Rabu, 23 Februari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Dokumentasi visual spontan

Posted:

Dokumentasi visual spontan

Dokumentasi visual spontan

Oleh MOHD. NAIM AZIZ



DI sebatang jalan yang sibuk dengan kenderaan yang bertali arus, kelihatan seorang wanita pertengahan usia sedang mengayuh sebuah basikal tua. Kayuhannya perlahan dan cukup berhati-hati.

Terdapat sebotol air mineral besar terletak di dalam raga di bahagian depan basikal tersebut. Lebih kurang satu meter di hadapannya, turut dilihat seorang lelaki menunggang motosikal sambil lengkap memakai helmet.

Menariknya, wanita itu juga mengayuh basikal dengan memakai helmet seolah-olah sedang menunggang motosikal. Situasi itu membuatkan penulis tidak melepaskan peluang untuk memetik punat kamera yang berada di tangan bagi mengabadikan momen yang dilihat sebagai gambar koleksi peribadi.

Itu merupakan salah satu karya berkaitan fotografi jalanan atau dikenali umum sebagai street photography. Dari segi definisinya fotografi jalanan menggunakan teknik terus yang akan menghasilkan pandangan yang literal, semula jadi dan asli terhadap sesuatu subjek atau situasi.

Bagi penulis, istilah fotografi jalanan dapat diterjemahkan dalam pelbagai bentuk penggambaran atau rakaman gambar selagi mana ia mempunyai asas yang tidak bercanggah dalam elemen-elemen fotografi.

Teknik secara bersahaja (kandid) atau secara terus (direct) dikategorikan sebagai salah satu aspek fotografi jalanan. Selain itu, ia juga boleh dihasilkan ketika sedang berjalan-jalan dan mengambil gambar tanpa sebarang tujuan.

Cabang fotografi tertua

Menurut Program Koordinator Pengajian Asas, Fakulti Kreatif Multimedia, Universiti Multimedia (MMU), Che' Ahmad Azhar Che' Fadzil, 47, fotografi jalanan merupakan salah satu cabang dalam kesenian fotografi.


ERTI kehidupan sebenar dalam persekitaran dapat dirakam melalui cabang fotografi jalanan.


Malah, ia boleh dikatakan cabang fotografi tertua di dunia kerana gambar pertama yang dirakam pada tahun 1826 oleh seorang jurugambar Perancis, Joseph Nicephore Niepce termasuk dalam kategori gambar jalanan.

"Gambar yang bertajuk View from the Window at Le Gras itu menunjukkan Niepce merakam pemandangan dari jendela rumahnya. Begitu juga dengan gambar manusia pertama yang dirakam pada tahun 1839 di Paris iaitu potret seorang lelaki di luar sebuah kedai.

"Kedua-dua gambar tersebut tergolong dalam karya fotografi jalanan dan ini bermakna ia sudah wujud sejak sekian lama," ujar Che' Ahmad ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah beliau, kesenian itu bertujuan untuk merakam kehidupan manusia di samping turut mempunyai kepentingan tersendiri dalam setiap karya yang dihasilkan.

"Hakikatnya, karya-karya fotografi jalanan ini merupakan satu dokumentasi visual yang diambil secara spontan tentang kehidupan seharian manusia di tempat-tempat awam dan ia boleh menjadi rujukan sejarah untuk generasi akan datang," jelasnya lagi.

Di samping merangkumi pelbagai aspek kehidupan, ragam masyarakat, tatasusila budaya, tingkah laku dan persekitaran alam, kesenian fotografi jalanan juga mempunyai hubung kait yang rapat dengan nilai-nilai kemanusiaan.


PERSEKITARAN budaya setempat memberi ruang luas kepada penggiat fotogafi jalanan.


Lokasi-lokasi terbuka seperti sekitar jalanan, bandar metropolitan, pelosok kampung, pasar harian, kompleks membeli-belah, bangunan bersejarah dan sebagainya mampu menterjemahkan sesebuah karya dalam bentuk fotografi jalanan.

Bukanlah hasrat penulis untuk merungkai setiap perincian lokasi, tetapi asas lokasi tersebut sudah cukup untuk membuatkan seseorang jurugambar 'berperang' dengan karya dan identiti imej yang cuba dibentuk.

Fotografi jalanan bukan photojournalism

Ironinya, fotografi jalanan berbeza dengan kewartawanan foto (photojournalism) yang lebih eksklusif dan selalu dihasilkan oleh satu fokus dalam fikiran. Aspek ini terarah dalam bentuk dokumentari yang boleh dijual kepada akhbar dan majalah sebagai bahan utama.

Namun, secara semula jadinya, kewartawanan foto mampu menghasilkan berita-berita berat dengan hanya mendapatkan apa yang berlaku di tempat kejadian.

Kemunculan gajet di pasaran kini terutamanya kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) pula mudah didapati dan murah berbanding pada zaman kamera analog.

Umumnya dari segi harga ia agak berbaloi untuk seorang memilikinya. Bahkan kemunculan era siber teknologi tinggi alam maya lebih banyak memudahkan pengguna dan generasi masa kini.

Melalui IT juga, terdapat pelbagai laman sesawang yang khusus bagi menempatkan karya-karya fotografi jalanan. Walaupun pada hakikatnya ia adalah koleksi peribadi dan bukan untuk diperdagangkan, namun ia sebenarnya lebih memfokuskan tentang kematangan seseorang jurufoto itu.

Bercakap tentang fotografi jalanan, adakalanya imej yang dirakam menjurus kepada nilai berita, bahkan ia cukup untuk menterjemahkan apa yang berlaku dalam persekitaran masyarakat amnya.

Tetapi tidak semua imej yang dirakam mempunyai nilai dan asas berita memandangkan ia lebih kepada fotografi secara terus serta mempunyai sudut pandangan yang kreatif.

Dalam menghasilkan sebuah karya kreatif, seorang jurufoto perlu peka dengan keadaan sekitarnya di samping mempunyai pengetahuan asas dan kemahiran dalam teknik-teknik fotografi.

Tidak ketinggalan, kemahiran berkomunikasi juga harus dititikberatkan kerana ia termasuk antara aspek utama asas fotografi jalanan. Sekiranya komunikasi lemah, ia mampu 'membunuh' secara keseluruhan penciptaan karya yang lebih terarah kepada unsur-unsur kemanusiaan.


PEMAHAMAN yang jelas tentang sesuatu budaya bangsa juga dapat dihasilkan melalui rakaman lensa kamera.


Dewasa ini, golongan amatur juga telah banyak mempelopori bidang fotografi jalanan dan menjadikan ia medium bebas untuk berkarya. Justeru, tidak hairanlah jika kelas-kelas atau skop perbincangan semakin meluas dalam kalangan mereka.

Golongan profesional turut melibatkan diri dan ini menjadi penanda aras kepada peningkatan ilmiah dan karya fotografi itu sendiri. Penglibatan di antara kedua-duanya mempunyai perbezaan dari segi pengalaman dan cara 'menghidu' bagi menjadikan sebuah karya fotografi jalanan amat bernilai tafsirannya.

Turut melalui proses yang sama adalah perbezaan di antara masa, tempat serta pemilihan subjek.

Sewaktu bersiar-siar di kotaraya Kuala Lumpur, penulis pernah disapa seorang bekas jurufoto yang satu ketika dahulu mempelopori bidang fotografi jalanan. Jelasnya, bukanlah satu konteks mudah daripada membayangkan apa yang tersurat melalui pengamatan mata sekiranya bermain dengan persekitaran.

"Jangan hanya sekadar melihat secara luaran tetapi lihatlah dengan konteks yang lebih jauh dan mendalam," tutur Omar Rizal mengenai keadaan persekitaran sekiranya kita mahu 'berperang' dengan karya-karya sedemikian yang merupakan pesanan yang cukup bernilai buat penulis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan