Utusan Online - Rencana |
Posted: Beli semua syarikat basOleh NORLIZA ABD. RAHMAN TAWARAN Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) kepada kerajaan agar membeli semua syarikat pengusaha bas yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara perlu dilihat dari pelbagai sudut. Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, tawaran berkenaan itu dibuat selepas perkhidmatan pengangkutan awam itu dilihat tidak berdaya untuk menanggung kerugian sepanjang tempoh 15 tahun mereka beroperasi. Para pengusaha bas berhenti-henti mendakwa mereka berada dalam keadaan yang tenat dan sedang nazak ekoran terpaksa menanggung kerugian dan kemungkinan terpaksa gulung tikar pada bila-bila masa sahaja. Mereka mendakwa tidak ada usaha serius daripada pihak kerajaan untuk menyelamatkan industri yang semakin merudum itu sehingga menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang semakin meningkat saban tahun. Sehubungan itu, PMBOA mengesyorkan beberapa cadangan agar pihak kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan industri ini sebelum keadaan kelam kabut berlaku. PMBOA mahu dasar kerajaan yang lebih jelas kerana umum mengetahui sehingga kini kerajaan masih belum mewujudkan satu Dasar Pengangkutan Negara sebagai gagasan memacu kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu. ''Belum wujud satu sistem pengangkutan awam dalam industri ini walaupun negara sudah merdeka 54 tahun. Ketiadaan Dasar Pengangkutan sebagai landasan mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang murah, mudah dan efisien menjadikan industri ini di dalam keadaan kacau bilau serta kalut. ''Kemelut ini akan berterusan sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan segera melalui rancangan jangka pendek dan panjang, perlu diingat bahawa industri pengangkutan sangat signifikan kepada penjanaan ekonomi negara. ''Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu wujudkan sebuah 'transport master plan' untuk Lembah Kelang dan di negeri-negeri lain," katanya kepada Utusan Malaysia mengenai intipati surat cadangan yang telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar. Mohamad Ashfar berkata, walaupun SPAD telah mengeluarkan kenyataan bahawa Dasar Pengangkutan Negara akan siap pada September depan, para pengusaha merasakan mereka tidak mungkin dapat bertahan sebegitu lama. Ini kerana mereka tidak tahu bentuk serta kerangka dasar yang sedang digubal itu sama ada memberi cahaya kepada mereka ataupun sebaliknya. Justeru, mereka amat berharap agar kerajaan mengambil perhatian terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh PMBOA. Antara cadangan yang dikemukakan ialah kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci penyelesaian untuk mengatasi kemelut membabitkan pengusaha bas berhenti-henti kerana penglibatan kerajaan pusat dan negeri dalam industri bas berhenti-henti melalui anak-anak syarikatnya semakin meningkat. ''Ini menggusarkan para pengusaha bas yang merasakan bahawa kerajaan secara langsung terlibat dalam industri tersebut dan bukan lagi sebagai pendukung tetapi telah menjadi pesaing mereka di seluruh negara. Sejak tahun 2000 beberapa perkara telah berlaku sehingga menyulitkan syarikat bas berhenti-henti beroperasi dengan keuntungan dan secara efisien. Antaranya kutipan tambang bas menurun tahun demi tahun dan faktor-faktor utama yang mengakibatkan kemerosotan ini adalah terlampau banyak permit dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tanpa mengkaji dengan teliti keperluannya menyebabkan wujudnya laluan berlapis. Penumpang bas semakin berkurangan kerana ramai yang memiliki kereta dan motosikal sendiri dan pengusaha bas terpaksa juga bersaing dengan kereta sapu, van sapu, bas sewa khas dan bas kilang yang beroperasi secara terbuka walaupun aduan sudah banyak dibuat kepada LPKP, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Hakikatnya, kata Mohamad Ashfar, industri bas memerlukan modal yang tinggi untuk membeli bas dan menggantikannya, lebih memberi tekanan apabila LPKP menetapkan jangka hayat bas selama 15 tahun bagi bas berhenti-henti. Para pengusaha terpaksa menjual bas mereka pada harga nilai lupus walaupun bas mereka masih dalam keadaan baik ''Bayangkan, pengusaha terpaksa membeli bas baru yang mana kebanyakannya tidak mampu membiayai kos baru, membayar gaji pekerja termasuk KWSP, Socso, insurans dan perubatan yang menguasai 40 peratus daripada jumlah kos operasi. ''Jika dibandingkan dengan industri lain, kadar gaji pekerja industri bas adalah amat rendah, ini menyebabkan bilangan pekerja berkurangan setiap tahun, akibatnya perkhidmatan tidak dapat dikendalikan dengan cekap dan disiplin tidak dapat dikawal ''Majikan memang berhasrat menaikkan gaji untuk membantu meningkatkan taraf hidup serta mendapat pekerja yang lebih berkualiti, tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana mengalami kesulitan dari segi kewangan yang kian merosot. ''Ini adalah disebabkan pendapatan kami terkawal tetapi perbelanjaan tetap meningkat hari demi hari, gaji pekerja secara automatik akan meningkat 10 peratus setiap tahun mengikut perjanjian bersama dengan kesatuan pekerja," katanya. Beliau turut menyenaraikan peningkatan kos membaiki kenderaan yang meningkat sehingga 60 peratus, kos tayar meningkat 100 peratus dalam jangka masa lima tahun, kos bateri meningkat sebanyak 172 peratus, juga dalam jangka masa lima tahun. Lebih memberi tekanan terminal bas di kebanyakan bandar sudah diswastakan, pengusaha yang dulunya dikenakan bayaran RM200 ke RM1,000 sebulan telah diarah membayar antara RM1,500 hingga RM10,000 sebulan iaitu antara lapan hingga 10 kali ganda. Sehubungan itu, PMBOA mencadangkan agar kerajaan wujudkan tabung pengangkutan awam bagi memudahkan pengusaha bas henti-henti membuat pinjaman dengan kadar faedah yang rendah dalam tempoh bayaran balik yang panjang. ''Atau kerajaan membeli bas-bas baru dan kemudiannya ditender semula kepada pengusaha untuk menjalankan perkhidmatannya mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama. Kerajaan kemudiannya menggantikan bas baru setiap 10 atau 15 tahun sekali kerana itulah PMBOA mengharapkan ada sinar baru untuk para pengusaha," katanya. |
Posted: Memahami kewangan IslamOleh NIZAM YATIM PERKEMBANGAN sistem ekonomi dan kewangan Islam di negara ini memang cukup membanggakan sehingga ia mendapat pengiktirafan di seluruh dunia. Malangnya, perkembangan pesat itu tidak seiring dengan kefahaman umat Islam Malaysia yang sebahagian besar masih 'jahil' mengenai pengurusan kewangan yang mematuhi prinsip syariah, khususnya membabitkan pinjaman peribadi. Hakikat mengejutkan itu didedahkan melalui satu kajian oleh dua pegawai penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman dan Azrina Sobian yang diterbitkan pada tahun lalu. Pada sesi temu ramah dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Siti Fatimah yang juga Pengarah Pusat Perundingan dan Latihan IKIM memberitahu, kebanyakan umat Islam membuat pinjaman peribadi dengan nilai lebih daripada RM20,000 untuk perkara yang dianggap bukan keperluan oleh Islam. ''Dalam Islam, hutang dibenarkan untuk tujuan tertentu misalnya apabila atap rumah diterbangkan ribut dan kita tiada wang untuk menggantikan yang baru. Ia juga dibolehkan bagi membayar kos rawatan perubatan, modal perniagaan dan melanjutkan pelajaran. ''Pinjaman peribadi tidak boleh dibuat untuk perkara bukan keperluan seperti membeli perabot baru pada hari raya, melancong atau bagi perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam seperti berjudi,'' jelas beliau. Katanya, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati sebahagian besar responden mengakui membuat pinjaman peribadi untuk membayar pendahuluan membeli kenderaan. ''Ini tidak dianggap sebagai satu keperluan dalam Islam kerana kalau tiada wang pendahuluan untuk membeli kereta yang mahal, umat Islam masih boleh membeli kereta murah yang tidak memerlukan bayaran pendahuluan yang banyak. ''Mereka juga mempunyai alternatif lain untuk membeli motosikal atau menaiki pengangkutan awam sahaja,'' katanya. Tambah beliau, majoriti responden berpendapat pinjaman peribadi patut digalakkan dan pandangan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak menggalakkan seseorang itu berhutang kerana ia akan meletakkan para penghutang dalam keadaan tidak tenteram. Katanya, pihaknya juga terkejut kerana majoriti responden tidak mengambil kira jumlah sebenar yang perlu dilangsaikan termasuk kadar faedah yang dikenakan, sebaliknya hanya melihat adakah diri masing-masing mampu membayar balik setiap bulan. Jelas beliau, kebanyakan responden lebih tertarik untuk membuat pinjaman peribadi berasaskan prinsip syariah yang ditawarkan oleh institusi kewangan konvensional berikutan mutu perkhidmatan yang ditawarkan dan bukannya yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam sepenuhnya. Dalam pada itu, Siti Fatimah memberitahu, kajian itu turut melibatkan pinjaman peribadi tidak formal daripada ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan dengan nilai pinjaman antara RM500 hingga RM2,000. Ujar beliau, majoriti pinjaman menerusi cara itu tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam iaitu perlunya ada saksi dan mencatatkan butir-butir hutang berkenaan termasuk jumlahnya, bila hendak dibayar dan berapa banyak perlu dibayar balik. Katanya, kajian itu juga mendapati 64 peratus responden yang meminjam secara tidak formal berbuat demikian pada masa kecemasan. ''Ia adalah satu trend yang membimbangkan kerana mereka jelas sekali tidak mempunyai tabungan untuk dijadikan payung ketika kesusahan. ''Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang mensyaratkan penganutnya membahagikan pendapatan bulanan kepada tiga tujuan iaitu tabungan, sedekah dan perbelanjaan,'' katanya. Sementara itu, Azrina yang merupakan Felo Pusat Sains dan Teknologi IKIM pula mendedahkan bahawa majoriti responden turut terjebak berhutang menerusi penggunaan kad kredit dengan masing-masing mempunyai satu atau dua kad. Menurut beliau, perkara itu terjadi berikutan kad kredit mudah diperoleh dengan had kelayakan gaji hanya RM1,500 sebulan. ''Kita tertanya-tanya mampukah mereka membayar balik sedangkan kita tahu bahawa kadar cajnya sangat tinggi iaitu sekitar 18 peratus dan sampai bilakah hutang ini akan habis dibayar berikutan separuh daripada responden hanya membayar kadar bayaran minimum setiap bulan,'' katanya. Bagi memastikan, fenomena itu tidak berterusan, Azrina mencadangkan, had kelayakan untuk memperoleh kad kredit ditingkatkan kepada minimum RM3,000 sebulan dan umat Islam merujuknya sebagai 'kad hutang' bagi mewujudkan persepsi negatif dan mengelak mereka berterusan menggunakan kemudahan berkenaan. Berdasarkan kajian yang melibatkan 131 responden, kedua-dua mereka telah menggariskan beberapa langkah bagi memastikan kejahilan umat Islam itu tidak berterusan termasuk mendedahkan pelajar di sekolah rendah dan menengah mengenai kemahiran pengurusan kewangan berlandaskan Syariah. Ibu bapa juga harus mengajar anak-anak mereka khususnya yang mula memegang wang dalam jumlah banyak ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengurus kewangan mereka secara berhemah. Tambah mereka, di peringkat komuniti setempat termasuk pihak masjid harus mengadakan sesi ceramah bagi menerangkan keburukan tabiat suka berhutang dan perlunya umat Islam mempelajari pengurusan kewangan secara betul. Maklumat lanjut mengenai hasil kajian itu boleh diperoleh dalam buku 130 halaman bertajuk Pinjaman Peribadi: Hasil Kajian Terhadap Masyarakat Malaysia yang diterbitkan oleh IKIM. Buku berharga RM20 senaskhah itu boleh dibeli dengan melayari Rakan Baca IKIM di Facebook atau hubungi Unit Penerbitan institut itu di talian 03-62046250 atau 03- 62046251. Diharap buku berkenaan akan menyedarkan umat Islam bahawa berhutang itu memang mudah tetapi untuk membayar balik adalah satu tanggungjawab cukup berat, bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Hakikat itu dipaparkan dalam hadis riwayat Muslim yang berbunyi: ''Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).'' Maksud hadis itu adalah jelas bahawa orang yang mati syahid, yang dijanji syurga oleh Allah SWT akan tertangguh urusan kemasukan ke syurga akibat hutang tidak berbayar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan