Berita Harian: Wilayah |
Posted: 22 Feb 2011 01:43 PM PST Wilayah Salma menunjukkan bilik tidur yang bersambung dapur rumahnya turut runtuh ketika kejadian pada awal Januari lalu. KUALA KRAI: Bagaikan telur di hujung tanduk! Itulah yang dapat digambarkan nasib lebih 40 penduduk daripada 12 keluarga yang menghuni di rumah panjang Sungai Durian kerana terpaksa bergelut dengan maut setiap hari selepas kejadian hakisan di tebing sungai semakin parah. Tinjauan Berita Harian di kawasan berkenaan mendapati hakisan sungai yang berlaku sejak dua tahun lalu menyebabkan dapur rumah runtuh, selain menjadi punca dinding dan lantai rumah retak. Keadaan itu menyebabkan penduduk dihantui kebimbangan, terutama pada waktu malam ketika hujan lebat yang dikhuatiri akan menghakis tebing sungai dan tambah meruncingkan keadaan. Walaupun sudah setahun lebih kejadian itu berlaku, namun penduduk kesal tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.Suri rumah, Siti Salma Awang, 57, berkata beliau mangsa terakhir dapur rumah runtuh di kawasan itu ketika musim tengkujuh hampir berakhir awal tahun ini. "Kejadian itu berlaku pada waktu malam awal Januari lalu apabila saya dan ahli keluarga lain sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi kayu patah. "Anak saya kemudiannya mengejutkan kami sekeluarga dan memberitahu dapur rumah hampir runtuh dan bergegas menyelamatkan beberapa barangan elektrik bagi mengelak kerugian lebih besar.
Jirannya, Jamilah Ismail, 46, berkata beliau adalah antara beberapa mangsa terawal dapur rumah runtuh dan terpaksa membaik pulih sendiri bahagian berkenaan. "Saya menghabiskan kira-kira RM3,000 untuk baik pulih bahagian dapur itu dan bersyukur kerana mempunyai sedikit simpanan memandangkan suami bekerja sebagai pemandu ambulans di Hospital Kuala Krai. "Namun, saya simpati beberapa jiran lain yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membaiki kerosakan rumah mereka," katanya. Beliau kesal kerana tiada tindakan diambil pihak berkenaan untuk menyelesaikannya walaupun masalah itu berlarutan lebih setahun. "Jika keadaan ini terus dibiarkan berlarutan tanpa ada tindakan, saya risau tebing sungai ini akan terus terhakis dengan lebih teruk dan memusnahkan rumah kami. "Jika perkara itu berlaku, di mana kami nak tinggal sedangkan kadar sewa rumah juga semakin tinggi," tanyanya. |
Pengemis ‘antarabangsa’ banjiri KL Posted: 22 Feb 2011 01:42 PM PST Wilayah Sikap pemurah rakyat Malaysia pendorongKUALA LUMPUR: Sikap prihatin dan pemurah rakyat negara ini kepada golongan memerlukan mungkin menjadi penyebab utama mengapa kawasan di Jalan Petaling, Jalan Lebuh Pudu dan Jalan Bukit Bintang di sini dibanjiri pengemis asing. Puluhan pengemis 'antarabangsa' itu boleh dilihat mengambil tempat di kaki lima jalanan di sekitar kawasan terbabit, meminta simpati orang ramai yang lalu-lalang menghulurkan derma. Tinjauan Sentral mendapati orang ramai yang melalui kawasan terbabit tidak pernah lokek untuk mendermakan wang kepada pengemis antarabangsa berkenaan, dengan kebanyakannya mendermakan RM1. Ketidakfasihan pengemis ini bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris ketika diajukan soalan menguatkan pendapat lagi bahawa mereka ini bukan warga negara Malaysia, malah ada di antara mereka secara terang-terangan mengaku ada pihak membawa mereka masuk ke negara ini.Seorang pengemis warga China yang ditemui di Jalan Bukit Bintang, tidak memahami soalan diajukan kepadanya, sehingga ia terpaksa diterjemahkan oleh orang yang lalu-lalang di situ. Seorang lagi pengemis yang ditemui di Jalan Lebuh Pudu berdekatan Plaza Kotaraya di sini pula mengakui dia warga India dan terpaksa mengemis kerana mengalami kecacatan akibat melecur di seluruh badannya. Pengemis terbabit tanpa segan silu menayangkan badannya ketika bagi menagih simpati orang ramai.
Tukang baiki kasut di Plaza Kotaraya, Kadir Sardan, 32, mengakui kegiatan pengemis antarabangsa itu sudah bermula di kawasan berkenaan sejak setahun lalu. Katanya, pengemis terbabit memulakan kegiatan mereka pada jam 11 pagi dan akan menghilangkan diri sekitar jam 6 petang. "Saya tidak tahu jika mereka ini sebenarnya dibawa ke sini oleh sindiket atau sebaliknya," katanya. Pengunjung di Jalan Petaling, Ghazali Jamion, 50, berkata kehadiran pengemis asing ini boleh mencemarkan imej Kuala Lumpur kerana ia boleh memberi gambaran buruk kepada pelancong asing. Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap pengemis asing terbabit. "Kita tak mahu negara kita disamakan dengan beberapa negara jiran. Pemandangan sebegini bukan saja tidak selesa dilihat, malah boleh menimbulkan tanggapan buruk kepada sesiapa yang melalui kawasan itu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan