Isnin, 28 Februari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Penduduk kesal MPPP tak bertindak

Posted:

Penduduk kesal MPPP tak bertindak

Penduduk kesal MPPP tak bertindak

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

PULAU PINANG 27 Feb. - Penduduk Kampung Makam di Sungai Pinang di sini kesal dengan sikap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang belum bertindak terhadap kegiatan mencuri bijih timah (tantalum) di tiga rumah kosong di kampung tersebut sejak dua bulan lalu.

Walaupun dua surat laporan berserta gambar sebagai bukti dihantar mereka kepada MPPP dengan kali terakhir 15 Januari lalu, namun sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil pihak berkuasa itu

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Makam, Muhammad Imran Mohd. Saad berkata, pihaknya telah memaklumkan masalah itu kepada MPPP menerusi dua pucuk surat sebaik menyedari kegiatan yang dilakukan di kampung tersebut.

"Beberapa rakan memberitahu saya tentang kegiatan tersebut. Sebaik datang melihat ketiga-tiga rumah kosong ini, saya dapati berlaku pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan mengorek bijih yang terdapat di dalam tanah dalam rumah kosong ini.

"Saya segera menulis surat kepada MPPP bertarikh 10 dan 15 Januari lalu. Namun, tiada sebarang tindakan diambil, yang ada cuma surat makluman berkenaan pembukaan tender mengorek bijih di situ," katanya pada sidang akhbar di kampung tersebut di sini hari ini.

Tinjauan ke lokasi kejadian mendapati, terdapat lima deretan rumah kosong dua tingkat di kawasan tersebut dengan tiga daripadanya telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Mereka bertindak mengorek bijih yang terdapat di bahagian bawah tanah dalam rumah tersebut sehingga meninggalkan kesan lubang yang dalam.

Malah, kelihatan dua lubang sedalam dua meter dikorek di bahagian ruang tamu setiap rumah kosong itu untuk mendapatkan sumber galian yang dipercayai dijual pada harga yang tinggi itu.

Menurutnya, pihaknya menerima surat maklum balas MPPP berkenaan pembukaan semula tender kepada mereka yang berminat untuk mengorek bijih tersebut, dua minggu lalu.

"Saya hanya menerima surat mengatakan tender akan dibuka buat kali kedua untuk kerja mengorek bijih ini namun masih tiada tindakan susulan diambil di sini.

"Seeloknya, mereka perlu menempatkan pengawal keselamatan khususnya pada waktu malam bagi mengelak kegiatan kecurian ini berterusan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu kira-kira dua minggu lalu dan beliau sendiri turun padang bagi meninjau lokasi tersebut.

"Difahamkan, MPPP juga pernah membuka tender bagi mengorek bahan asli ini namun ditutup dan sehingga kini saya tidak pasti kenapa tender itu ditutup," katanya.

Katanya, pihaknya mencadangkan kepada MPPP untuk mempercepatkan pembukaan semula tender supaya pihak yang dilantik sahaja yang bertanggungjawab menguruskan kerja tersebut, selain meminta mereka menempatkan pengawal di lokasi berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UMNO Jelutong anjur ziarah daftar pengundi

Posted:

UMNO Jelutong anjur ziarah daftar pengundi

UMNO Jelutong anjur ziarah daftar pengundi


Abdul Razak Abdul Rahman (kanan) bertanya khabar seorang penduduk pada program ziarah UMNO Cawangan Sungai Pinang, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 27 Feb. - Dalam usaha menarik pengundi baru mendaftar, UMNO Bahagian Jelutong melaksanakan program turun padang untuk membantu golongan muda mendaftar sebagai pemilih.

Ketuanya, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, lebih 6,000 termasuk 2,600 ahli UMNO dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi di kawasan itu meskipun mereka layak berbuat demikian.

Katanya, program ziarah yang dianjurkan di seluruh bahagian itu sebanyak dua kali sebulan diharapkan mampu memastikan golongan yang belum menjadi pemilih berbuat demikian dengan segera.

"Kita mulakan program ziarah itu hari ini di kawasan Kampung Sungai Pinang diikuti seterusnya Kampung Dodol dan Kampung Jelutong.

"Selain menolong mereka yang belum mendaftar, kita juga ingin melihat secara dekat masalah yang dialami rakyat kawasan ini.

"Masalah ini akan kita cuba bantu selesaikan dan yang mana tidak boleh, kita rujuk kepada pihak bertanggungjawab," katanya semasa mengadakan program ziarah UMNO Bahagian Jelutong di Kampung Sungai Pinang di sini.

Pada program itu, seramai 50 ahli sayap parti itu yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri bergerak mengikut kumpulan ke 250 rumah yang terdapat di kampung itu untuk meninjau masalah yang dihadapi.

Katanya, melalui pendekatan ini, proses pendaftaran pengundi dapat dipermudahkan malah menggalakkan lebih ramai golongan muda mendaftar.

"Kita juga membantu mereka yang bertukar alamat untuk mengemas kini pendaftaran masing-masing.

"Ketua setiap kumpulan mengedarkan borang berkenaan selain maklumat tentang isi rumah.

"Ini untuk memudahkan kita mengetahui mengenai latar belakang penduduk di kawasan ini dan mencari alternatif terbaik untuk membantu mereka," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bayar saman: Kaunter bayaran sesak

Posted:

Bayar saman: Kaunter bayaran sesak

Bayar saman: Kaunter bayaran sesak


Orang ramai beratur panjang untuk membayar saman di cawangan trafik IPD Kota Setar, semalam.


ALOR SETAR 27 Feb. - Orang ramai menyerbu kaunter pembayaran saman di negeri ini bagi menjelaskan saman mereka pada saat-saat akhir berikutan tawaran diskaun yang diberikan kerajaan akan berakhir esok.

Akibat sikap gemar menunggu pada saat-saat akhir, ramai pesalah trafik terpaksa bersesak-sesak dan beratur panjang untuk menjelaskan saman masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia di balai polis trafik dan pejabat pos besar di bandar raya ini hari ini mendapati, kaunter bayaran mula dipenuhi oleh pesalah trafik seawal pukul 8 pagi.

Mereka kelihatan beratur panjang sehingga ke luar bangunan untuk menunggu giliran membayar saman mereka.

Ketua Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd. Sham Abdullah, suasana orang ramai membanjiri kaunter bayaran saman dapat dilihat sejak seminggu lalu.

Katanya, pesalah trafik tidak putus-putus datang seawal pukul 8 pagi sehingga kaunter ditutup pukul 4.45 petang.

"Ekoran keadaan itu, kami turut membuka kaunter pada hari cuti Jumaat lepas bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran saman masing-masing," katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan dilaporkan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya esok atau nama mereka disenaraihitamkan.

Dalam pada itu, seorang pembayar saman, Shahrizal Saad, 42, berkata, oleh kerana jumlah saman yang dimilikinya tinggi, dia terpaksa membuat bayaran sebanyak dua kali bagi mengimbangkan kedudukan kewangannya.

Katanya, dia menjelaskan separuh bayaran itu sebelum ini dan bakinya pada hari ini.

"Kalau saya bayar sekali gus, maka bajet kewangan keluarga saya tidak akan mencukupi. Sebab itu saya terpaksa menunggu sehingga hari ini untuk melangsaikan baki saman itu," katanya.

Seorang peniaga, Firdaus Ahmad, 33, pula memberikan alasan dia lewat dimaklumkan tempoh bayaran diskaun berakhir esok sehingga membuat bayaran pada saat akhir.

Malah, dakwanya, dia juga terlebih dahulu terpaksa membuat pemeriksaan mengenai jumlah sebenar saman yang dimilikinya kerana ada surat saman yang tidak sampai ke tangannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan