The Malaysian Insider :: Bahasa |
Ketua SPRM antara tokoh paling pengaruh dalam etika perniagaan Posted: 28 Feb 2011 01:02 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Feb – Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC), telah dinamakan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan bagi 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York. Abu Kassim, yang menduduki tempat keempat dalam senarai tokoh terkemuka itu, dihakimi daripada peranannya dalam kategori kerajaan dan amalan peraturan. Tujuh lagi kategori ialah kepimpinan pemikir; kepimpinan perniagaan; budaya korporat; pelaburan dan penyelidikan; reka bentuk dan kemampanan; media dan pemberi maklumat; NGO; dan sifat dermawan. Ethisphere menyatakan Abu Kassim, yang menyertai badan pencegah rasuah itu pada 1984, telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan program pencegahan rasuah di Malaysia, yang telah menerajui usaha itu di Asia Tenggara. Beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia dalam senarai itu yang didominasi warga Amerika dan Eropah, dipilih bersama-sama 99 yang lain yang dikatakan telah memberikan impak penting dalam etika perniagaan dalam tempoh setahun, menurut Ethisphere Institute, badan pemikir antarabangsa khusus untuk reka cipta, peningkatan dan perkongsian amalan terbaik dalam etika perniagaan, tanggungjawab sosial korporat, pencegahan rasuah dan kemampanan. – Bernama |
Azmin: Najib perlu mohon maaf Yusuf Qaradhawi, Ikhwanul Muslimin Posted: 28 Feb 2011 12:28 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pakatan Rakyat meneruskan desakan agar Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kepada ulama tersohor dunia Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyifatkan Perdana Menteri itu kini "menjadi perkakas propaganda Israel yang mendapat dukungan golongan ekstrem dalam dasar luar Amerika Syarikat." Semalam, Najib berkata beliau tidak pernah melabelkan gerakan Islam terbesar Mesir Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf Al-Qaradhawi sebagai pengganas. Sebaliknya menururt Najib, gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap sebagai kumpulan ekstrem. Sehubungan itu Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, kenyataan sembrono Najib mengenai Yusuf Al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin tidak memeranjatkan dan pendirian seumpama itu hanyalah semata-mata bertaklid dengan pendirian Amerika Syarikat. "Sebagai pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Najib telah menyinggung ulama tersohor dunia Islam dan seluruh warga Muslim di atas kenyataan tidak bertanggungjawab beliau di Istanbul, Turki yang dipetik oleh National Review Online," kata Azmin dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Azmin berkata demokrasi adalah proses politik yang bersifat inklusif dan oleh itu, satu proses politik menolak penyertaan sebahagian daripada anggota masyarakat adalah bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi. Sejak penubuhannya pada 1928 Ikhwanul Muslimin telah terlibat secara langsung dalam perjuangan rakyat Mesir melawan penjajahan. Ia juga pendukung terkuat kepada perjuangan rakyat Palestin. Sejak diharamkan dalam 1954 Ikhwanul Muslimin menjadi mangsa kepada kezaliman rejim tentera Mesir. "Meskipun ditekan selama berdekad-dekad, Ikhwanul terus kuat dan merupakan organisasi paling konsisten melawan kezaliman pemerintahan tentera dan rasuah di negara tersebut," kata Azmin. Kata Azmin, mereka yang berpandangan Ikhwanul Muslimin perlu dikeluarkan dari proses politik Mesir pasca-Mubarak dan pascarejim tentera adalah jahil terhadap sejarah politik Mesir dan aspirasi rakyat negara tersebut. "Ikhwanul Muslimin adalah sebahagian daripada rakyat Mesir dan merupakan kumpulan yang paling sedar terhadap kezaliman rejim Mubarak dan keperluan demokrasi di Mesir," katanya. Sehubungan itu kata Azmin, kenyataan Perdana Menteri yang mengaitkan Yusuf Qaradhawi dengan keganasan dan terorisme menunjukan Najib telah menjadi perkakas kepada propaganda Israel yang mendapat dukungan daripada golongan ekstrem dalam dasar luar Amerika Syarikat. "Sheikh Yusuf adalah ulama yang paling tegas memperjuangan hak rakyat Palestin. "Oleh itu, propaganda Israel dan penyokong-penyokongnya di Amerika cuba menggambarkan Sheikh Yusuf sebagai penyokong keganasan," kata Azmin lagi. Katanya, Najib harus sedar bahawa Yusuf Al-Qaradhawi adalah ulama dunia Islam yang paling berpengaruh dewasa ini. "Selama berdekad-dekad Sheikh Yusuf telah berjuang melalui tulisan dakwah beliau untuk melawan golongan ekstremis dalam Islam dengan mengemukakan falsafah kesederhanaan dalam Islam. "Maka mengaitkan Sheikh Yusuf, yang juga Tokoh Maal Hijrah tahun 2009, merupakan satu kejahilan yang tidak boleh dimaafkan. "Kerana keceluparan tersebut saya menuntut Perdana Menteri memohon maaf kepada Yusuf Al-Qaradhawi," katanya. Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak beliau menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada Ikhwanul Muslimin dan Yusuf Al-Qaradhawi. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan