Harian Metro: BeritaUtama |
Posted: 25 Feb 2011 10:49 AM PST SEGAMAT: Harga getah yang melambung tinggi turut menyumbang kepada aktiviti maksiat apabila ada pelacur memindahkan operasi mereka ke stor usang di tengah kebun getah di pekan Jementah, di sini, untuk menawarkan khidmat seks kepada penoreh getah. Kegiatan itu terbongkar apabila polis menahan seorang wanita warga Indonesia diberi gelaran Nina Montok yang menawarkan pakej semurah RM50 untuk sekali langganan menyebabkan penoreh getah tempatan dan warga asing berkunjung ke stor itu tanpa mengira waktu.
Tanpa segan silu, segelintir penoreh getah yang kemaruk seks beratur panjang menunggu giliran dan pada masa sama menyaksikan tayangan percuma rakan melakukan seks bersama wanita berusia 20-an itu. Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, berkata Nina Montok dipercayai menawarkan khidmat seks di kebun getah itu sejak beberapa hari lalu sebelum ia berakhir apabila polis menyerbu lokasi terbabit pada jam 10 malam kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati Nina Montok turut menghantar SMS secara rawak kepada beberapa penoreh getah di kebun berkenaan untuk mempromosi khidmat seksnya. Abd Majid berkata, polis turut menemui tiga peket kondom yang belum digunakan di dalam beg tangan wanita itu, telefon bimbit dan selain wang RM394 dipercayai hasil kegiatan pelacuran. "Pemeriksaan mendapati wanita itu masuk ke negara ini secara sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya. |
Posted: 25 Feb 2011 10:40 AM PST JOHOR BAHRU: Seorang tukang cuci maut apabila tiga lelaki yang menunggang motosikal menghimpit motosikal diboncengnya dalam satu cubaan meragut di Jalan Skudai-Jalan Tun Razak di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, R Alamelu, 52, mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adik iparnya, D Ganesh, 36.
Ketika kejadian, Ganesh dalam perjalanan menghantar mangsa ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Ibrahim untuk berjumpa suaminya yang menaiki kenderaan berasingan sebelum mereka bersama-sama ke Singapura untuk bekerja. Difahamkan, Ganesh menyedari diekori sekumpulan lelaki dipercayai warga asing sebelum membelok ke stesen minyak di Jalan Padi, Bandar Baru Uda.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Kamil, 30-an berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya menyebabkan pengguna jalan raya lain memperlahankan kenderaan. "Pada awalnya saya menyangka ia hanya kemalangan biasa. Bagaimanapun, saya hanya mengetahui ia cubaan ragut selepas dimaklumkan mangsa. Ada pengguna jalan raya cuba mengejar tiga peragut itu tapi gagal," katanya. Menurut Kamil, pada waktu puncak, dianggarkan lebih 30,000 penunggang motosikal akan ke Tambak Johor melalui Jalan Skudai dan ketika itulah ada di kalangan peragut mengambil kesempatan menjalankan kegiatan. "Kami berharap polis mengambil perhatian berkaitan perkara ini dan lebih kerap mengadakan sekatan jalan serta rondaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kes berkenaan benar-benar membabitkan kejadian ragut. "Berdasarkan siasatan awal, barangan milik mangsa gagal dilarikan penjenayah, ada kemungkinan mangsa maut akibat serangan jantung. "Polis akan mengambil keterangan dan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kejadian. Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim (HSI) untuk bedah siasat," katanya. Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: BeritaUtama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan