Utusan Online - Dalam Negeri |
- Erni hiba lihat kerepek dibeli ibu
- Difitnah Hindraf: Perkasa buat laporan polis
- Maybank perlu bertindak ke atas Tengku Zafrul - Perkasa
Erni hiba lihat kerepek dibeli ibu Posted: Erni hiba lihat kerepek dibeli ibuOleh MD. AZRIN ROSLY KUALA LUMPUR 22 Feb. – Anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu, beliau berasa sedih dan tersentuh hati melihat kerepek yang dibeli oleh ibunya masih ada di dalam kereta BMW X5 yang diserahkan semula kepadanya semalam. Menurut Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, beliau terkejut dan hiba sebaik terpandang bungkusan kerepek berkenaan di dalam kereta BMW X5 yang dilaporkan hilang pada hari ibunya dibunuh, Ogos lalu. "Saya sedih melihat kereta (yang dipulangkan kepadanya) dan di dalamnya pula masih ada kerepek yang dibeli oleh ibu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Kerepek berkenaan dibeli oleh Allahyarham Sosilawati di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor pada akhir Ogos lalu untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri. Sebelum ini, seorang pekerja di kedai Kerepek House Fazz Enterprise kira-kira dua kilometer dari pekan Banting pernah memberitahu bahawa Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond London. Sementara itu, kata Erni, keluarganya berasa lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menambah hukuman penjara ke atas dua pekerja ladang yang disabitkan bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik itu. Menurut Erni, pindaan hukuman itu juga membolehkan tertuduh menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. "Sebelum ini, hukuman yang dikenakan iaitu penjara tujuh tahun dilihat tidak setimpal dengan perbuatan mereka. "Hukuman penjara 20 tahun dilihat lebih 'berbaloi' walaupun ia tidak akan sama dengan perbuatan yang telah mereka lakukan. "Keputusan semalam menunjukkan keadilan berlaku dan penjenayah tidak akan terlepas dengan hukuman berat," katanya. Selain menolak rayuan K. Sarawanan yang didapati bersalah sebelum ini oleh Mahkamah Majistret Banting kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohtarudin Baki semalam turut menambah hukuman ke atas perayu dan seorang lagi, U. Suresh dari tujuh kepada 20 tahun. Sementara itu adik kepada Erni, Erinawati Sofia, 22, mengucapkan terima kasih kepada badan kehakiman dengan membuat keputusan yang tepat apabila menolak rayuan yang dibuat oleh Sarawanan. "Saya berasa gembira apabila mahkamah bukan sahaja menolak rayuan salah seorang tertuduh malah meminda hukuman penjara ke atas mereka kepada 20 tahun. "Saya tetap berasa sedih kerana perbuatan yang dilakukan oleh mereka itu tidak akan sama sekali setimpal dengan hukuman yang mereka dapat," ujarnya. |
Difitnah Hindraf: Perkasa buat laporan polis Posted: Difitnah Hindraf: Perkasa buat laporan polisKUALA LUMPUR 22 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyangkal tuduhan Hindraf yang mendakwa mereka akan menimbulkan kekecohan ketika demonstrasi tanpa permit yang akan diadakan pertubuhan haram itu di ibu negara pada Ahad depan. Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang berang dengan dakwaan itu berkata, tindakan Hindraf menyebarkan fitnah menerusi e-mel adalah salah satu cara untuk menimbulkan ketegangan dan juga kekecohan serta dengan niat untuk memburukkan negara. Beliau yang ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari ini memberitahu, laporan itu dibuat selepas beliau membaca satu kiriman e-mel yang dihantar oleh srihero@gmail.com yang didakwanya pengerusi pertubuhan haram itu iaitu P. Waytha Moorthy. Menurut Ibrahim, e-mel tersebut dihantar kepada 21 penerima terdiri daripada wakil pertubuhan hak asasi manusia di seluruh dunia termasuk Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara. "Kiriman e-mel itu menuduh Perkasa merupakan alat kepada UMNO untuk menimbulkan huru-hara pada demonstrasi haram yang akan diadakan oleh Hindraf di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga ke Jalan Dang Wangi. "Perkasa menentang sekeras-kerasnya tindakan Hindraf itu yang dilihat sebagai perosak negara dan pengecut kerana pengerusi pertubuhan haram itu sudah melarikan diri ke luar negara dan tidak mahu bersemuka. "Saya ingin tegaskan di sini bahawa Perkasa tiada kena mengena dengan UMNO. Perkasa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dan tidak pernah menganjurkan perhimpunan yang melanggar undang-undang apatah lagi menganjurkan perhimpunan jalanan yang melampau," tegasnya kepada pemberita. Ibrahim turut menggesa polis agar mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat menganjurkan demonstrasi haram pada hujung minggu ini. "Saya membuat laporan polis ini kerana merasakan tanggungjawab saya sebagai seorang yang cintakan negara saya dan inginkan kesejahteraan serta keamanan," katanya. |
Maybank perlu bertindak ke atas Tengku Zafrul - Perkasa Posted: Maybank perlu bertindak ke atas Tengku Zafrul - PerkasaKUALA LUMPUR 22 Feb. - Pihak pengurusan Malayan Banking Bhd. (Maybank) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berikutan satu kenyataannya terhadap sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) lain dalam satu forum terbuka baru-baru ini. Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar perlu mengambil tindakan itu sebagai pengajaran kepada keseluruhan kakitangan dan pegawai Maybank. Pada masa sama, tegasnya, ia juga akan menjadi iktibar kepada pegawai-pegawai organisasi lain khususnya GLC supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membuat kenyataan. "Ia juga penting sebagai peringatan bahawa kebebasan bersuara bukan bermaksud sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan secara semberono. "Ini kerana ia boleh mengundang kesan negatif bukan sahaja kepada nama baik syarikat yang diwakili malah keseluruhan organisasi berkenaan," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Tengku Zafrul bahawa pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda telah memberi isyarat salah sehingga menyebabkan kebimbangan pasaran. Kenyataan beliau itu seolah-olah mempertikaikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantik Mohd. Isa. Ruslan menambah, Tengku Zafrul juga sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana kehadiran beliau pada forum tersebut membawa gelaran CEO Maybank Investment Bank Bhd. dan mewakili Maybank. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan