan mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya dia enggan mematuhi arahan. "Ketika suspek sibuk menggeledah rumah, mangsa berjaya melarikan diri melalui pintu dapur untuk meminta pertolongan jirannya. "Suspek yang terkejut dengan tindakan mangsa segera keluar dari rumah dan sempat melarikan tiga unit telefon bimbit milik mangsa," katanya. Ekoran itu, katanya, mangsa kerugian sebanyak RM2,000 tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. "Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan