Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Rutin wanita pengedar YakultOleh NAJIBAH HASSAN Di luar, orang ramai sudah berpusu-pusu menuju ke stesen Transit Aliran Panta (MRT) untuk ke tempat kerja masing-masing. Rentak kehidupan di kota termoden di dunia ini menuntut mereka bergerak pantas demi mencari rezeki sesuap nasi. Dalam kesibukan pagi itu juga, sekumpulan Wanita Yakult bersedia melunaskan tanggungjawab menghantar dan menjual minuman probiotik itu kepada pelanggan di sekitar Shin-torigoe Centre, yang menempatkan kilang Yakult. Sekitar pukul 8 pagi, pejabat Yakult di situ akan dimasuki sekumpulan pekerja wanita beruniform putih, bertali leher dan sut biru pekat bercorak petak serta skirt atau seluar panjang biru gelap polos. Di pintu masuk pejabat tersebut, tersusun basikal dan troli kecil yang akan digunakan oleh para pekerja itu untuk menghantar minuman kesihatan. Sebahagian besar pekerja ini merupakan suri rumah dan mereka perlu mengayuh basikal atau menolak troli sejauh beberapa kilometer untuk menghantar produk terbabit. Tanpa menghiraukan kehadiran 12 wakil media Malaysia, pekerja-pekerja itu tekun memeriksa senarai dan jenis barangan yang ditempah pelanggan. Sebelum beredar dengan kenderaan masing-masing ke kawasan yang telah ditetapkan, mereka terlebih dahulu mendengar taklimat dan membaca ikrar yang diketuai oleh seorang pengurus. Keiko Suzuki, 31, merupakan salah seorang daripada 42,802 Wanita Yakult yang terdapat di seluruh Jepun. Menurut Keiko, perkara pertama yang difikirkannya ialah memastikan produk tersebut sampai dalam keadaan baik ke tangan pengguna. Bekas penyejuk "Minuman ini perlu disimpan di dalam bekas penyejuk pada suhu 10 darjah Celcius supaya kualitinya terjamin," kata Keiko yang melakukan rutin tersebut sejak 11 bulan yang lalu. Pada hari tersebut, penulis dan seorang lagi wakil akhbar dari Malaysia berpeluang menyaksikan Keiko menyelesaikan kerjanya. Dia sekadar menolak sebuah troli bertayar empat yang penuh dengan produk Yakult. LEBIH 42,000 orang wanita terlibat dalam khidmat penghantaran dan jualan Yakult di seluruh Jepun. Sekali pandang, gayanya seperti pramugari menolak troli makanan di celah-celah tempat duduk penumpang di dalam kapal terbang. Sambil ditemani Pengurus Jualan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. yang turut bertindak sebagai penterjemah, Minoru Osada, kami melewati lorong ke lorong di kawasan kediaman dan pejabat untuk menghantar tempahan pelanggan selain menjualnya kepada orang ramai yang ditemui di sepanjang perjalanan. Keiko memberitahu, rutinnya bermula seawal pukul 6.30 pagi. Sejurus menghantar anaknya ke pusat asuhan yang disediakan oleh majikannya berhampiran tempat kerja, Keiko bergegas ke pejabat Yakult. Menceritakan pembabitan sebagai Wanita Yakult, segala-galanya bermula dengan satu kempen pengambilan suri rumah oleh syarikat tersebut. Pada masa itu, wakil syarikat tersebut bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain bagi memberi penerangan. Dimarahi pelanggan Keiko tertarik untuk menyertai syarikat tersebut kerana masa bekerjanya yang singkat iaitu lima jam sahaja sehari dan lima hari seminggu. "Lazimnya, saya diberi cuti rehat pada hujung minggu. Lagipun selepas melahirkan anak sulung, saya memerlukan lebih banyak masa bersama keluarga," kata Keiko yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat yang menjual pakaian. Isteri kepada kepada seorang peniaga restoran itu mengakui dia cukup serasi dengan kerjaya tersebut. Kerjaya baru itu banyak membantunya meningkatkan keyakinan diri ketika berkomunikasi selain dapat bertemu dengan orang ramai saban hari. Bahkan katanya, mengedar produk itu juga bukan sesuatu yang sukar kerana jenama Yakult sudah bertapak kukuh di Jepun sejak 76 tahun lalu. Cuma, ujarnya, faktor cuaca adakalanya mempengaruhi kuantiti tempahan. KEIKO (kiri) terserempak dengan pengasuh anaknya ketika dia bertugas. "Apabila ada promosi minuman terbaru dalam pasaran, saya akan berikan pelanggan sampel minuman untuk dicuba. "Dari situ mereka akan jadi pelanggan saya," kata Keiko yang sudah terbiasa dengan jenama tersebut sejak kecil. Bagaimanapun, dia bukanlah pengamal tegar minuman kesihatan tersebut. Pada zaman remajanya, dia hanya menikmati minuman tersebut sekali-sekala yang diselang-seli dengan pengambilan yogurt. Bagaimanapun, masalah sembelit yang dialaminya ketika hamil berjaya mengubah persepsinya terhadap minuman probiotik itu. Selepas Yakult berjaya membantu menangani sembelit yang dialaminya, Keiko yakin bahawa minuman itu perlu diamalkan secara berterusan. "Saya akan minum sebotol Yakult setiap pagi," kata Keiko menceritakan amalannya. Namun, kerjaya sebagai Wanita Yakult juga ada cabarannya. "Saya berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan. "Adakalanya dimarahi pelanggan tetapi saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada asam garam kehidupan," kata Keiko yang peramah dan berwajah manis. Dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir dan tutur kata yang sopan, Keiko bijak memikat pelanggan. Namun, meskipun sudah biasa dengan pelanggan tetapnya, Keiko tetap mematuhi etika sebagai seorang jurujual. Dia tidak akan memasuki premis pelanggannya sesuka hati. "Ohayou gozaimasu, saya Keiko, dari Yakult menghantar minuman puan," begitulah sapaan Keiko sebaik sahaja beliau menekan loceng rumah atau pejabat pelanggan. Hampir setahun menjadi Wanita Yakult, Keiko ternyata puas dengan kerjayanya itu. "Saya bangga menjadi wanita Yakult kerana selain dapat memasarkan minuman kesihatan ini, saya juga dapat menyebarkan manfaatnya kepada orang ramai," luah wanita yang berasal dari Taiti-ku, Tokyo itu. Kaedah penghantaran produk dari rumah ke rumah menerusi sistem Wanita Yakult diwujudkan oleh Kumpulan Yakult sejak tahun 1963. Ia sebahagian daripada pelan perniagaan Yakult mengikut falsafah Shirota-isme yang diperkenalkan oleh Dr. Shirota. Shirota merupakan individu pertama di dunia yang berjaya mengkultur bakteria asid laktik yang bermanfaat untuk manusia. Komisen Beliaulah yang memperkenalkan Yakult di pasaran seawal tahun 1935 selepas melakukan penyelidikan yang panjang. Sehingga bulan Oktober 2010, Yakult berjaya merekrut seramai 81,788 orang Wanita Yakult di 15 buah negara. Di Jepun, terdapat 42,802 Wanita Yakult yang menyumbang kepada jualan sebanyak lima juta botol sehari.
Seorang pelanggan tetap Keiko, Oiwa Tonoko, 38, berkata Yakult yang diperkenalkan oleh Keiko kepada keluarganya tepat pada masanya. Tonoko yakin pada khasiat minuman itu selepas anaknya yang mengalami cirit-birit pulih setelah minum Yakult. Jika sebelum ini dia akan ke pasar raya untuk membeli produk tersebut, dengan adanya perkhidmatan penghantaran terus ke rumah, Tonoko tidak lagi perlu bersusah-payah pergi ke pasar raya. "Khidmat penghantaran ini memudahkan saya yang sibuk bekerja selain memastikan stok Yakult sentiasa ada di rumah. "Lagipun tiada caj tambahan dikenakan," kata Tonoko yang menggalakkan keluarganya minum minuman tersebut sejak lima bulan lalu. Hampir dua jam bersama Keiko, kami meninggalkannya meneruskan tugas tanpa gangguan. Terbukti kerjaya sebagai Wanita Yakult memberi satu persepsi berbeza. Yakult bukan sekadar mempromosikan produk minuman kesihatan, bahkan ia juga melatih ramai suri rumah untuk berdikari dan yakin diri tanpa perlu mengorbankan masa berkualiti bersama keluarga. "Wanita Yakult akan diberi latihan pemasaran dan teknik melayan pelanggan kira-kira dua minggu sebelum mereka melakukan khidmat penghantaran ini," kata Presiden Jualan Cawangan Sentral Tokyo, Hideo Mase. Secara purata, Wanita Yakult menerima komisen sebanyak 110, 000 yen (RM4,400) sebulan bergantung kepada pesanan dan jumlah jualan mereka. Lebih istimewa, kata Mase, Yakult melatih dan memberi ruang pekerjaan kepada wanita yang berumur antara 21 hingga 75 tahun. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan