Utusan Online - Utara |
- Tambah musim tanam padi
- Bekas pelatih Puspen wajar sertai NGO - Raja Muda Perlis
- Pemandu lori rebah, maut di tepi jalan
Posted: Tambah musim tanam padiGEORGE TOWN 26 Feb. — Usaha menambah musim tanaman padi kepada lima kali setiap dua tahun dengan penggunaan varieti padi baru yang mampu menahan serangan serangga akan diperkenalkan bagi menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan pada masa depan. Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hashim Abdullah (gambar) berkata, bagi memastikan perancangan itu berhasil meningkatkan hasil tanaman, sistem pengairan dan penggunaan teknologi moden perlu dipertingkatkan. Langkah seperti itu perlu dirancang kerana analisis sekumpulan penyelidik baru-baru ini menunjukkan masyarakat dunia dijangka berdepan masalah kekurangan bekalan makanan menjelang 2050 disebabkan pelbagai faktor termasuk pertambahan penduduk dunia yang dijangka meningkat kepada 9.2 bilion berbanding 6.8 bilion sekarang. "Malaysia juga pastinya tidak terkecuali berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, malah ada negara sudah berdepan masalah itu hingga berlaku rusuhan," katanya semasa merasmikan persidangan tahunan Pengairan dan Saliran ke-16 di sini hari ini. Setakat ini sara diri padi negara ialah sebanyak 70 peratus dan selebihnya 30 peratus atau 900,000 tan diimport. Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Persatuan Kebangsaan bagi Pengairan dan Saliran Pertanian Malaysia. Hashim berkata, bagi mencapai hasrat meningkatkan bekalan makanan negara, konsep penggunaan teknologi dan pengurusan sumber air yang mampan merupakan kunci utama pembangunan sistem pengairan dan saliran pertanian negara pada masa depan. Beliau berkata, pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan bagi memastikan air dapat dialirkan dengan cukup tanpa pembaziran dengan pengurusan dari segi operasi dan penyelenggaraan perlu ditekankan agar sumber air dapat digunakan pada bila-bila masa. "Permodenan sistem pengurusan air perlu dijana agar sektor pertanian negara menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing setanding dengan negara-negara maju," katanya. Hashim berkata sumber air yang baru seperti air hujan perlu dibangunkan untuk pelbagai kegunaan industri, domestik dan pertanian. - BERNAMA |
Bekas pelatih Puspen wajar sertai NGO - Raja Muda Perlis Posted: Bekas pelatih Puspen wajar sertai NGO - Raja Muda PerlisOleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI PADANG BESAR 26 Feb. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan bekas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) menjadi ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bagi membantu memulihkan rakyat negara ini yang terlibat dalam gejala tersebut. Titah baginda, ini kerana langkah tersebut dapat menyumbang kepada usaha pembangunan sosial dan negara menerusi sumbangan tenaga dan pengalaman dalam pertubuhan seumpama itu. "Semua penghuni Puspen dengan sokongan ibu bapa dan bimbingan kakitangan perlu membalas jasa semua pihak dengan komitmen bahawa apabila keluar daripada pusat ini (Puspen) mampu menjadi seorang manusia yang berbeza," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada Program Titian Kasih-Khas di Puspen Bukit Chabang di sini hari ini. Turut berangkat ke program tersebut Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menurut baginda, dalam konteks pembangunan negara, tidak mustahil menerusi komitmen seumpama itu dan usaha kuat dengan berbekalkan ilmu kemahiran yang dilatih di Puspen, penghuni-penghuninya mampu berdikari dan menjadi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). "Daripada konteks perubatan dan kesihatan pula, kita tidak boleh berputus asa bagi mencari penawar penyakit yang dihidapi termasuk penagihan dadah," titah baginda. Baginda bertitah, semua pelatih perlu menanam tekad untuk menghadapi tohmahan dan kejian masyarakat yang mempunyai persepsi negatif terhadap bekas penagih dadah. "Sokongan berterusan daripada keluarga begitu diperlukan bagi membantu bekas penagih dan ibu bapa seharusnya sentiasa memantau dan memberi sokongan moral serta nasihat bagi membantu bekas pelatih Puspen menghadapi dugaan. Jauhkan diri daripada rakan-rakan penagih kerana adalah malang jika terjebak untuk kali kedua atau ketiga," titah baginda lagi. |
Pemandu lori rebah, maut di tepi jalan Posted: Pemandu lori rebah, maut di tepi jalanALOR SETAR 26 Feb. - Jalan Perak Off Jalan Putra, di sini laluan terakhir dilalui seorang pemandu lori, Tan Seow Hong (gambar), 50, apabila meninggal dunia sebaik sahaja rebah selepas turun dari lorinya hari ini. Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30-an berkata, pada mulanya dia melihat Seow Hong turun dari lori lalu berjalan kira-kira 30 meter dan berdiri di tepi jalan dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu. "Saya nampak dia berdiri di tepi jalan seperti hendak melintas jalan, tetapi tiba-tiba dia rebah," kata Lim ketika ditemui di sini hari ini. Lim berkata, ketika itu dia sedang memandu di jalan itu dan ternampak mangsa berdiri di tepi jalan berhampiran sebuah pusat servis kenderaan. "Sebaik melihat dia rebah, saya menghentikan kereta dan segera membantunya. Ketika itu dia masih sedarkan diri dan mulutnya berbuih. "Saya kemudian meminta bantuan beberapa pekerja pusat servis kenderaan itu mengangkat mangsa ke tempat redup sebelum seorang daripada mereka menghubungi ambulans," katanya. Menurutnya, anggota paramedik yang tiba beberapa minit kemudian cuba membantu mangsa tetapi gagal dan mangsa meninggal dunia. Isteri mangsa, Lim Guek Yan, 44, berkata, selama ini suaminya tidak ada mengalami sebarang masalah kesihatan dan sentiasa sihat. "Sejak beberapa hari ini dia juga nampak sihat. Saya tak nampak dan tak pernah tahu sama ada dia ada menghidap sebarang penyakit. Yang saya pasti, dia selalu nampak sihat," katanya. Guek Yan berkata, ketika keluar dari rumah mereka di Taman Pelangi, di sini pukul 8 pagi, suaminya juga bersikap seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan