Jumaat, 25 Februari 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Tentera bedil masjid

Posted: 24 Feb 2011 01:39 PM PST

BENGHAZI (Libya): Satu unit tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam membedil menara sebuah masjid dengan peluru antipesawat dan senjata automatik selepas penunjuk perasaan antikerajaan enggan meninggalkan kawasan di barat Tripoli itu.

Saksi berkata, ramai penunjuk perasaan yang berkampung di luar dan dalam masjid itu terbunuh dalam serangan di Zawiya, 50 kilometer ke barat Tripoli. Dia bagaimanapun tidak dapat memberi jumlah tepat.

Tentera pro-Gaddafi bertindak ganas ketika pengaruh pemimpin Libya itu semakin terhakis. Zawiya dan beberapa bandar besar Libya yang lain serta bandar berhampiran Tripoli sudah dikuasai pemberontak.

Di timur yang dikuasai sepenuhnya kumpulan penentang, pembangkang berikrar 'membebaskan' Tripoli, tempat pemimpin Libya itu berkubu dengan sekumpulan tenteranya meronda jalan raya dan kereta kebal melindungi kawasan pinggir.


Saksi berkenaan yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang terhadap tindak balas berkata, serangan jam 9 pagi (waktu tempatan) dilakukan sehari selepas pembantu Gaddafi yang dikenali sebagai Abdullah Megrahi muncul di bandar berkenaan dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya 'pulang atau mereka akan menyaksikan satu pembunuhan beramai-ramai.'


"Kami memberitahunya kami tidak akan pulang, sama ada kami mati atau kami mencapai kemenangan," katanya.

Saksi itu terkejut dengan tindakan tentera yang menyerang orang awam.
Beberapa unit tentera dilapor berpaling tadah dengan menyokong penunjuk perasaan sejak pemberontakan bermula 15 Februari lalu.

Ada laporan menyatakan kira-kira 1,000 orang terbunuh sepanjang pemberontakan itu di seluruh negara sementara kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch menganggarkan lebih 300 terkorban.

"Apa yang berlaku amat teruk. Mereka yang menyerang kami bukan tentera upahan, tetapi anak negara ini sendiri. Mereka membedil menara masjid," katanya.

Menurutnya, sebahagian besar penunjuk perasaan remaja yang bersenjatakan senapang memburu.

Dia juga memberitahu, penunjuk perasaan dari Zawiya tidak berhasrat untuk menyahut gesaan pembangkang supaya menyertai perarakan seluruh negara ke Tripoli hari ini.

"Kami tidak merancang untuk berarak ke Triopoli. Kami sudah berbincang dan bersetuju untuk kekal di sini," katanya.

Penunjuk perasaan tidur di dalam masjid dan di kawasan lapang di luarnya sejak beberapa hari lalu dan enggan meninggalkan premis berkenaan.

"Kumpulan remaja itu tidak mempunyai apa-apa untuk melindungi diri mereka kecuali senapang memburu dan semangat, manakala tentera memiliki peluru berpandu antipesawat dan senjata automatik," katanya.

Dia juga berkata, polis tidak kelihatan di bandar itu yang terletak berhampiran sebuah pelabuhan dan kilang penapisan minyak utama di Mediterranean.

"Penduduk terpaksa membentuk jawatankuasa bagi melindungi rumah masing-masing serta bangunan lain," katanya.

Dia juga berkata, penyokong Gaddafi turut menyerang warga China dan Mesir yang bekerja dengan syarikat pembinaan di bandar raya itu. — Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Siswi tunggang motor 300km

Posted: 24 Feb 2011 01:38 PM PST

PONTIAN: Misteri ibu kepada bayi yang ditemui dalam mangkuk tandas di stesen minyak di Jalan Api-Api di sini, Ahad lalu, terbongkar selepas polis menahan seorang pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di rumah keluarganya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi berkata, gadis berusia 20-an itu ditahan selepas pihaknya mendapatkan gambarannya daripada pekerja stesen minyak berkenaan tidak lama selepas penemuan mayat bayi terbabit.

"Hasil maklumat, lokasi kediamannya dikesan dan kami ke sana jam 9 malam Rabu lalu, sebelum menahannya bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati gadis itu melahirkan bayi lelaki berkenaan di dalam tandas rumah sewanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan," katanya, semalam.


Menurut Zahaliman, siasatan mendapati pelajar tahun akhir itu menunggang motosikal seorang diri sejauh kira-kira 300 kilometer dari rumah sewanya untuk ke stesen minyak berkenaan.


Beliau berkata, gadis terbabit bimbang rahsianya melahirkan anak terbongkar dan nekad untuk cuba menutup perkara terbabit.

"Siasatan mendapati bayi itu dipercayai meninggal dunia sehari selepas dilahirkan, gadis terbabit kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan berusia 72 tahun terkejut apabila terjumpa mayat bayi di dalam tandas sebelum memaklumkannya kepada pekerja stesen minyak itu.

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati bayi yang dibungkus dengan kain berkenaan sudah meninggal dunia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan