Selasa, 22 Februari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


390 pelajar Malaysia di Christchurch selamat

Posted: 21 Feb 2011 09:19 PM PST

KUALA LUMPUR: Kesemua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar yang berada di Christchurch, New Zealand dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi kuat melanda bandar raya itu hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay ketika dihubungi berkata, pegawai di kedutaan Malaysia di Wellington telah diarahkan ke Christchurch untuk memantau keadaan di sana.


Usaha menghubungi para pelajar Malaysia di sana gagal kerana bandar raya itu dilaporkan mengalami gangguan telefon dan bekalan elektrik akibat gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter.

Ini adalah kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas kali pertama pada September lalu di mana gempa berukuran 7.1 pada skala Richter mengakibatkan kerosakan serius kepada bangunan dan jambatan.-Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UPP Kuala Kedah rampas kayu gaharu bernilai lebih RM300,000

Posted: 21 Feb 2011 08:07 PM PST

ALOR SETAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah merampas 422 kilogram kayu Karas (gaharu) bernilai RM337,600 di satu kawasan tempat letak kereta awam di Pekan Kuala Kedah dekat sini malam tadi.

Komander UPP Mohd Jasri Othman berkata, pasukannya membuat pemerhatian di kawasan letak kereta berkenaan selepas menerima maklumat awam. "Pasukan saya membuat intipan serta menunggu lebih dari 10 jam dan kemudian merampas lapan guni berisi kayu karas itu.


"Pasukan juga menghubungi Penguatkuasa Jabatan Hutan negeri untuk bantuan kepakaran dan didapati kayu ini gred B yang bernilai RM800 sekilogram.

"Tiada tangkapan dibuat dan pihaknya percaya kayu berkenaan baru diturunkan daripada bot sebelum diletakkan di kawasan letak kereta itu," kata Mohd Jasri.


Beliau berkata, kayu yang digunakan untuk membuat minyak wangi dan setanggi itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui Langkawi yang dijadikan sebagai transit.


Pemilikan hasil hutan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kes ini, ia akan disiasat mengikut Seksyen 76 (1) akta sama di mana apa-apa hasil hutan yang dijumpai hanyut, terdampar, tersangkut, tenggelam atau ditinggalkan atau bukan dalam pemilikan atau di bawah kawalan seseorang hendaklah dianggap harta pihak berkuasa negeri.


"Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya dan ia merupakan kes pertama bagi UPP Kedah bagi tahun ini," katanya.-Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan