Jumaat, 25 Februari 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


‘Kami sanggup tinggal di flat buruk’

Posted:

'Kami sanggup tinggal di flat buruk'

'Kami sanggup tinggal di flat buruk'

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Tinjauan status Flat PKNS Jalan Jelatek yang masih didiami walaupun sebahagian para penghuninya sudah berpindah. – utusan/Hafiz Johari


KUALA LUMPUR 25 Feb. – "Kami tidak akan berpindah selagi tuntutan kami tidak dipenuhi," kata Fadhilah Saharin, 38, salah seorang pemilik unit Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Jelatek yang tapaknya bakal dibangunkan projek mega Datum Jelatek, di sini.

Dia yang mewakili 17 pemilik, enam daripadanya unit kediaman dan selebihnya unit kedai di situ sehingga ke hari ini masih enggan menerima tawaran pampasan RM250,000 yang mereka anggap terlalu rendah berbanding bentuk pembinaan yang bakal dijalankan.

"Kami sebenarnya tidak kisah jika ada pembangunan di sini, namun pampasan yang hendak diberikan biarlah berpadanan," ujarnya.

Jawapan Fadhilah itu sekali gus merungkai persoalan yang bermain di minda sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu tentang terdapat beberapa unit masih dihuni di flat berkenaan, yang kini kelihatan begitu uzur dan seperti rumah ditinggalkan.

Katanya lagi, keputusan mereka untuk terus berada di situ diambil kerana yakin mereka berada di pihak yang benar.

Dakwanya, walaupun penghuni yang masih tinggal di situ menerima pelbagai tekanan daripada pihak tertentu dengan niat untuk menghalau mereka, ia langsung tidak menggoyahkan pendirian mereka.

Dia mendakwa, selain menjadikan unit-unit kosong sedia ada sebagai tempat pembuangan sampah, longkang di kawasan perumahan itu juga berkeadaan cukup menjijikkan.

Yang terbaru, dakwanya, bumbung flat berkenaan sengaja dicabut pihak tertentu.

Fadhilah berkata, dia mula mengambil alih perjuangan menuntut hak sebagai pemilik pada hujung tahun lalu apabila individu yang sebelum ini lantang mempertahankan perkara tersebut memilih menerima pampasan ditawarkan.

Katanya, sejak itu perkara pertama yang dilakukan olehnya ialah melantik peguam bagi mewakili mereka.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ke hari ini pemilik masih belum menerima sebarang maklum balas daripada PKNS mengenai tuntutan mereka iaitu pampasan RM500,00 bagi setiap unit kediaman dan RM1 juta bagi unit kedai.

Mereka turut menuntut diberikan keutamaan untuk ditawarkan membeli mana-mana unit dalam projek mega Datum Jelatek kelak.

Katanya, lebih menguatkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan ialah kerana beberapa perkara masih menimbulkan tanda tanya termasuk tindakan PKNS yang masih tidak menyerahkan hak milik strata kepada pemilik flat berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terlibat mendapati keadaan persekitaran flat di situ ibarat 'medan perang'.

Daripada empat blok dahulunya, kini hanya dua blok sahaja yang tinggal, sementara dua blok lagi sedang dalam proses diruntuhkan.

Secara keseluruhan hampir 95 peratus unit telah dikosongkan dan keadaan flat berkenaan sememangnya sudah tidak lagi sesuai untuk didiami.

Ini kerana persekitarannya yang kotor dan berdebu, dinding telah dipecah dan diconteng bukan sahaja kelihatan boleh mengancam keselamatan tetapi juga kesihatan.

Daripada 17 pemilik, hanya kira-kira enam hingga tujuh buah keluarga masih mendiami flat berkenaan, manakala beberapa buah kedai melibatkan kedai makan dan bengkel kereta masih beroperasi.

Seorang warga emas yang ditemui, Rubiah Othman, 58, turut mengakui keadaan flat berkenaan menyebabkan ia sudah tidak lagi sesuai dijadikan tempat tinggal, namun tetap dengan keputusan untuk tidak berpindah.

Katanya, selagi ada hayat dia tetap akan tinggal di situ kerana mahukan pampasan yang setimpal.

"Walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan ini setiap hari, ia tidak menjejaskan semangat kami," ujarnya.

Perasaan sama turut dikongsi, Norashikin Nasir, 47.

Menurutnya, dia tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap keputusan mereka sekeluarga untuk terus menetap di flat berkenaan kerana yakin mereka di pihak yang benar.

"Keputusan kami untuk tidak menerima pampasan ditawarkan kerana ia benar-benar tidak setimpal dengan apa yang bakal dibangunkan di sini," ujarnya.

Bagi Najimiah Basook, 53, pula mengakui sememangnya agak sedih meninggalkan flat yang disewa sejak 27 tahun lalu itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak ada pilihan selain menerima tawaran membeli flat PKNS di Permai Jaya, Ampang.

"Kami sekeluarga telah berpindah ke sana selepas Hari Raya tahun lepas dan sekali-sekala datang ke sini kerana memunggah barangan yang masih ada," ujarnya.

Bagi Shahrudin Baginda Basir, 55, pula selagi tidak ada surat hitam putih memintanya untuk berpindah oleh tuan punya kedai berkenaan dia tetap akan meneruskan perniagaannya di situ.

Menyewa kedai di situ sejak empat tahun lalu, dia mengakui lokasinya memang strategik kerana berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) walaupun sewa dikenakan agak tinggi.

"Walaupun keadaan di kawasan ini menyakitkan mata sesetengah orang, kami masih mempunyai pelanggan," ujarnya.

Kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar milik PKNS itu bakal berubah wajah menjadi bandar baru di bawah pelaksanaan projek mega Datum Jelatek yang bakal siap dua tahun lagi.

Datum Jelatek adalah projek pertama PKNS dalam perancangan Pembangunan Semula Taman Keramat, iaitu menukar kawasan hartanah yang mundur menjadi lebih moden sesuai dengan perkembangan semasa.

Projek bernilai RM1.2 bilion itu dijangka mengandungi empat bangunan setinggi 45 tingkat yang menempatkan kawasan kediaman, bangunan pejabat, pusat membeli belah dan hotel.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pesta Ponggal Tanjong Karang meriah

Posted:

Pesta Ponggal Tanjong Karang meriah

Pesta Ponggal Tanjong Karang meriah


NOH Omar (di dalam kereta lembu, kiri) bersama pemimpin lain diarak sebagai tanda terima kasih kepada mereka pada sambutan Pesta Ponggal yang diadakan di Kampung Parit 4, Tanjung Karang baru-baru ini.


TANJONG KARANG 25 Feb. - Pesta Ponggal atau pesta menuai yang diadakan di Kampung Parit 4 di sini baru-baru ini boleh dianggap sangat bermakna bagi penganut Hindu kawasan ini kerana ia diadakan seiring dengan hasil sawah mereka yang meningkat.

Bagi menunjukkan tanda terima kasih kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Pertanian Industri Asas Tani, atas bantuan diberikan kepada mereka selama ini, kaum India di situ telah menjemput menterinya, Datuk Seri Noh Omar, yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang ke majlis itu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias; Ketua MIC Bahagian, N.S Krishnan; Ketua MCA Bahagian, Phua Boon Chon dan Setiausaha MIC Negeri Selangor, KR Partiban.

Program anjuran MIC Bahagian Tanjong Karang itu kali kedua diadakan dan sambutan kali ini dimeriahkan dengan pelbagai acara berkait dengan budaya kaum India.

Antara yang diadakan ialah pertunjukan seni mempertahankan diri Silambam, pertandingan memasak nasi Ponggal, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan mengikat bunga melur, pertandingan pecah periuk tanah dan melukis kolam.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MIC Bahagian Tanjong Karang kerana menganjurkan Pesta Ponggal ini buat kali kedua.

"Tahun lalu diadakan di Kampung Sungai Yu dengan menjemput UMNO, MCA dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional untuk turut serta dalam sambutan ini.

"Tahniah kepada petani di Kampung Parit 4 yang difahamkan hasil padi mereka meningkat dari setahun ke setahun," katanya.

Beliau menjelaskan harga padi di Tanjong Karang iaitu RM1,150 satu tan sebenarnya adalah tinggi berbanding di tempat lain.

Sementara itu, Shamsudin pula berkata, penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Karang berasa gembira kerana Noh adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang.

"Beliau sentiasa berusaha sedaya upaya menaikkan taraf hidup petani di sini," katanya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para peserta dan pemenang pertandingan oleh Noh dan Shamsudin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lima lelaki bela diri edar dadah RM44 juta

Posted:

Lima lelaki bela diri edar dadah RM44 juta

Lima lelaki bela diri edar dadah RM44 juta

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Lima lelaki termasuk tiga beradik warga Mexico diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan mengedar 29,460.17 gram methamphetamine dianggarkan bernilai RM44 juta tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Beliau menetapkan 27 April ini untuk tertuduh mula membela diri.

Tertuduh Lim Hung Wang, 54; warga Singapura, Lee Boon Siah, 47; warga tempatan, Jose Regino Gonzales Villarreal, 33; Simon Gonzales Villarreal, 36, dan Luis Alfonso Gonzales Villarreal, 43.

Mereka didakwa mengedar dadah itu di sebuah kilang IPL Packaging Industries Sdn. Bhd., No. 55, Jalan Idaman 1/5, Senai Industries Park, Senai, Johor Bahru, pada pukul 3.15 petang, 4 Mac 2008.

Dakwaan terhadap mereka mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd. Zawawi dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan seorang saksi pendakwaan yang merupakan ahli kimia telah berjaya membuktikan kesan-kesan dadah di tempat kejadian.

Saksi tersebut memberitahu, kesan itu dijumpai pada pelbagai peralatan pemprosesan selain pakaian dan juga pada badan tertuduh.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi, mahkamah berpendapat tidak syak lagi kilang itu dijadikan tempat memproses dadah.

"Mengenai kehadiran tertuduh ketiga, keempat dan kelima yang dikatakan secara kebetulan adalah tidak munasabah," kata Mohd. Zawawi.

Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Kitson Foong, Ahmad Zaidi Zainal dan T. Kumar.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan