Utusan Online - Mahkamah |
Tiga dibebas tuduhan miliki penerbitan agama diharamkan Posted: Tiga dibebas tuduhan miliki penerbitan agama diharamkanBALIK PULAU 24 Feb. - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga lelaki dipercayai pengikut pertubuhan haram al-Arqam termasuk seorang pensyarah kanan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada tuduhan memiliki penerbitan agama yang diharamkan, empat tahun lalu. Hakim Syarie Zaini Abdul Rahim memerintahkan tertuduh, Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 42, yang merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) serta dua rakannya Rosli Yusof, 61, dan Asmadi Sulaiman, 45, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka. Zaini bagaimanapun memerintahkan seorang wanita, Roslina Sulaiman, 42, yang juga dipercayai pengikut pertubuhan itu membela diri atas tuduhan tersebut. Beliau menetapkan 21 April depan untuk mendengar keterangan Roslina yang memakai baju kurung merah serta bertudung hitam ketika menghadiri prosiding itu. Zaini turut memerintahkan ikat jamin antara RM1,500 dan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap Ahmad Fauzi, Rosli dan Asmadi dilanjutkan sehingga tamat proses rayuan yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam tempoh terdekat. Terdahulu, Zaini dalam penghakimannya berkata, wujud kelemahan dalam siasatan kes tersebut sehingga menyebabkan pihak pendakwaan berhadapan tugas berat dalam proses mendakwa kesemua tertuduh. Jelas beliau, elemen pemilikan seperti yang didakwa kepada tertuduh harus dibuktikan berdasarkan tiga keadaan iaitu mereka mesti mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan ke atas barang tersebut. ''Sedangkan elemen itu gagal dibuktikan terhadap mereka bertiga. Ahmad Fauzi dituduh memiliki cakera (disket) yang mengandungi aktiviti kumpulan itu. Meskipun beberapa artikel daripada disket dikemukakan namun ia tidak dipamerkan dalam prosiding ini untuk pemeriksaan. ''Begitu juga dengan Rosli yang didakwa memiliki buku Zikir Agung dan Asmadi yang memiliki buku, potret dan sajak berkaitan Ashaari. Mereka tidak disahkan sebagai pemilik asal kepada barang-barang tersebut. "Ini secara terang telah menyebabkan wujud kelemahan yang memberi kelebihan kepada tertuduh,'' katanya sambil memandang ke arah mereka bertiga yang berdiri di luar kandang tertuduh. Namun begitu Zaini berkata, pendakwaan telah berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen pemilikan dalam kes terhadap Roslina. Mengikut pertuduhan, Roslina dan Rosli didakwa kerana memiliki buku Zikir Agung; Ahmad Fauzi kerana memiliki cakera mengandungi aktiviti kumpulan itu, manakala Asmadi memiliki buku, potret dan sajak berkaitan Ashaari. Mereka didakwa melakukannya pada 1 November 2007 pada pukul 10.15 malam di sebuah rumah No. 15, Lintang Sungai Ara 1, Taman Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini. Mereka didakwa mengikut Seksyen 13(1)(a) kerana memiliki penerbitan agama yang diharamkan dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Mohammad Zulkhairi Aziz manakala semua tertuduh diwakili peguam syarie, Rosdee Abdul Razak. |
Imej Anwar, Saiful dirakam CCTV Posted: Imej Anwar, Saiful dirakam CCTVOleh SUWARNI MOKHTAR dan AMIRUDDIN HARUN KUALA LUMPUR 24 Feb. - Sebanyak tujuh buah kenderaan dilihat memasuki dan keluar dari kawasan kondominium mewah di Bukit Damansara antara pukul 12 tengah hari dan lima petang, 26 Jun 2008. Beberapa individu yang menaiki kenderaan tersebut turut dikenal pasti oleh saksi pendakwa kelapan, Asisten Supritendan (ASP) Fauziah Che Mat, 47, menuju ke tingkat lima bangunan itu. Kehadiran mereka dilihat melalui visual rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan ketika pegawai penganalisis audio video dari Maktab Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras itu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Salah satu imej lelaki yang dilihat memegang beg berwarna gelap dan beg plastik putih dalam rakaman tersebut kelihatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rakaman berkenaan turut memaparkan visual kenderaan yang dipandu oleh pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan kelibat pemuda itu keluar masuk lif di kondominium tersebut. Kecuali Mohd. Saiful Bukhari yang mengesahkan kehadirannya ke kondominium itu dalam keterangannya sebelum ini, identiti sebenar individu-individu lain masih belum dijelaskan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu. Anwar, 64, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pada 5 Februari tahun lalu, mangsa yang juga saksi utama kes itu dalam keterangannya menyatakan, dia telah pergi ke tempat kejadian menaiki sebuah kereta Fiat warna merah dengan nombor pendaftaran WPK 5925. Mohd. Saiful Bukhari turut memaklumkan setibanya dia di pintu utama kondominium tersebut kira-kira pukul 2.47 petang, dia telah menyebut 'Mokhtar' kepada pengawal keselamatan sebelum dibenarkan masuk. Dia meninggalkan tempat kejadian kira-kira pukul 4.35 petang. Fauziah dalam keterangannya hari ini memberitahu, beliau menerima permohonan untuk menganalisis rakaman yang terkandung dalam dua pemacu keras daripada pegawai penyiasat, Deputi Supritendan Judy Blacious Pereira (kini Supritendan) pada 3 Julai 2008. Dalam permohonan itu, pegawai polis itu memintanya mengesan imej dua buah kenderaan iaitu MG Rover warna hitam dengan nombor pendaftaran WMK 6 dan sebuah kereta Fiat Ulysse dengan plat WPK 5925 yang tiba di pintu utama Kondominium Seri Damansara pada tarikh yang sama, di antara pukul 12 tengah hari dan 4 petang. Menurut pegawai polis tersebut, beliau turut diminta untuk mencari imej beberapa individu pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Selain itu, Fauziah menyatakan, Judy memintanya untuk mengesan imej beberapa individu yang terlibat dalam kes liwat antara Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dengan bekas pembantu peribadinya di antara penghujung April dan awal Mei 2008. ''Beliau turut minta saya membuat analisis terhadap kesemua imej itu, membuat cetakan dan turutan fail video (video file sequence),'' katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria. Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan peguam bela utama Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Karpal Singh untuk mengetepikan gambar-gambar pemacu keras dan nota berkaitan gambar tersebut kerana ia tidak pernah dibekalkan kepada pihak pembelaan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung esok dengan pihak pembelaan menyoal balas saksi pendakwa keenam, Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan