Isnin, 21 Februari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Pewaris tarian tradisional

Posted:

Pewaris tarian tradisional

Pewaris tarian tradisional

Oleh SAHLIZAH MOHAMED



LENGKAP menyarungkan kostum tradisional ia membuatkan gaya tarian mereka persis penari profesional. Dengan wajah yang tidak lekang dengan senyuman, masing-masing begitu asyik melenggokkan tubuh dan menghayunkan tangan dengan gerak tarian yang pelbagai.

Walhal hakikatnya penari-penari cilik yang saling tak tumpah seperti penari profesional itu baru berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Lantaran itulah, kemahiran mereka mempersembahkan tarian tradisional dengan penuh kelembutan wajar diberikan pujian.

Jika diikutkan trend masa kini, lazimnya dalam lingkungan usia sedemikian, kebanyakan kanak-kanak lebih cenderung untuk mengisi masa lapang mereka dengan mengikuti aktiviti atau kelas yang lebih bersifat semasa atau hiburan.

Bermula dari kosong tanpa sebarang asas tarian tradisional, keenam-enam mereka baru bergelar penari bermula pada Disember tahun lalu selepas Heritage Performing Arts Studio memulakan operasinya pada Februari tahun yang sama.

Lebih menarik, di antara keenam-enam penari cilik itu, tiga daripadanya merupakan penari lelaki iaitu Adam Mikail Mohd. Zahini, 7, Muhammad Muzzammil Roslan, 8, dan Muhammad Idzham Nordin, 11.

Sementara penari perempuan pula ialah Nur Ain Lily Sophea Hainol Ridzal, 9, serta kakak kepada Adam Mikhail iaitu Siti Nur Adriana Sofia, 12, dan Ayu Nisrina Syakirah, 9 tahun.


HANIZAH menurunkan ilmu tarian tradisional seperti zapin, joget dan asli kepada kumpulan penari cilik Heritage Performing Arts Studio.


Cari bakat baru

Menyelak asal-usul penubuhan studio berkenaan, pengarah yang juga pemilik studio itu, Ida Suraya Ibrahim memberitahu penubuhan studio tersebut diasaskan bersama rakannya, Nor Azzura Azizul Azman yang merupakan salah seorang pengacara program terbitan TV3, Wanita Hari Ini.

"Pada awal penubuhan, kami mencari bakat-bakat baru yang gemar dan berkebolehan untuk membawa tarian tradisional untuk bernaung di bawah lembayung Heritage Performing Arts Studio.

"Pada ketika itu, kami mengkhususkan penari-penari yang ada untuk dilatih dan mempersiapkan diri mereka bagi membuat persembahan seperti majlis perkahwinan dan majlis pelancaran sama ada melalui undangan atau projek yang kami usahakan.

"Namun bermula pada tahun ini, kami mahu bergerak dengan lebih profesional dan mula membuka peluang kepada kanak-kanak yang ingin belajar tarian tradisional," katanya ketika ditemui di studionya baru-baru ini.

Bermula secara sederhana, Ida Suraya mengharapkan studio miliknya itu bakal menjadi sebuah pusat tarian tradisional kepada generasi muda untuk mendalami selok belok tarian Melayu.

Sudahpun mempunyai kerja hakiki sebagai seorang perunding kewangan, Ida Suraya memutuskan untuk membuka studio berkenaan dek kerana minatnya yang tidak pernah padam dalam bidang tarian.

Mula menari ketika di bangku sekolah, Ida Suraya memberitahu, saat melihat anak didiknya mampu menggayakan tarian tradisional, hatinya cukup tersentuh. Baginya, bukan mudah untuk memupuk minat kanak-kanak mendalami bidang seni tarian tradisional.

"Saya melayan mereka macam ahli keluarga saya sendiri. Setiap kali sesi latihan, saya sering menerapkan keyakinan diri yang tinggi dan semangat tidak mudah putus asa kepada mereka.

"Daripada kaca mata saya, mereka semua sangat ikhlas menari dan keseronokan yang terpancar di wajah mereka membuatkan saya berasa bangga," tuturnya yang mengeluarkan duit poket sendiri untuk membiayai sewa studio berkenaan.


ADAM MIKHAIL (depan) bersama kakaknya, Ayu Nisrina (barisan kedua) dan Siti Nur Adriana (belakang) serta rakan-rakannya yang lain.


Selain bertindak sebagai pengurus dan pemilik studio, Ida Suraya turut mengambil inisiatif dengan menjahit sendiri kostum tarian untuk penari-penari ciliknya.

Sementara itu, salah seorang penari, Siti Nur Adriana Sofia memberitahu, dia mula menari sejak tiga tahun lalu, sementelah ibunya turut memberikan sokongan.

"Lagipun kelas menari di sini (Heritage Performing Arts Studio) hanya diadakan pada hujung minggu dan cuti sekolah. Jadi ia tidak mengganggu waktu belajar kami tiga beradik," katanya yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Chiao Nan.

Bukan kerja mudah

Dalam pada itu, pereka tari Heritage Performing Arts Studio, Hanizah Hashim, 43, mengakui berhadapan dengan kesukaran pada peringkat awal untuk mencurahkan pengalaman tarian yang dikutipnya sejak 21 tahun lalu kepada keenam-enam penari cilik itu.

Namun berkat kesabaran dan keikhlasan, ilmu yang diturunkan itu disambut dengan perasaan puas hati apabila melihat keenam-enam penari cilik tersebut mampu melenggokkan tarian dengan penuh gemalai.

"Mula-mula memang susah sebab mereka tak ada asas. Penari kalau nak menari kena ada asas kerana asas itu yang kukuhkan kita. Itulah pentingnya asas tarian.

"Bila sudah ada asas, dari situ kita boleh lentur mereka. Saya memang bersyukur dan berbangga sebab mereka ada minat nak menari. Mereka kelihatan bersemangat ketika menari," jelasnya yang pernah menjadi penari untuk Kompleks Budaya yang kini dikenali sebagai Istana Budaya.

Tuturnya lagi, kanak-kanak tersebut tidak kisah jika ditegur atau merajuk apabila dimarah kerana mereka tahu ia merupakan salah satu daripada proses pembelajaran.

"Mereka memang tak kisah kalau saya marah sebab mereka tahu saya bukan suka-suka nak marah mereka. Saya juga selalu terapkan kepada mereka untuk tidak mudah mengalah.

"Kena telan apa sahaja cabaran yang mendatang kerana ia akhirnya membawa kepada kejaaan. Saya ingatkan mereka bahawa kita menari untuk menunjukkan kepada dunia di luar sana kemampuan kita dan kebudayaan yang patut kita megahkan.


SOKONGAN ibu bapa antara faktor penting untuk menggerakkan minat tarian dalam diri kanak-kanak.


"Saya juga bertuah atas sokongan ibu bapa yang sanggup datang menemani anak mereka malah, ada ketikanya sehingga larut malam. Pernah pada satu ketika, salah seorang penari saya demam, tetapi masih bersemangat untuk datang menjalani latihan. Ia membuatkan hati saya cukup tersentuh," ujarnya yang kini bekerja di sebuah firma guaman di ibu kota.

Diminta mengulas mengenai sistem kiraan bagi setiap langkah tarian, Hanizah memberitahu, sistem kiraan merupakan salah satu daripada asas tarian yang penting.

"Ia mesti bermula dengan kiraan dan dalam setiap lagu terdapat lapan rentak, jadi kira sebanyak lapan kali. Jika terdapat dua kali rentak, maknanya 16 kali. Bila saya lihat mereka sudah boleh membiasakan diri dengan kiraan, saya masukkan pula muzik dan mereka akan tahu sendiri.

"Meskipun begitu, mereka masih kena mengira di dalam hati. Semua lagu mempunyai rentak termasuk juga lagu zapin. Sebab itu saya kata sebagai seorang penari, mereka kena sentiasa peka dengan muzik," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan