Khamis, 24 Februari 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Malaysia, Turki buka era baru

Posted: 23 Feb 2011 01:47 PM PST

MukaDepan

NAJIB diiringi Erdogan ketika tiba untuk lawatan rasmi ke Turki, kelmarin.

NAJIB diiringi Erdogan ketika tiba untuk lawatan rasmi ke Turki, kelmarin.

Kerjasama dua hala dalam bidang politik, sosial dan ekonomi terus diperkukuh

SELEPAS 28 tahun, Malaysia dan Turki membuka era baru dalam hubungan dua hala menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mulai Isnin lalu yang mampu mengukuh serta mengembangkan kerjasama dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.

Perkara itu diakui Najib dan rakan sejawatnya, Recep Tayyip Erdogan ketika mengadakan pertemuan kira-kira dua jam di Pejabat Perdana Menteri Turki itu, di sini kelmarin.

Kali terakhir lawatan peringkat tertinggi dari Malaysia ke Turki ialah pada 1983 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara langkah yang diambil bagi mengeratkan hubungan rakyat dua negara ialah persetujuan memansuhkan visa sepenuhnya berbanding had tanpa visa selama 90 hari pada masa sekarang.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga menimbangkan kemungkinan meningkatkan penerbangan terus Kuala Lumpur-Istanbul dan sebaliknya.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media bersama selepas pertemuan itu, Najib berkata, antara bidang kerjasama berpotensi untuk diterokai dan diperluaskan termasuk pertahanan, automotif, minyak dan gas, pelancongan serta pelancongan perubatan.

Katanya, dalam industri pertahanan kedua-dua negara sudah pun menjalin hubungan erat menerusi DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dan FNSS Savunma Sistemleri A.S, manakala Petronas bekerjasama dalam industri minyak dan gas di Iraq.
Beliau berkata, sejajar kemajuan pesat yang dicapai Turki dalam sektor automotif, kerajaan juga akan meminta Proton Holdings Berhad untuk meningkatkan kehadirannya di negara itu.

"Kita juga merancang meningkatkan kerjasama dalam industri pertahanan dengan Turki, termasuk membeli lebih banyak kenderaan kententeraan daripada FNSS Savunma, selain menjalin kerjasama teknikal dan pemindahan teknologi membabitkan industri berkenaan," katanya.

Najib berkata, kedua-dua negara juga bersetuju menyediakan rangka kerjasama strategik bagi mengenal pasti dan memperhalusi bidang kerjasama terbabit.

Katanya, kedua-dua negara kini pada peringkat akhir memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA), sekali gus mampu melonjakkan nilai perdagangan dua hala Malaysia-Turki yang kini sekitar AS$1 bilion.

"Saya mencadangkan supaya kedua-dua perjanjian berkenaan, iaitu perjanjian kerjasama strategik dan FTA antara Malaysia dan Turki diadakan di Kuala Lumpur, iaitu ketika lawatan Perdana Menteri Turki ke Malaysia, hujung tahun ini.

"Pemeteraian perjanjian kerjasama itu amat bermakna dan penting kerana ia akan membuka era baru dalam hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara," katanya.

Mengenai pemansuhan visa, Najib berkata, langkah itu satu keputusan bersejarah dan penting yang pasti dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

"Rakyat Malaysia dan Turki mempunyai banyak persamaan. Malah, ada antara kita berasal daripada keturunan sama dan kita perlu mendalami warisan yang ada ini kerana ia mampu menjadi asas yang kuat dalam mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat kita," katanya.

Sementara itu, Erdogan berkata, beliau begitu terharu dan teruja dengan lawatan Najib dan rombongan ke Turki selepas kali terakhir dilakukan pemimpin Malaysia pada 28 tahun lalu.

Katanya, beliau yakin dengan pelbagai persetujuan yang dicapai dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya itu termasuk pemansuhan had kemasukan tanpa visa selama 90 hari dan kerjasama bidang perdagangan, nilai perdagangan antara Turki dan Malaysia mampu mencecah AS$5 bilion daripada AS$42 bilion sekarang.

Beliau berkata, Turki akan menganjurkan 'Tahun Malaysia' tidak lama lagi bagi merapatkan hubungan pada peringkat rakyat kedua-dua negara, manakala Turkish Airlines akan mengadakan semula penerbangannya ke Kuala Lumpur.

"Bagi kerjasama dalam industri pertahanan, kita berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai hab untuk mengeksport kelengkapan ketenteraan ke pihak ketiga," katanya.

Turut serta dalam pertemuan dengan Erdogan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Sebelum sidang media itu, kedua-dua Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corporation Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Kecil dan Sederhana (KOSGEB), Turki.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan