Khamis, 24 Februari 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Bayar sekarang!

Posted:

Bayar sekarang!

Bayar sekarang!

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my


Solah Mat Hassan (kiri) bersama Abdul Aziz Yusof (tengah) dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Mohamad Sauffi Mohamad pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan kadar kompaun baru kesalahan lalu lintas di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Feb. - Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.

Statistik turut menunjukkan bahawa hanya 35 saman DBKL dijelaskan dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan sikap orang ramai yang selalu mengabaikan saman pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan tidak akan menangguhkan tempoh pembayaran saman, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran secepat mungkin dan jangan menunggu sehingga hari terakhir.

"Mereka boleh membayar secara dalam talian, di kaunter agensi atau melalui 688 buah pejabat pos seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Solah berkata, JPJ, polis dan DBKL telah bersetuju dan bersedia melaksanakan kadar kompaun baru mulai 1 Mac seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

"Kadar kompaun lama bagaimanapun masih terpakai untuk saman-saman yang dikeluarkan sebelum 1 Mac.

"Untuk saman PBT, buat masa ini hanya DBKL yang terlibat dengan kadar kompaun baru tetapi ia akan diperluaskan ke lebih banyak tempat selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, pesalah trafik yang menerima saman daripada PBT termasuk DBKL buat masa ini tidak akan disenaraihitamkan walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan membenarkan tindakan tegas itu diambil.

"Hanya penerima saman polis dan JPJ yang akan disenaraihitamkan pada peringkat ini.

"Kita bagaimanapun dalam proses untuk pastikan saman lain (termasuk daripada DBKL) akan disenaraihitamkan pada masa depan apabila mekanisme dan sistem komputer yang lengkap disediakan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Malaysia-Turki rangka kerja

Posted:

Malaysia-Turki rangka kerja

Malaysia-Turki rangka kerja

Zulkefli Hamzah

ANKARA 23 Feb. - Hubungan Malaysia-Turki melangkah ke era baru apabila kedua-dua negara sepakat untuk menandatangani perjanjian rangka kerja strategik yang turut merangkumi perjanjian perdagangan bebas sebelum akhir tahun ini.

Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan yang berlangsung dalam suasana mesra dan produktif di sini semalam.

Masing-masing negara akan mengkaji cadangan yang dikemukakan dengan Najib menjemput Erdogan berkunjung ke Kuala Lumpur akhir tahun ini bagi menandatangani dua kesepakatan penting itu.

Kedua-dua pemimpin sepakat untuk menyasarkan nilai dagangan dua hala ditingkatkan kepada AS$5 bilion berbanding kira-kira AS$2 bilion tahun lalu.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan empat mata yang diikuti mesyuarat delegasi itu, Najib berkata, kesepakatan lain yang dicapai ialah memansuhkan visa dan menambah kekerapan penerbangan.

Malaysia dan Turki bersetuju memansuhkan tempoh lawatan 90 hari kepada rakyat masing-masing negara. Serentak itu, Turkish Airlines akan mewujudkan semula penerbangan terus Istanbul-Kuala Lumpur manakala Malaysia mengkaji untuk menambah kekerapan penerbangan ke Turki yang kini tiga kali seminggu.

"Ini adalah satu keputusan bersejarah dan penting yang tentunya dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara," kata Najib sambil menambah terdapat ramai rakyat Malaysia yang berasal dari Turki.

Lawatan Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut mengiringi ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kedua-dua negara juga sepakat untuk menganjurkan Kempen Melawat Malaysia di Turki dan Kempen Melawat Turki di Malaysia. Seramai 8,555 pelancong Turki melawat Malaysia dalam tempoh Januari hingga November 2010,

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Turki berkata, kesepakatan itu tentunya memberi isyarat tepat bahawa kedua-dua negara sentiasa memandang ke depan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan hubungan sesama rakyat.

Menurutnya, Malaysia-Turki juga akan melihat kemungkinan memperluaskan kerjasama antaranya dalam industri automobil dengan Proton bakal membincangkan usaha sama berkaitan.

Dalam bidang minyak dan gas, Petronas bersama syarikat Turki, TPOA yang kini menjalin kerjasama di Iraq, kata Najib, berpotensi untuk meneruskan kerjasama strategik di negara-negara lain.

Begitu juga kerjasama dalam bidang ketenteraan antara FNSS Defense System Inc. dan DRB-Hicom Berhad akan diteruskan dengan meneroka peluang-peluang perniagaan baru, katanya.

Najib turut menyatakan komitmen untuk menambah pembelian kenderaan perisai buatan FNSS bagi kegunaan tentera Malaysia.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, beliau dan Erdogan turut membincangkan perlunya negara-negara Islam mempunyai urus tadbir yang baik untuk memastikan kestabilan negara berkaitan yang kini sedang menghadapi tempoh traumatik.

"Satu-satunya penyelesaian adalah menerapkan tadbir urus kerajaan yang baik dengan mengekalkan prinsip-prinsip demokrasi dan membuat pengubahsuaian berdasarkan keperluan semasa dengan suara rakyat sentiasa didengar," katanya.

Erdogan pula yang menyifatkan lawatan Najib sebagai sangat dinanti-nantikan selepas 28 tahun lawatan Perdana Menteri Malaysia, berkata, platform perbincangan peringkat tertinggi kedua-dua negara tidak ada masalah dan beliau telah beberapa kali berinteraksi dengan Najib dalam mesyuarat-mesyuarat antarabangsa

Beliau juga melahirkan keyakinan demokrasi di Turki dan Malaysia yang telah menghasilkan banyak pencapaian boleh dijadikan model untuk dicontohi negara-negara lain. – Utusan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

209 rakyat Malaysia di Libya selamat

Posted:

209 rakyat Malaysia di Libya selamat

209 rakyat Malaysia di Libya selamat

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kesemua 209 rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di Libya berada dalam keadaan selamat selepas berlaku tunjuk perasaan bagi mendesak Muammar Gaddafi meletak jawatan.

Jurucakap Wisma Putra berkata, kedutaan besar Malaysia di Tripoli menasihatkan agar semua rakyat Malaysia berada di tempat selamat dan hanya keluar apabila keadaan terdesak.

''Kedutaan Malaysia di sana sentiasa memantau perkembangan rakyat kita di sana dan mengambil langkah sewajarnya.

''Setakat ini tiada rakyat kita terlibat dengan tunjuk perasaan itu dan mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sekurang-kurangnya 62 orang maut dalam pertempuran di ibu negara Libya, Tripoli dalam tempoh dua hari lalu.

Keadaan di negara itu semakin meruncing apabila semakin ramai penyokong setia rejim Gaddafi meletakkan jawatan dan juruterbang jet pejuang berpaling tadah selepas diarah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Duta Libya di Amerika Syarikat (AS), Bangladesh, India dan Indonesia mendesak Gaddafi berundur dengan sebahagian daripada mereka meletak jawatan dan menyatakan mereka kini berkhidmat untuk rakyat dan bukannya kerajaan Libya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi di negara bergolak itu boleh menghubungi Wisma Putra di Putrajaya di talian 03-88874570, 03-88874770, 03-88892746 dan 03-88892830.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan