Rabu, 23 Februari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Krisis Libya: Pemuda PAS, DAP kecam kekejaman Gaddafi

Posted: 23 Feb 2011 12:52 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Dewan Pemuda PAS menyertai demonstrasi menentang kekejaman pemimpin Libya Muammar Gaddafi di kedutaan negara itu di sini pagi tadi dengan mendesak menyerahkan kuasa secara aman di tengah-tengah pertempuran berdarah.

Ini kali kedua demonstrasi diadakan di Kedutaan Libya di sini, yang mana semalam pelajar Libya di negara ini menuntut Gaddafi meletakkan jawatan selepas kira-kira 400 orang rakyat Libya meninggal dunia.

"Dewan Pemuda PAS pusat mewakili semua golongan muda hari ini mengkritik keras kekejaman yang dilakukan kerajaan Libya melalui tenteranya terhadap rakyat Libya yang menyuarakan bantahan dan pandangan mereka terhadap kerajaan Libya di bawah pentadbiran Presiden Muammar Gaddafi," kata memorandum yang diserahkan kepada wakil Kedutaan Libya.

"Kami menggesa Muammar Gaddafi supaya berunding secara aman dengan kumpulan pro-demokrasi bagi membentuk kerajaan baru sehingga pilihan raya adil dilaksanakan," kata memorandum itu.

Sayap pemuda PAS itu juga mendesak Putrajaya agar memberikan sokongan penuh terhadap revolusi itu dan gunakan saluran demokratik untuk memberikan tekanan kepada Gaddafi supata berbincang dengan kumpulan prodemokrasi itu.

Semalam Gaddafi berkata akan "membersihkan" Libya atau mati ketika mencuba, apabila beliau dilihat cuba melarikan diri kepada luar negara ekoran pertempuran berdarah itu.

Dalam pertempuran yang dilihat tiada penghujung itu telah mendedahkan lebih banyak penyelewengan yang berprofil tinggi ekoran satu tindakan keras kerajaan yang mana Gaddafi berkata dalam ucapan melalui siaran televisyen berkata enggan tunduk kepada desakan demonstrasi sehingga "titik darah terakhir".

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata sayap PAS itu menyertai demonstrasi itu adalah untuk menuntuk keadilan dan keamanan.

"Kami, Dewan Pemuda PAS menyerahkan memorandum sebagai bantahan terhadap kekejaman yang digunakan untuk menyeleraikan demontrasi," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sayap pemuda PAS itu juga telah menyerahkanb satu memoradum kepada Kedutaan Mesir pada 31 Januari lalu, mendesar Presiden Mesir Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai penyelesaian kepada masalah yang berlaku di negara itu.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Loke Siew Fook berkata, pihaknya turut mengutuk kekejaman Muammar dan mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak pantas mengembalikan kedamaian di Libya.

"Pemuda DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekerasan yang melampau yang digunakan oleh pemimpinkejam Libya Muammar Gaddafi keatas rakyatnya sendiri.

"Selepas melihat kejayaan rakyat Mesir dan Tunisia menggulingkan pemerintah zalim di negara mereka, kini rakyat Libya pula bangkit menentang pemerintahan zalim Muammar Gaddafi yang telah menjangkaui 41 tahun," katanya beliau yang juga Ahli Parlimen  Rasah hari ini.

Katanya, kerajaan yang korup dan zalim tentunya akan ditentang oleh rakyatnya sendiri walau dalam apa keadaan sekali pun.

Loke menambah, tindakan menyerang rakyat sendiri dengan menggunakan helikopter dan jet pejuang bukan sahaja zalim, malah telah sampai ke tahap tidak berperikemanusiaan.

"Tindakan tersebut merupakan sesuatu yang terlampau dan perlu dikutuk oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Dunia tidak boleh sama sekali menghalalkan seorang pemerintah yang menggunakan kekerasan untuk terus berkuasa ke atas rakyatnya," katanya.

Oleh itu tambah beliau, DAPSY menggesa Kerajaan Malaysia mengutuk Libya dengan sekeras-kerasnya dan mengambil tindakan sewajarnya mendesak PBB bertindak untuk mengembalikan kedamaian di Libya.

"Kelewatan tindakan oleh masyarakat antarabangsa akan membawa padah yang lebih buruk kepada rakyat Libya sekiranya perang saudara tercetus dengan kedegilan Muammar Gaddafi yang enggan berundur dari tampuk pemerintahan.

"DAPSY ingin melahirkan rasa simpati, sokongan dan solidariti bersama rakyat Libya yang berani bangkit menentang kezaliman dan menuntut kebebasan untuk mengembalikan hak demokrasi kepada masyarakatnya," katanya lagi.

Malah menurut beliau, DAPSY yakin kemenangan akan berpihak kepada kebenaran dan kebebasan.

 

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Suruhanjaya kejut polis tak siasat ‘lengkap’ barang Teoh

Posted: 23 Feb 2011 12:45 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Siasatan kematian Teoh Beng Hock yang hari ini masuk hari kelapan diperluaskan dengan menyelidik dan memeriksa semula beberapa barang milik setiausaha politik itu.

Suruhanjaya Siasatan juga mengarahkan Pegawai Penyiasat Ahmad Nazri Zainal meneliti dan memeriksa semula beberapa kawasan di tempat kejadian yang tidak diberi perhatian sepenuhnya dalam inkues lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata barang milik Teoh seperti kamera video, cakera padat (cd), thumbdrive dan dvd (cakera padat digital) akan diserah kepada penyiasat persendirian bagi mendapatkan maklumat di dalamnya.

Kelima-lima anggota suruhanjaya pada awalnya kelihatan terkejut apabila diberitahu Ahmad Nazri bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sebarang siasatan dibuat ke atas barang tersebut kecuali kamera video.

"Saya ada lihat sendiri kamera video itu tetapi ia hanya tunjuk Teoh sedang bekerja," katanya ketika disoal pegawai pengendali Amarjeet Singh pada prosiding siasatan bagi mengenal pasti punca kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Mengenai pemeriksaan semula di tempat kejadian, arahan itu dibuat berikutan kegagalan Ahmad Nazri mengesan kepala jam tangan (bahagian permukaan yang menunjukkan jarum dan waktu) milik Teoh di tingkat lima Plaza Masalam. Ketika itu Ahmad Nazri hanya menjumpai tali jam tangan.

Fokus utama pencarian baru itu ialah di dalam satu lubang berhampiran mayat Teoh ditemui terbaring kerana Ahmad Nazri pernah mencuba mencari di dalamnya tetapi gagal memasukkan tangan kerana itu lubang terlalu kecil.

Hakim Foong memerintahkan pegawai penyiasat itu pergi ke tempat itu sekali lagi petang ini dan cuba mengoreknya menggunakan peralatan yang sepatutnya dengan dihadiri wakil Majlis Peguam dan SPRM.

Isu pemeriksaan semula itu timbul setelah Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh menyatakan terdapat kemungkinan kepala jam tersebut jatuh ke dalam lubang itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.

Sementara itu, Ahmad Nazri ketika ditanya anggota suruhanjaya kenapa beliau tidak mencatat segala penemuan barang Teoh ketika kali pertama melihatnya, berkata pada masa itu beliau perlu menumpukan pada mayat mangsa kerana timbul kekecohan ekoran pihak media dan ahli politik yang cuba memasuki tempat kejadian.

Bagaimanapun kenyataan Ahmad Nazri itu dipersoalkan Abdul Kadir yang berpendapat beliau sepatutnya meminta bantuan daripada anggota yang lain bagi menyelesaikan kekecohan itu dan memberi perhatian ke atas beg itu.

Ahmad Nazri kemudiannya berkata beliau menyelidik beg itu (peringkat awal) hanya untuk mengetahui pemilik dan kehadiran Teoh di tingkat 14 (pejabat SPRM) dan ia dibuat secara kasar sahaja tanpa mencatatnya.

Katanya, beliau memeriksa semula kandungan itu di pejabatnya pada pukul 12 malam, 17 Julai 2009 tetapi tidak mencatat kesemua barang yang berada di dalamnya kerana dianggap kecil nilainya.

Beliau membuat pemeriksaan sekali lagi pada 7 Oktober 2009 dan ketika itulah menemui beberapa nota tulisan tangan dalam rumi dan Mandarin.

Pada inkues sebelum ini Ahmad Nazri mendedahkan bahawa ada di antara tulisan tangan itu mengandungi tulisan Teoh yang tercatat 'selamat tinggal'.

Pada awal prosiding, pegawai penyiasat itu memberitahu bahawa kakitangan di pejabat SPRM enggan memberi kerjasama dengan hanya berdiam diri ketika disoal pada hari kejadian (16 Julai 2009) manakala kebanyakan pegawai lelaki telah diarahkan ke Putrajaya.

"Ada pegawai SPRM tetapi tidak pasti dengan jumlah bilangan dalam pejabat itu. Tiada yang ke tempat itu (di tepi tingkap yang dipercayai digunakan mangsa)."

Dalam prosiding hari ini juga, Hakim Foong memberitahu bahawa suruhanjaya menolak permohonan Majlis Peguam dan SPRM untuk menempatkan dua pakar psikiatri ketika perbicaraan tetapi membenarkan pakar tersebut menemu bual saksi dalam sesi berasingan dan hasil laporannya diserahkan kepada suruhanjaya.

Suruhanjaya juga memutuskan meneruskan penayangan prosiding secara langsung di luar mahkamah.

Prosiding disambung esok. — Bernama

 

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan