Utusan Online - Dalam Negeri |
- Bantuan guaman bela rakyat
- Rakyat tidak terpengaruh 'revolusi' di Asia Barat
- Tarikh mula pengajian 12 Mac
Posted: Bantuan guaman bela rakyatOleh HASHNAN ABDULLAH Najib Tun Razak bersama Panel Penilaian Operasi, Perundingan dan Pencegahan Rasuah yang baru dilantik di Putrajaya, semalam. Turut hadir Abu Kassim Mohamed (enam dari kanan). – BERNAMA PUTRAJAYA 25 Feb. – Perdana Menteri hari ini melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang diwujudkan untuk menyediakan bantuan guaman dan khidmat nasihat kepada semua warganegara tempatan berpendapatan bawah RM25,000 setahun. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif kerajaan bersama Majlis Peguam itu penting dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang yang menghadapi masalah perundangan. Beliau berkata, ia juga sejajar dengan apa yang dimaklumkan bahawa lebih kurang 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam kerana tidak berkemampuan untuk membayar yuran yang tinggi. "Keadilan merupakan prasyarat kepada negara dan rakyat yang maju dan berjaya," katanya ketika berucap melancarkan yayasan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, Abdul Gani dan Ragunath. Yayasan itu mengandungi 12 anggota lembaga pengarah dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath menjadi Timbalan Pengerusi. YBGK akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah dengan caj bayaran yang minimum. Yayasan itu bukanlah sebuah agensi kerajaan tetapi ia merupakan entiti berbentuk syarikat khairat yang bebas dan neutral dalam melaksanakan tugasnya. Firma guaman Tetuan Shearn Delamore & Co telah bersetuju untuk berperanan sebagai setiausaha syarikat secara percuma kepada YBGK. Najib memberitahu, sebagai tanda sokongan padu dalam menegakkan keadilan, kerajaan bersetuju untuk memberi geran pelancaran sebanyak RM5 juta kepada yayasan tersebut. "Saya ingin menyatakan di sini, peruntukan kewangan tidak seharusnya menjadi kekangan untuk mendapatkan keadilan. Justeru, jika tidak mencukupi, kita akan berusaha untuk mencari sumber kewangan tambahan. "Penubuhan yayasan tersebut bukanlah bermakna kerajaan hendak membela golongan penjenayah tetapi bagi memastikan semua OKT dapat menjalani perbicaraan di mahkamah dengan penuh keadilan dan ketelusan," katanya. Mengulas lanjut berhubung yayasan itu, Perdana Menteri berkata, peguam-peguam yang menjadi panel YBGK akan memberi perkhidmatan dengan bayaran yang minimum. "Bagaimanapun, bantuan tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati kerana Mahkamah Tinggi akan melantik peguam untuk mewakili tertuduh yang tidak mempunyai peguam," katanya. Mengenai kerjasama antara YBGK dan agensi penguatkuasaan yang termeterai menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dan disaksikan beliau, Najib berkata, langkah itu bagi memastikan keberkesanan YBGK. "Apabila seseorang ditangkap atas kesalahan jenayah, adalah menjadi tanggungjawab pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi penguatkuasaan lain untuk menghubungi peguam panel YBGK melainkan jika orang yang ditangkap itu hendak mengupah peguamnya sendiri," katanya. |
Rakyat tidak terpengaruh 'revolusi' di Asia Barat Posted: Rakyat tidak terpengaruh 'revolusi' di Asia BaratKUALA LUMPUR 25 Feb. - Sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat dan mereka tidak terpengaruh dengan revolusi yang melanda Asia Barat sehingga mengancam beberapa buah kerajaan di rantau itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan dan keyakinan itu terbukti apabila undi majoriti yang diterima BN semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini meningkat hampir 50 peratus berbanding pada 2008. Meskipun begitu Najib berkata, BN tidak memandang ringan mengenai cabaran politik sebaliknya akan terus mengekalkan sikap proaktif bagi memastikan jentera parti di semua peringkat diperkemaskan dan pada masa sama beliau mahu lebih banyak kelemahan diatasi. "Kerajaan mengambil kira perkembangan semasa di dalam dan luar negara. Pada umumnya kita ambil maklum bahawa keadaan semasa semakin menjurus kepada keyakinan rakyat yang semakin bertambah kepada kerajaan dan BN," katanya. Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Hadir sama, timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil iktibar terhadap revolusi yang berlaku di Asia Barat dengan memandang serius suara orang muda kerana sedar golongan tersebut mempunyai tenaga untuk menggulingkan sesebuah kerajaan. Katanya, apa yang berlaku di Asia Barat adalah manifestasi tidak puas hati golongan muda apabila masalah fundamental seperti tiada peluang pekerjaan, tiada prospek masa depan, tiada pembangunan dan pembaharuan serta saluran untuk menyuarakan kehendak tidak disediakan kerajaan. Bagaimanapun, tegasnya, keadaan di rantau itu tidak sama dengan Malaysia apabila kerajaan BN melakukan perubahan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan ia terbukti apabila ekonomi negara bagi 2010 tumbuh pada kadar 7.2 peratus. Mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau dan Merlimau, Najib yakin pola sokongan pengundi terhadap BN akan semakin meningkat kerana parti itu telah melakukan persiapan rapi untuk memenangi hati dan fikiran rakyat di kedua-dua kawasan itu. "Segala persiapan menghadapi pilihan raya kecil telah dilakukan dan setiap badan perhubungan negeri termasuk sayap-sayap UMNO sudah memberi komitmen untuk turun membantu calon BN mencapai kejayaan yang lebih besar. "Jentera kita juga lancar dan tiada banyak masalah dalaman. Jika ada pada peringkat awal pun, ia sudah diselesaikan dan dengan ini kita akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja untuk memenangi hati serta fikiran pengundi di kedua-dua kawasan tersebut," katanya. |
Posted: Tarikh mula pengajian 12 MacOleh MUZDALIFAH MUSTAPHA KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Mesir hari ini menetapkan tarikh kemasukan semula para penuntut Malaysia ke universiti-universiti di negara itu adalah bermula 12 Mac ini sehingga 8 April depan. Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, Universiti Kaherah merupakan antara universiti terawal menerima kemasukan semula penuntut khususnya bagi kursus perubatan apabila akan memulakan pengajian pada 12 Mac ini. Menurutnya, turut memulakan pengajian pada tarikh yang sama ialah penuntut perempuan bagi kursus pergigian pradental. "Penetapan tarikh tersebut dicapai selepas pasukan kementerian yang dianggotai wakil akademik, wakil kebajikan pelajar dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara mengadakan perbincangan dengan kerajaan Mesir sejak 19 Februari lalu sehingga semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mohamed Khaled seterusnya memaklumkan, bagi universiti yang akan memulakan pengajian pada 15 Mac 2011 pula terdiri daripada Universiti Mansurah bagi kursus perubatan tahun empat, lima dan enam dan Universiti Tanta bagi kursus perubatan dan pergigian. Selain itu, kata beliau, Universiti Zagazig bagi kursus perubatan dan farmasi, Universiti Ain Shams bagi kursus perubatan dan Universiti Al-Azhar bagi kursus perubatan dan pergigian. Sementara itu, katanya, universiti yang akan memulakan pengajian pada 17 Mac depan pula hanya penuntut farmasi tahun satu dan dua iaitu dari Universiti Iskandariah. Menurut beliau, universiti yang akan memulakan pengajian pada 19 Mac pula ialah Universiti Iskandariah bagi kursus perubatan tahun empat, lima dan enam, Universiti Mansurah untuk kursus perubatan tahun satu, dua dan tiga serta Universiti Mansurah bagi kursus pergigian dan farmasi. "Bagi penuntut perubatan tahun satu, dua dan tiga dari Universiti Iskandariah pula, mereka akan memulakan pengajian pada 26 Mac manakala penuntut pergigian tahun satu dan dua akan memulakan kuliah pada 2 April ini," katanya. Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled memberitahu, penuntut kursus pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar untuk semua tahun termasuk matrikulasi dan kelas persediaan bahasa pula diminta mendaftar semula selewat-lewatnya pada 8 April 2011. Beliau, bagaimanapun berkata, penuntut masih diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai tahap keselamatan di Mesir bagi membolehkan mereka kembali ke negara itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan