Ahad, 27 Februari 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Gerai OKU dapat bantahan

Posted:

Gerai OKU dapat bantahan

Gerai OKU dapat bantahan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my

SELAYANG 27 Feb. – Tempat tidak sesuai dijalankan perniagaan dan mendapat bantahan daripada penduduk setempat menjadi punca mengapa gerai peniaga warga emas yang juga seorang orang kurang upaya (OKU), Mohd. Zaki Kassim, 64, dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.

Pemangku Yang Dipertua MPS, Mohd. Jaid Ehsan berkata, pihaknya terpaksa merobohkan gerai yang terletak bersebelahan dengan Bazar Greenwood di Taman Greenwood itu kerana dua sebab tersebut.

Katanya, pihaknya harus menjaga hati semua pihak memandangkan sebelum ini terdapat permintaan penduduk di kawasan itu untuk berniaga di tapak itu tidak diluluskan oleh MPS.

Ujarnya, disebabkan itu juga rata-rata penduduk di kawasan itu membantah tindakan MPS memberikan lesen kepada warga emas terbabit menjalankan perniagaan di situ.

Beliau menjelaskan pihaknya terpaksa merobohkan gerai Mohd. Zaki bagi memberi keadilan kepada semua walaupun pada asalnya lesen telah diberikan kepada peniaga itu.

"Tidak adil kalau kita memberikan lesen berniaga di situ kepada warga emas tersebut, sedangkan ramai lagi penduduk sekitar yang memohon kita tidak izinkan.

"Bagi menjaga hati semua pihak, tindakan merobohkan gerai tersebut wajar diambil," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPS di sini baru-baru ini.

Mohd. Jaid menambah, sebelum ini kawasan tersebut sememangnya menjadi kawasan larangan berniaga, tetapi masih ada yang berdegil menjalankan perniagaan namun semuanya telah dibersihkan oleh MPS.

Katanya, oleh itu, MPS juga akan mengembalikan kawasan tersebut sebagai kawasan larangan berniaga.

Tambah beliau, kawasan tersebut tidak sesuai dijalankan sebarang aktiviti perniagaan memandangkan di situ turut terdapat sebuah pondok menunggu bas.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mendapat maklumat bahawa peniaga warga emas itu sebenarnya mempunyai beberapa gerai lain dan menyewakannya kepada orang lain.

Katanya, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan mengenai kesahihan perkara tersebut dan jika didapati dakwaan itu benar, pihaknya yakin warga emas tersebut pasti akan menyewakan tapak perniagaan di kawasan itu kepada orang lain kelak.

"Kepada warga emas itu carilah sebuah tempat baru dan syorkan kepada MPS untuk dipertimbangkan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penghuni Cochrane perlu pindah sebelum 31 Mac

Posted:

Penghuni Cochrane perlu pindah sebelum 31 Mac

Penghuni Cochrane perlu pindah sebelum 31 Mac

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini mengingatkan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane, di sini supaya menyelesaikan urusan perpindahan mereka sebelum 31 Mac ini.

Setiausahanya, Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kesukaran pada saat-saat akhir tempoh yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Jelasnya, BPH telah bekerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi menyediakan perkhidmatan di bilik gerakan yang dibuka sejak 15 Februari lalu bertujuan menyelaraskan proses perpindahan penghuni kuarters tersebut.

"Bagi mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan lori untuk memindahkan barang, mereka boleh menguruskannya dengan bilik gerakan ini bagi menentukan tarikh yang sesuai.

"Penghuni juga boleh mendapatkan penjelasan lanjut mengenai prosedur mendapatkan cek saguhati perpindahan serta perkembangan semasa dengan merujuk pegawai yang ditugaskan di bilik gerakan mengikut waktu operasinya," kata beliau.

Hasnol Zam Zam berkata demikian pada sidang akhbar berhubung pembukaan bilik gerakan tersebut dan penerangan lanjut mengenai kuarters ganti yang akan dibina di Plot C.

Kata beliau, urusan penyerahan kunci dan permohonan untuk mendapatkan penempatan sementara boleh dilakukan di bilik gerakan yang beroperasi tiga hari seminggu iaitu pada Isnin (5 petang hingga 8 malam), Rabu (2 hingga 5 petang) dan Sabtu (11 pagi hingga 1 petang).

Menurutnya, setakat ini, 62 daripada 538 keluarga telah berpindah sama ada ke penempatan yang disediakan kerajaan atau menyewa di kawasan perumahan lain.

Tambahnya, penghuni yang masih belum berpindah dijangka menyelesaikan proses perpindahan dalam tempoh dua minggu lagi memandangkan ketika itu cuti sekolah.

"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan setakat ini, seramai 114 penghuni telah diagihkan ke kuarters di Putrajaya manakala 31 penghuni lagi diagihkan ke kuarters sekitar sini.

"Selain itu, 45 penghuni yang layak juga telah menerima cek saguhati perpindahan bernilai RM2,000 hasil sumbangan kerajaan Pusat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 lega Syabas tukar meter

Posted:

Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 lega Syabas tukar meter

Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 lega Syabas tukar meter


HALIM Ishak (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk pada majlis pertukaran meter pukal kepada meter individu di Pangsapuri Astana Alam 2, Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KUALA SELANGOR 27 Feb. - Seramai 517 penghuni Pangsapuri Astana Alam 2 hari ini lega selepas permohonan mereka untuk menukar meter air pukal kepada meter individu pada November tahun lalu diterima pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Penolong Pengurus Besar Syabas Wilayah Kuala Selangor, Halim Ishak berkata, syarikatnya menerima permohonan penghuni pangsapuri untuk menyertai program migrasi itu selepas mengambil kira masalah yang dihadapi pengguna yang menggunakan sistem bil secara pukal.

"Antara masalah utama adalah pengguna terpaksa menanggung risiko bekalan air dipotong jika pihak pengurusan tidak menjelaskan bil bulanan kepada Syabas walaupun penghuni telah membuat pembayaran mereka kepada pihak pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis bersama penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 di sini hari ini.

Sementara itu, Halim memberitahu, mereka yang menyertai program tersebut akan menikmati kadar bekalan air yang lebih murah berbanding sebelumnya.

Ini kerana, katanya, kadar bayaran yang dikenakan untuk pengguna individu adalah lebih murah berbanding secara pukal yang biasanya diterima oleh perumahan bertingkat.

"Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban penghuni yang sebelum ini dikenakan kadar bayaran yang lebih mahal," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2, Azmi Razak berkata, pihaknya bersyukur dan gembira kerana pihak Syabas menerima permohonan penduduk untuk menukar meter pukal kepada meter individu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Syabas yang memberi komitmen yang baik serta telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Asiah Kamaruddin berkata, dia gembira dengan perlaksanaan bil secara individu ini kerana kadar bayarannya yang lebih murah.

"Sebelum ini, kadar bayaran bulanan untuk kegunaan air mahal dan kadang-kadang ada juga masa yang saya tidak mampu untuk membayarnya," jelas ibu tunggal kepada tujuh anak itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan