Utusan Online - Selatan |
- Tawar pendidikan sepanjang hayat
- UTeM cipta kincir air mampu jana tenaga
- Penambahbaikan institusi agama
Tawar pendidikan sepanjang hayat Posted: Tawar pendidikan sepanjang hayatOleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
JELEBU 22 Feb. - Pendidikan merupakan aspek terpenting buat masyarakat ketika ini memandangkan ia merupakan aset jangka panjang bagi melahirkan generasi yang mempunyai ilmu serta mempunyai kepakaran. Menyedari hakikat pentingnya aspek pendidikan ketika ini pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan termasuklah menyediakan peluang pelajaran kepada segenap lapisan masyarakat. Bukan itu sahaja, aspek ini bukan disasarkan kepada generasi muda malahan peluang mendapatkan pendidikan turut diberikan kepada golongan berusia. Salah satunya ialah penubuhan Kolej Komuniti Jelebu yang dilihat berupaya untuk memberikan pendidikan sepanjang hayat kepada mereka yang masih dahagakan ilmu untuk diamalkan. Pengarahnya, Mat Misiah Ayob berkata, terdapat dua kursus utama yang ditawarkan kepada para pelajar di kolej berkenaan sama ada mereka memilih untuk kursus penuh atau pun kursus pendek. ''Bagi kursus pendek yang kini dikenali sebagai Program Latihan 1Malaysia meliputi kluster program seperti bahasa, kesenian, kebudayaan dan lain -lain lagi," katanya. ''Sebanyak empat program yang ditawarkan untuk kursus penuh ialah Sijil Pendawai Elektik Fasa Tunggal (PW2), Sijil Teknologi Pembinaan, Sijil Sistem Komputer & Sokongan dan Sijil Pemprosesan & Kawalan Mutu Makanan," katanya di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai Program Latihan 1Malaysia, Mat Misiah menjelaskan program ini terbuka kepada semua termasuklah warga emas yang mahu melanjutkan pelajaran. Malah katanya, ramai di kalangan mereka menjadi usahawan melalui program yang ditawarkan sekaligus membolehkan mereka menjana pendapatan sampingan. Katanya, sejak penubuhan kolej itu pada tahun 2004, Kolej Komuniti Jelebu telah mengeluarkan graduan sebanyak 1,293 orang yang terdiri daripada pelbagai program disediakan. Jelas beliau, setakat ini seramai 298 orang pelajar sedang mengikuti kursus yang ditawarkan yang mana sebahaian besarnya mengikuti Sijil Pendawai Elektik Fasa Tunggal (PW2). Tambah beliau, pelbagai kemudahan turut disediakan kepada para pelajar bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan serta maklumat sepanjang mengikuti kursus yang ditawarkan. ''Malah kita juga mempunyai tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dan kebolehan selain lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi membolehkan mereka menjalani pengajian mereka di sini. ''Ini juga sejajar dengan hasrat kami dalam menganjurkan program pendidikan sepanjang hayat yang fleksibel dan mudah akses selain menyediakan laluan alternatif kepada pelajar yang tertinggal daripada pendidikan formal," katanya. Mat Misiah berkata, kolej ini bukan hanya tertumpu kepada golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetapi ia terbuka kepada orang ramai untuk melanjutkan pelajaran mereka. ''Kolej ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, malah sijil yang dikeluarkan sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian diperakui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). ''Malah yuran pengajian amat berpatutan selain ia membolehkan semua pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS)," katanya. Jelasnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kolej Komuniti Jelebu boleh berbuat demikian dengan menghubunginya di talian 06- 6138381 tau melayari laman web di www.kkjel.edu.my. | ||
UTeM cipta kincir air mampu jana tenaga Posted: UTeM cipta kincir air mampu jana tenaga
MELAKA 22 Feb. - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melakar satu lagi kejayaan dalam teknologi hijau selaras dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang itu pada masa depan. Terbaru, pusat pengajian tinggi berkonsepkan kejuruteraan itu mencipta sebuah kincir air yang berkeupayaan menjana tenaga elektrik bagi kegunaan harian. Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Madya Ir. Abdul Talib Din berkata, pembinaan kincir air setinggi 36 kaki itu direka khas bagi menjana tenaga elektrik berkapasiti 400 watt di kawasan Kampus Induk universiti berkenaan. Menurutnya, pihaknya menggunakan tenaga elektrik yang dihasilkan untuk disalurkan kepada dua kediaman pelajar yang akan dibina berhampiran kincir air bertujuan untuk pencahayaan lampu dan bekalan kuasa elektrik bagi kegunaan komputer riba. ''Pencapaian yang membanggakan ini amat bertepatan kerana berjaya menghasilkan kincir air pertama oleh UTeM sekaligus menjadi lambang kebanggaan semua warga universiti," katanya pada satu kenyataan di sini hari ini. Menurutnya, pembinaan kincir air ini bukan sahaja membabitkan kepakaran dari jabatannya tetapi juga turut mendapat kerjasama daripada Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan pelbagai jabatan yang dianggotai oleh kakitangan dalam bidang berkaitan. Kata beliau, keistimewaan tersendiri kincir air itu mempunyai dua saluran air yang boleh digunakan untuk menghasilkan putaran roda yang maksimum seterusnya memastikan penjanaan elektrik berlaku sepanjang masa. '' Saluran pertama boleh digunakan untuk menyalurkan air ke roda kincir pada hari biasa manakala saluran kedua pula hanya akan dibuka ketika hujan lebat atau ketika paras air tasik di kampus meningkat. ''Oleh itu, saluran kedua akan berupaya menyalurkan air dengan kelajuan tinggi bagi menghasilkan daya tujahan yang menggerakkan roda kincir dengan lebih laju," katanya. Menurut beliau, melalui usaha itu, pihaknya merancang meningkatkan kualiti beberapa komponen kincir air berkenaan bagi membantu meningkatkan kapasiti tenaga elektrik. Ia katanya, bagi membolehkan tenaga elektrik tersebut disimpan seterusnya disalurkan untuk kegunaan yang lebih meluas pada masa akan datang. Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kincir air tersebut dianggap sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan warga UTeM dalam menyahut seruan kerajaan untuk membudayakan kreativiti dan inovasi ke peringkat yang lebih tinggi. ''Pembinaan kincir air ini membuktikan bahawa penyelidik UTeM sentiasa berusaha keras menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada semua . ''Malah, kita percaya perkembangan itu sejajar dengan visi universiti untuk menjadi universiti teknikal terkemuka dan unggul di dunia," ujar beliau. | ||
Penambahbaikan institusi agama Posted: Penambahbaikan institusi agamaOleh NORIZAN ABDUL MUHID
JASIN 22 Feb. - Kira-kira RM371,000 diperuntukkan bagi penambahbaikan institusi agama seperti masjid, surau dan sekolah agama yang terdapat dalam Dewan Undangan negeri (DUN) Merlimau. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, projek penambahbaikan itu melibatkan enam masjid, lapan sekolah agama dan 10 surau dalam DUN Merlimau. Menurutnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan ke arah konsep transformasi agama ke tahap lebih cemerlang pada masa depan. "Kerajaan Pusat amat mengambil berat kemajuan dan perkembangan agama Islam di negara ini dan akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menganjurkan pelbagai kegiatan yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam secara menyeluruh," katanya. Beliau berkata demikian pada program Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia bersama guru KAFA, guru takmir, pegawai syarak dan ahli jawatankuasa masjid peringkat negeri di sini semalam. Turut hadir Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatakuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamed Datuk Syeikh Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah. Pada masa yang sama, kata beliau, pihaknya menerusi Jakim turut menyalurkan peruntukan kewangan bagi membantu negeri memenuhi keperluan pendidikan agama dan mengimarahkan kegiatan masjid. Selain itu, kata beliau, pada masa ini, dilihat berlaku pertambahan bilangan sekolah agama, guru dan imam di seluruh negara pada setiap tahun. Keadaan itu, menurutnya, disokong dengan bilangan guru KAFA pada tahun lalu yang mencapai jumlah seramai 33,664 orang manakala bilangan pelajarnya mencatat jumlah 1.1 juta orang. Ujar beliau, bilangan imam juga meningkat seramai 14,254 orang pada tahun lalu berbanding 9,666 orang pada 2005 manakala guru takmir setakat ini mencapai 3,692 orang. Dalam perkembangan sama, Jamil Khir berkata, kerajaan turut berhasrat menjadikan masjid sebagai pusat sehenti yang berperanan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada masyarakat Islam setempat. Katanya, antara perkhidmatan itu adalah seperti perkhidmatan kaunseling, perpustakaan awam, kemudahan rumah musafir, kemudahan komputer, kelas pengajian dewasa serta kanak-kanak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan