Sabtu, 26 Februari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pemilik letak kenderaan tepi jalan sepak penguat kuasa

Posted: 25 Feb 2011 11:07 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cedera selepas dipukul dan diterajang seorang pemilik kereta dalam operasi menyita kenderaan di Dang Wangi, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi Jumaat lalu itu menyebabkan penguat kuasa berkenaan, Muhammad Hafizuddin Sharif, 27, cedera ringan di tangan dan perut selepas dipukul bertalu-talu oleh suspek yang berusia 20-an.


Beliau berkata, dia tidak menyangka pemilik kenderaan terbabit memukul dan menerajangnya selepas rayuan untuk mengambil kembali kenderaannya tidak dilayan.

Katanya, sebelum kejadian, mereka sudah memberi amaran kepada pemilik yang meletak kereta di tepi jalan supaya mengalihkan kenderaan, tetapi lelaki terbabit tiada di tempat kejadian.

"Oleh itu, kami menyita kenderaannya dengan menggunakan kren tunda sebelum dia muncul dan merayu supaya mengembalikan keretanya, tetapi kami memintanya hadir ke depoh tunda DBKL di Jinjang untuk menyelesaikan masalah itu.


"Ketika itu, lelaki terbabit tiba-tiba mengamuk dan menendang perut saya hingga terjatuh," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik terjatuh, lelaki terbabit terus menerus menendang perutnya menyebabkannya cedera.

"Dalam pergelutan itu, dua rakan saya sempat menggari lelaki terbabit sebelum anggota polis dari Balai Polis Dang Wangi datang membawanya ke balai polis untuk diambil keterangan.

"Selepas kejadian itu, saya dan rakan membuat laporan polis," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kerja dajal dua rakan

Posted: 25 Feb 2011 11:03 AM PST

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai mencampurkan pil khayal dalam minuman seorang ahli perniagaan sebelum melarikan kenderaan miliknya ketika mangsa tidur.

Lebih malang apabila mangsa hanya tersedar keesokan harinya sebelum mendapati kenderaannya sudah tiada dipercayai dilarikan dua lelaki terbabit.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang Rabu lalu, mangsa yang berusia 31 tahun keluar minum dengan dua lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, suspek mempelawa mangsa ke sebuah hotel mewah di Jalan Changkat Thamby Dollah, di sini, sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah bilik hotel disewa itu.


"Di hotel berkenaan, mangsa mendakwa diberi minum oleh seorang daripada suspek sebelum pening dan tidak sedarkan diri. Difahamkan, mangsa pengsan akibat meminum air yang dicampurkan pil khayal.


"Mangsa yang tertidur hanya sedarkan diri sehari kemudian sebelum mendapati dua rakannya itu sudah tiada," katanya.

Menurutnya, mangsa yang keliru keluar dari hotel itu untuk ke keretanya sebelum terkejut apabila mendapati Toyota Avanza milik abangnya hilang.


"Mangsa menghubungi kedua-dua rakannya itu, namun suspek mematikan telefon. Berikutan itu, mangsa yakin diperdaya suspek yang membuatnya pengsan sebelum melarikan kenderaan itu.

"Mangsa menghubungi abangnya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini. Susulan itu, polis melakukan siasatan dengan mengambil keterangan mangsa selain cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hotel berkenaan," katanya.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang pelajar lelaki berusia 30 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk rakannya selepas dinasihati supaya memperbaharui visa bagi membolehkannya tinggal secara sah di negara ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, mangsa berjumpa suspek di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, sebelum berlaku pertengkaran selepas suspek enggan mendengar nasihatnya.


Suspek yang naik berang menumbuk muka mangsa berulang kali menyebabkan mata sebelah kiri mangsa lebam. Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan polis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan