Berita Harian: Nasional |
21 bayi di Baby Hatch sejak Mei Posted: 25 Feb 2011 02:05 PM PST Nasional PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan CARE) menerima 21 bayi yang dibuang dengan purata penerimaan tiga bayi sebulan sejak penubuhan Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) pada Mei tahun lalu. Berdasarkan angka berkenaan, 20 daripadanya sudah diberikan kepada keluarga angkat masing-masing yang datang daripada pelbagai latar belakang sosial dan agama, manakala seorang lagi bayi masih menunggu untuk diserahkan kepada keluarga angkat selepas urusan dokumen pengambilan anak angkat selesai. Setiausaha Kerja Orphan CARE, Azra Banu, berkata sehingga kini, hanya dua kes membabitkan bayi diletakkan secara sembunyi ke dalam Baby Hatch manakala, 19 bayi lain diserahkan sendiri oleh ibu kandung mahupun ahli keluarga wanita yang melahirkan anak berkenaan."Kebanyakan ibu muda yang ingin menyerahkan anak mereka lebih yakin sekiranya dapat bersemuka dengan pihak pengurusan bagi memastikan anak mereka dijaga dan diberi kepada pihak berwajib. Malah ada juga ibu mengandung yang berjumpa kami untuk menawarkan anak mereka selepas dilahirkan kelak. "Berdasarkan bilangan bayi sedia ada yang diterima di Baby Hatch, 13 daripadanya adalah rakyat tempatan dengan 12 bayi berketurunan Melayu, satu berketurunan India, manakala lain-lain, Filipina (tiga), Indonesia (dua) dan Nigeria (satu)," katanya kepada Berita Harian, semalam. Baby Hatch yang julung kali diperkenalkan pada 29 Mei tahun lalu menerima bayi lelaki pertama pada 26 Jun lalu. Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram dilahirkan sehari sebelum itu dan sudah diserahkan kepada keluarga angkat selepas 11 hari dijaga.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai menyalurkan cadangan mahupun sumbangan bagi merealisasikan lebih banyak penubuhan Baby Hatch di kawasan masing-masing. "Orang ramai boleh melayari www.orphancare.org.my untuk berkongsi idea, maklumat dan cadangan bernas bagi memperkasakan penubuhan Baby Hatch di seluruh negara. "Mengenai maklumat peribadi ibu bapa bayi yang diserahkan, semua maklumat adalah rahsia. Bagaimanapun, ibu bapa kandung bayi berkenaan masih dibenarkan mengikuti perkembangan anak mereka dari semasa ke semasa melalui Orphan CARE," katanya. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
Bank Negara naik premium insurans kenderaan Posted: 25 Feb 2011 02:04 PM PST Nasional KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia akan menaikkan premium insurans kenderaan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun mulai tahun depan pada kadar minimum yang tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.Penolong Gabenornya, Abu Hassan Alshari, berkata ia antara langkah yang akan dilaksanakan menerusi cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran dengan matlamat memudahkan pengguna kenderaan mendapatkan perlindungan serta meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans. "Kadar kenaikan premium itu masih belum dimuktamadkan, bagaimanapun ia tidak akan membebankan pengguna selepas mengambil kira maklum balas dan input pelbagai pemegang kepentingan," katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran di sini, semalam. Hadir sama Pengarah Jabatan Kewangan Sektor Kewangannya, Abdul Rasheed Ghafur.Abu Hassan berkata, sebagai contoh, bagi perlindungan pihak ketiga motosikal 100cc dan ke bawah, cadangan kenaikan adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun dan RM1 hingga RM2 untuk perlindungan komprehensif. Untuk perlindungan pihak ketiga kereta persendirian 1,400cc, kenaikan adalah antara RM6 hingga RM34 setahun untuk empat tahun dan RM7 hingga RM19 untuk perlindungan komprehensif. Abu Hassan berkata, pihaknya sudah pun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemegang kepentingan serta pandangan majlis ekonomi mengenai perkara berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan