Sabtu, 26 Februari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Abdul Manan kumpul 3,000 bilah kacip

Posted:

Abdul Manan kumpul 3,000 bilah kacip

Abdul Manan kumpul 3,000 bilah kacip

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my


Dr. Abdul Manan Embong bersama sebahagian kacip sireh yang dikumpul dari pelbagai negara di rumahnya di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu. – utusan/ Fauzi Mohd.


KUALA TERENGGANU 25 Feb. – Sirih pinang pada masa silam berperanan penting dalam pelbagai suasana, termasuk upacara melibatkan kehidupan masyarakat Melayu dan Nusantara yang bersalut dengan adat istiadat dan kepercayaan.

Bukan sahaja untuk dikunyah sewaktu santai atau keramaian, ia menjadi penyeri terutama bagi majlis-majlis Melayu seperti perkahwinan sehinggalah kepada penggunaan dalam rawatan kecantikan, perubatan tradisi yang masih diwarisi dan amalan mistik.

Ia tersusun dan diatur dalam tepak dengan komponennya seperti ruang menyisip sireh, kacip bagi menghiris pinang, gobek untuk melumatkannya dan cembul untuk menyimpan ramuan sirih seperti pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur di samping ketur.

Bagi pakar etnologi tempatan, Dr. Abdul Manan Embong, 58, semua itu merupakan salah satu bidang tumpuan yang bertujuan mengkaji kebudayaan dan tradisi masyarakat atau bangsa.

Ia mendorongnya menjengah ke beberapa negara untuk meneliti persamaan dan perbezaan, mengkaji makna di sebalik peranan sireh dan pinang, reka bentuk, motif dan corak pembuatan serta logam yang digunakan bagi alatan tepak.

Dr. Abdul Manan lebih tertarik dengan keunikan kacip dan menyedari alatan itu akan hilang sejajar dengan perubahan zaman, maka, sejak awal 1980-an beliau berusaha mengumpulkannya.

Katanya, kacip merupakan khazanah penting dalam kehidupan masyarakat kita termasuk dalam pelbagai upacara adat resam Melayu.

Baginya, kacip turut menjadi simbol kepada rantaian budaya serantau, namun, menyedari tiada yang memberi perhatian serius dalam soal itu, beliau merasakan perlu baginya untuk menyelamatkan khazanah itu.

''Saya membelinya dengan harga RM30 hingga RM400 sebilah dan sedang menyiapkan katalog mengenainya untuk kemudahan orang ramai," ujarnya.

Sedikit demi sedikit beliau mengumpulkannya dan sehingga kini memiliki 3,000 bilah termasuk dari India di samping Indonesia, Filipina, Kemboja, China, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia.

Melalui bilah-bilah kacip sama ada untuk kegunaan harian atau hiasan, katanya, seseorang dapat menyelami identiti dan citra budaya dengan kehalusan dan keunikan seni ukiran serta kreativiti rekaan.

Ada yang usianya menjangkau 300 tahun dan ia menjadi pelengkap kepada muzium mini miliknya di kediamannya di Bukit Besar, dekat sini. Di muzium itu turut dipamerkan peralatan warisan seperti kukuran, tempayan dan senjata seperti keris dan lembing.

''Kacip merupakan alat yang terdiri daripada bilah tajam yang bergerak dan bahagian tumpul yang berfungsi seperti pisau pemotong isi buah pinang dan juga ubat-ubatan tradisional yang terdiri dari tumbuh-tumbuhan.

"Kacip diperbuat daripada logam keras yang ditempa dan dibentuk dengan menggunakan besi, tembaga atau perak dan kebanyakan bentuk kacip serupa, mempunyai dua bilah mata yang bertaut dan mempunyai hulu atau tangkai di kedua-dua bilahnya," katanya.

Beliau yang telah menjelajah lebih 15 buah negara hanya kerana kacip berkata, alat itu amat unik iaitu di bahagian muncung serta badan menyerupai kepala binatang termasuklah kuda, kerbau, gajah, monyet, burung, ayam, manusia atau dewa.

Katanya, terdapat juga kacip yang diukir dengan motif flora pada tangkai dan badannya dengan menggunakan salutan perak atau emas sebagai simbol status kehidupan seorang atau peri penting nilai upacara.

"Kacip juga dikenali jenisnya iaitu jantan dan betina serta ada juga yang tiada ketentuan jenis dengan pelbagai bentuk segi atau kebulat-bulatan dengan kacip jantan memaparkan kesegakkan rupa paras atau berbalung dan kacip betina pula tidak begitu menarik.

"Di dalam sesebuah tepak sirih, kacip disusun bersebelahan dengan daun sirih yang tersusun rapi dan ia merupakan perkakasan penting selain gobek bagi melengkapkan kesempurnaan sebuah tepak sirih," katanya.

Masyarakat Melayu negara ini menamakannya sebagai kacip dan di Indonesia pula disebut sebagai 'caket' terutama masyarakat Bali dan di India katanya, terdapat 21 jenis kacip yang dipanggil dengan pelbagai nama seperti 'adakottu', 'adekitta' atau 'serota' dan ada juga memanggilnya 'yanti' atau 'sudo'.

Sepanjang lebih 30 tahun kajiannya, di Indonesia terdapat 17 jenis, Filipina (5), Kemboja (4), Sri Lanka (2) dan Vietnam, Malaysia serta Thailand masing-masing 3 jenis mengikut daerah dan kelas masyarakat.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang Etnologi dari Universiti Gajahmada, Indonesia memberitahu, bahan yang dikumpulkan turut diketengahkan dalam pameran dalam dan luar negara.

"Sebelum ini, saya telah menyertai pelbagai pameran yang dianjurkan di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand dengan memaparkan pelbagai koleksi kacip sireh yang dikumpul," katanya.

Beliau menarik perhatian, dalam masyarakat Melayu katanya, kacip juga dijadikan sebagai perkakasan penting dalam pelbagai upacara adat resam, misalnya dalam adat melenggang perut ia digunakan sebagai prasyarat perkakasan yang diperlukan.

"Ketika bayi yang baru lahir, kacip diletakkan di bahagian atas kepala ketika tidur atau di bawah bantal bayi tersebut. Mengikut kepercayaan ia menjauhkan dari sebarang gangguan makhluk halus," katanya.

Dalam amalan meraikan tetamu, kacip dihulur kepada tetamu bagi menyiapkan sendiri ramuan sireh supaya mereka tidak terasa janggal dan kekok.

Dalam tepak, sirih dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya serta disusun dalam satu baris bagi menunjukkan tertib ketika mengapur sirih dan juga mengelak tanggapan kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.

Bagi mendahului upacara merisik, tunang dan nikah, masyarakat Melayu silam menggunakan tepak sirih sebagai pembuka kata serta 'kepala' atau ibu kepada barang hantaran untuk majlis pertunangan dan pernikahan yang lain.

''Semua ini sebahagian daripada gambaran rumpun masyarakat Melayu nusantara yang begitu kaya dengan nilai sopan-santun serta citra budaya dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rolls Royce kenderaan rasmi Agong dipamer

Posted:

Rolls Royce kenderaan rasmi Agong dipamer

Rolls Royce kenderaan rasmi Agong dipamer

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


Kereta rasmi Agong pertama hingga keenam, Rolls Royce Silver Wraith yang dipamer bersama kereta Rolls Royce Silver Spur di pekarangan Muzium Negeri Kelantan di Kota Bharu.


KOTA BHARU 25 Feb. - Tahukah anda apakah kenderaan rasmi yang pernah digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad?

Bagi yang ingin mengetahuinya, mereka kini berpeluang untuk melihat secara dekat kenderaan tersebut yang dipamerkan di pekarangan Muzium Negeri di sini.

Kereta Rolls Royce Silver Wraith buatan Syarikat Rolls Royce Ltd. dari Britain itu pernah digunakan Almarhum Tuanku Abdul Rahman sehingga Yang di-Pertuan Agong keenam, Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra.

Kenderaan itu dibeli oleh kerajaan selepas kemerdekaan negara dan mula digunakan dari 1958 sehinggalah giliran Almarhum Sultan Yahya Petra sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kemudiannya mangkat pada 29 Mac 1979.

Kereta buatan tangan ini dikeluarkan syarikat pembuatnya antara tahun 1946 sehingga 1959 dan merupakan jenis Rolls Royce pertama dikeluarkan selepas zaman perang.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abdul Rahman Abdullah berkata, pihak muzium membeli kereta itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Kuala Lumpur pada 19 Julai 1985.

"Harta kerajaan yang tidak digunakan umumnya akan ditawar untuk dijual melalui prosedur pelupusan aset kerajaan dan memikirkan nilai sejarah yang ada pada kereta ini, pihak PMNK ketika itu yang diterajui pengarah pertama, Wan Ali Wan Ahmad, mengambil keputusan untuk membelinya.

"Ia berdasarkan faktor Yang di-Pertuan Agong terakhir yang menggunakan Rolls Royce Silver Wraith tersebut adalah Sultan Kelantan, maka sewajarnya pihak muzium negeri ini sendirilah yang mengambil inisiatif untuk memilikinya.

"Kami merasa amat bertuah dapat mempamerkannya kerana ia bukan sahaja sesuatu yang berkait dengan penduduk Kelantan tetapi mempunyai kaitan dengan sejarah awal negara apabila pernah digunakan sebagai kenderaan rasmi sejak daripada Agong pertama lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Kereta berwarna krim dengan ukuran panjang 5.48 meter, tinggi 1.89 meter dan lebar 1.87 meter itu dipamerkan di pekarangan kiri hadapan Muzium Negeri dan boleh disaksikan pengunjung secara percuma.

Ia dipamerkan bersama dengan kereta Rolls Royce Silver Spur keluaran 1980 yang pernah digunakan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan kerabat baginda.

Menurut Abdul Rahman, kereta Rolls Royce Silver Wraith dengan plet asal 'BE 5638' itu dibawa pulang dari Bengkel Persekutuan JKR di Jalan Cheras, Kuala Lumpur ke Kelantan pada Julai 1985 menggunakan treler.

Abdul Rahman berkata, walaupun masih boleh digunakan, kereta dengan enjin yang dibina khusus untuk negara beriklim sejuk itu agak sensitif dengan cuaca panas dan perlukan kepada penyelenggaraan semula terutama kepada bahagian bateri jika mahu digerakkan atas jalan.

Katanya, sebelum ini kereta dengan kapasiti enjin 4,887 kuasa kuda itu biasanya akan dipandu pada majlis perarakan sempena keputeraan Sultan Kelantan dan menjadi kereta utama yang diletakkan di hadapan konvoi kenderaan lain.

Menyingkap mengenai sejarahnya, Abdul Rahman berkata, sewaktu pembelian daripada syarikat Rolls Royce Ltd London pada 6 Ogos 1958, nilai yang dibayar ketika itu oleh kerajaan Malaysia adalah sebanyak RM52,447.66.

Beliau berkata, kereta dengan warna asal perak itu kemudiannya telah dicat semula dengan warna krim pada tahun 1965 dengan kos RM700 ketika itu.

Apa yang menarik, katanya, pada 1994, kereta itu pernah ditawar dengan harga RM1.2 juta oleh seorang ejen syarikat Rolls Royce.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Pengurusan) PMNK, Abustarim Yaacob pula berkata, pembinaan sebuah galeri khas sedang dirancang untuk kereta Rolls Royce itu yang bakal dibina di Muzium Diraja.

Katanya, ia dirancang khusus sempena 'Pameran Raja Kita' yang akan berlangsung pada November ini sepanjang majlis sambutan keputeraan Sultan Kelantan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Elak kena waran tangkap

Posted:

Elak kena waran tangkap

Elak kena waran tangkap

KOTA BHARU 25 Feb. – Jabatan Insolvensi Kelantan meminta individu yang diisytiharkan bankrap oleh mahkamah supaya memberi kerjasama kepada jabatan itu bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Kebankrapan 1967.

Pengarahnya, Rohaiza Abd. Rahman berkata, pihaknya mendapati individu yang telah diisytiharkan bankrap sering mengelak untuk menghadiri sesi perbincangan dengan jabatan berkenaan walaupun notis mengenainya telah diserahkan.

Beliau berkata, selain tidak hadir sesi perbincangan, individu terbabit gagal membayar ansuran bulanan hutang yang ditetapkan dan tidak memfailkan penyata hal ehwal aset atau harta mereka seperti dikehendaki.

"Apabila individu tersebut mengelak daripada disiasat oleh jabatan bagi membolehkan fail pentadbiran dibuka (bayaran ansuran bulanan), ini bermakna dia menghina mahkamah dan waran tangkap boleh dikeluarkan.

"Sebagai contoh, kes seorang lelaki dari Kuala Krai yang gagal hadir sesi perbincangan sehingga terpaksa bermalam di lokap sementara menunggu bon jaminan sebanyak RM2,000 dibayar kepada mahkamah keesokan hari untuk pembebasannya," katanya di sini kelmarin.

Rohaiza berkata, banyak pihak sering menyalah anggap kewujudan Jabatan Insolvensi yang sebenarnya berfungsi membantu mereka yang berdepan dengan masalah bankrap.

Beliau berkata, di bawah peruntukan yang ada pihaknya akan memastikan individu terbabit atau sipemiutang tidak membuat apa-apa kesalahan dalam memberi maklumat mengenai kedudukan aset-aset mereka bagi membolehkan hutang dijelaskan.

Jelasnya, di bawah Seksyen 16(3) Akta Kebankrapan 1967 individu yang diisytiharkan bankrap dikehendaki memfailkan penyata hal ehwal asetnya sementara Seksyen 91(2) akta itu pula menghendaki mereka menjelaskan bayaran ansuran bulanan sementara Seksyen 28(1)(a) pula menghendaki mereka hadir ke jabatan bagi tujuan penyiasatan.

Rohaiza memberitahu, sehingga hari ini pihaknya telah memfailkan 29 kes ke atas individu terbabit di bawah ketiga-tiga peruntukan tersebut.

"Daripada jumlah itu, 10 kes dibicarakan dan empat waran tangkap dikeluarkan selepas plaintif gagal hadir ke mahkamah," katanya.

Katanya, dalam tempoh sama, pihaknya membuka 213 kertas siasatan membabitkan 19 kes tidak memfailkan penyata hal ehwal aset atau harta, 79 kes gagal membayar ansuran bulanan dan 133 kes lagi tidak hadir sesi perbincangan dengan jabatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan