Khamis, 24 Februari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Rumah Shiqal bantu Amirul

Posted:

Rumah Shiqal bantu Amirul

Rumah Shiqal bantu Amirul

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


Seorang lagi bekas penagih dadah penghuni Rumah Shiqal yang bekerja di kedai dobi.


TAIPING 23 Feb. - Biarpun pernah bergelumang dalam kancah penagihan dadah, namun ia tidak sesekali membuatnya berasa malu untuk berubah serta berdepan dengan realiti.

Tekad dan keazaman diri melebihi segala-galanya meskipun stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya masih kuat.

Namun, berpegang kepada tekad jika tidak berani mengambil keputusan untuk berubah, maka selama-lamanya dia akan terus kekal begitu.

Menceritakan pengalaman hidupnya bergelut dengan najis dadah selama 13 tahun, Amirul Anuar Mohd. Noor, 33, berkata, kesedaran yang muncul selepas berfikir panjang mengenai masa depan mencetuskan perasaan di dalam hatinya untuk menukar haluan hidup.

Amirul Anuar yang berasal dari Kamunting di sini bersyukur kerana keluarga menjadi pendorong serta tulang belakang kepadanya untuk kembali ke pangkal jalan.

Anak sulung daripada enam beradik itu mengakui pengaruh rakan-rakan sebaya selepas tamat persekolahan menyebabkannya begitu liar sehingga terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah itu.

Apatah lagi, dadah jenis heroin mudah didapati daripada teman-teman sekampung yang sentiasa mendapat bekalan tersebut.

"Saya berasa azab dan sengsara semasa ketagihan dadah. Seluruh tubuh tidak selesa termasuk pinggang dan sendi berasa sakit-sakit apabila tidak mendapatnya.

"Saya menghadapi tekanan mental sekiranya keinginan yang meluap-luap untuk mendapatkan dadah tidak dapat dipenuhi dalam masa empat ke lima hari," katanya.

Mengenang kembali detik-detik awal perubahan, Amirul Anuar berkata, dia mahu berubah apabila mula berasakan dirinya mendatangkan masalah besar kepada keluarga.

Menurutnya, dia bukan sahaja tidak menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-adiknya malah memalukan keluarga serta mengkucar-kacirkan kehidupan mereka.

"Pada 2009 hati saya tergerak untuk berubah. Saya pergi sendiri ke Rumah Shiqal di bawah Persatuan Shifaul Qalbi Taiping (PSQT) yang memberi sokongan kepada usaha-usaha pemulihan penagih dadah.

"Di sana, kami berkongsi masalah serta membantu antara satu sama lain termasuk kawalan emosi melalui kegiatan-kegiatan berbentuk kerohanian," katanya.

Menurut Amirul Anuar, dia sudah muak dan jemu bergelumang dengan najis dadah serta berasakan masa depannya akan musnah sekiranya menyusuri laluan hidup yang sama.

Malah katanya, kegiatan menagih dadah hanya akan menghindarkan diri seseorang itu lebih jauh daripada Tuhan yang menciptakan manusia dan alam ini.

"Sekiranya ingin benar-benar berubah, satu kemahuan diri yang drastik perlu ada selain sokongan padu daripada keluarga dan masyarakat supaya tidak kembali hanyut ke jalan sama," katanya.

Pengerusi serta Pengasas PSQT, Shamzuri Osman, 46, yang juga bekas penagih turut bersetuju bahawa masih wujud persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap golongan seperti mereka.

Shamzuri berkata, beliau yang dahulunya bekerja di sebuah firma sekuriti pernah dibuang kerja semata-mata pihak majikan mengetahui dirinya merupakan seorang bekas penagih dadah.

Namun beliau mengakui, proses pemulihan seseorang penagih itu bukannya mudah serta tidak mempunyai tempoh masa tertentu kerana bila-bila masa sahaja mereka boleh kembali menagih andai tidak diberikan sokongan moral.

Sehubungan itu, Rumah Shiqal yang berada di bawah naungan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri itu kini berusaha membuka peluang pekerjaan dan bimbingan kepada bekas penagih dadah.

Menurut Shamzuri, Rumah Shiqal yang dibuka sejak 2008 itu telah membantu proses pemulihan 90 penagih dadah termasuk 14 yang dilatih ketika ini.

Beliau berkata, melalui projek tanggungjawab sosial korporat Kelab Rotary Taiping, Pusat Dobi Laundry Shiqal Maju di Taman Lake View di sini berjaya dibuka bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk mendampingi masyarakat.

Menurut beliau, projek di bawah tajaan CIMB Foundation bernilai RM50,000 itu juga membolehkan bekas penagih dadah memperoleh ilmu serta kemahiran dalam bidang perniagaan.

Pusat dobi tersebut yang beroperasi sejak sebulan lalu dirasmikan pembukaannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Dalam pada itu, Shamzuri berkata, melalui peluang berinteraksi dengan pelanggan, ia memberi peluang kepada mereka membina kembali keyakinan diri untuk berdepan dengan masyarakat.

"Peluang ini juga seharusnya dimanfaatkan untuk terus hidup berdikari serta mendapatkan sumber kewangan.

"Sekurang-kurangnya ia membuktikan bahawa golongan seperti kami juga boleh menjadi modal insan yang berupaya membantu perkembangan ekonomi negara walaupun sekecil mana peranannya," katanya.

Pusat Dobi Laundry Shiqal Maju menawarkan perkhidmatan seperti cucian tangan, biasa, kering, pembersihan langsir, permaidani serta kerja-kerja menggosok pakaian.

Pusat dobi tersebut turut menyediakan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pakaian bagi memudahkan para pelanggan.

Untuk sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi di talian 014-7577440.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sentiasa terap semangat gotong-royong

Posted:

Sentiasa terap semangat gotong-royong

Sentiasa terap semangat gotong-royong


TAJUL Urus Md. Zain (kiri) dibantu penduduk memasang papan tanda nama lorong di Kampung Baru Tandop Baru, Sungai Petani, semalam.


SUNGAI PETANI 23 Feb. - Penduduk di kawasan desa perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran mereka bagi mengelak ancaman penyakit seperti denggi yang masih berleluasa di negeri ini.

Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, kesedaran tersebut perlu supaya penduduk tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa menjalankan tugas berkenaan.

Jelasnya, tanggungjawab itu juga tidak harus diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan sahaja, sebaliknya ia perlu dipikul oleh semua tanpa sebarang perasaan terpaksa.

"Kefahaman penduduk terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan kediaman perlu dipertingkatkan. Jangan tunggu bila hanya ada kes ancaman penyakit, baru hendak bersihkan kawasan.

"Oleh itu, warga desa boleh memainkan peranan ini dengan berganding bahu bersama jiran-jiran membersihkan kawasan kediaman," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Gotong-royong Perdana anjuran bersama Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok dan penduduk di Kampung Baru Tandop Baru dekat sini, hari ini.

Majlis gotong-royong selama sehari yang dihadiri kira-kira 200 penduduk bertujuan membersihkan kawasan takungan air selain membersihkan semak yang menjadi tempat nyamuk membiak.

Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, kerjasama erat di antara penduduk setempat juga memberi banyak faedah kepada semua.

"Apabila semua pihak bekerjasama, masalah kekotoran dapat diatasi sekali gus menghindari penyakit berbahaya yang boleh mengganggu komuniti kita," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Merbok akan mempertingkatkan kerjasama dengan masyarakat bagi mengatasi beberapa isu berbangkit.

Katanya, antara bidang kerjasama tersebut ialah soal kebajikan, kesihatan dan aspek pembangunan pendidikan.

"Mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pejabat UMNO bahagian atau menyalurkannya melalui ketua masyarakat. Kita akan berusaha selesaikan permasalahan yang timbul untuk kepentingan bersama," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Larangan import jambu air Thailand

Posted:

Larangan import jambu air Thailand

Larangan import jambu air Thailand

Oleh ZAINU'L AZHAR ASHA'ARI
utusanperlis@utusan.com.my


Sabry Ahmad (tiga dari kiri), Khairi Arif (dua dari kiri) memeriksa sebahagian daripada buah jambu air yang dirampas di Padang Besar, kelmarin.


PADANG BESAR 23 Feb. - Sebanyak 20 metrik tan buah-buahan bernilai RM20 juta manakala 34,000 metrik tan sayur-sayuran bernilai RM27 juta dibawa masuk dari Thailand ke negara ini menerusi pintu masuk Padang Besar di sini, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Koperasi Negeri Perlis, Sabry Ahmad memberitahu, kebergantungan kepada buah-buahan dari negara jiran itu akan berkurangan selepas kerajaan menerusi agensi berkaitan mengenakan larangan ke atas beberapa jenis buah-buahan disebabkan beberapa masalah termasuk bagi mengawal makhluk perosak.

"Terbaru, kata Sabry, larangan kemasukan buah jambu air dari Thailand ke negara ini telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu bagi mengawal penyebaran sejenis makhluk perosak menerusi buah berkenaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai larangan kemasukan jambu air dari Thailand di pejabat Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua MAQIS Negeri Perlis, Khairi Arif dan Penolong Pengarah Unit Perlindungan Tanaman & Kuarantin Tumbuhan Jabatan Pertanian, Nilawati Pilus.

Beliau kemudiannya melihat anggota-anggota MAQIS yang diketuai Khairi merampas 50 bakul buah jambu air daripada sebuah lori di sini.

Menurut Sabry, pada tahun lalu, sebelum buah jambu air dilarang sepenuhnya dibawa masuk ke Malaysia, sebanyak 4.6 metrik tan hasil pertanian tersebut dirampas kerana melanggar beberapa syarat ditetapkan seperti tiada permit dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, lebih 1,000 metrik tan buah-buahan pelbagai jenis yang berharga lebih RM700,000 telah dikenakan sekatan dari dibawa masuk ke negara ini pada tahun lalu kerana melanggar syarat kemasukan.

Bagaimanapun, kata Sabry, dari satu aspek, larangan kemasukan buah jambu air itu boleh memberi manfaat kepada petani tempatan untuk mengusahakan tanaman tersebut dalam skala besar pada masa akan datang.

"Ini kerana buah jambu air merupakan antara buah-buahan yang digemari setakat ini dan boleh dikomersialkan jika petani tempatan mahu mengambil kesempatan.

"Malah, harga buah jambu air tempatan mungkin mengalami kenaikan kerana ia akan menjadi laris dan tumpuan pembeli selepas ketiadaan jambu air Thailand," tambah beliau.

Sabry berkata, pemantauan dan pemeriksaan lebih rapi bagi menyekat kemasukan buah jambu air dari Thailand akan dipertingkatkan di pintu-pintu masuk negara ini menerusi Perlis terutama di sini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan