Selasa, 22 Februari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Aksi pelayang di tengah padang

Posted:

Aksi pelayang di tengah padang

Aksi pelayang di tengah padang

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my



"MEWARNAI langit. Begitulah indah dan asyiknya suasana di langit di Bukit Layang-Layang, Taman Bandar, Pasir Gudang, Johor Bahru baru-baru ini.

Pelbagai bentuk dan corak layang-layang daripada saiz kecil hingga gergasi dilihat berterbangan bebas memberikan satu permandangan yang indah dan menenangkan jiwa peminatnya.

Tambahan pula, layang-layang tersebut bukan sahaja direka oleh pereka tempatan yang berbakat dan berkemahiran tinggi malah pelayang-pelayang asing tidak kalah dengan kreativiti dan kemahiran mereka.

Tidak cukup dengan layang-layang bersaiz gergasi, ribuan pengunjung pasti terpesona dengan kemahiran peserta bermain layang-layang stunt kite yang kelihatan melentuk-lentuk mengikut alunan tangan pelayang selain mengeluarkan bunyi yang mengasyikkan.

Suasana meriah tersebut merupakan sebahagian aktiviti yang dapat dilihat sepanjang penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-16 yang berlangsung selama lima hari bermula sejak 16 Februari lalu.

Festival berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang diberi penjenamaan semula bermula tahun ini. Program itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Pelancongan negeri Johor dan Persatuan Pelayang Johor dan dimasukkan dalam Kalendar Rasmi Pelancongan Negeri Johor selain diiktiraf sebagai acara tahunan terbesar di dunia yang disertai oleh pelayang tempatan dan antarabangsa.

Dengan tema 'Mewarnai Langit' yang membawa maksud festival yang memaparkan sukan dan budaya permainan layang-layang merupakan aktiviti pelancongan, rekreasi dan riadah yang memberikan keceriaan melalui warna-warni dan pelbagai bentuk layang-layang menghiasi langit.


RIBUAN pengunjung terpesona dengan kemahiran peserta bermain layang-layang.


Pengerusi festival, A. Rahim Nin berkata, sejumlah 221 pelayang antarabangsa dari 30 buah negara mengesahkan penyertaan mereka. Antaranya Australia, New Zealand, Jepun, Perancis, Jerman, China, Amerika Syarikat (AS), England, Korea Selatan dan negara-negara ASEAN.

"Antara negara yang menghantar peserta teramai termasuklah Indonesia iaitu 51 peserta diikuti China (31), Thailand (18) dan Jepun (17).

"Selain itu, seramai 707 peserta tempatan yang membabitkan 139 pasukan daripada tiga kategori iaitu peringkat kebangsaan, sekolah dan korporat turut memeriahkan festival ini," katanya yang juga merupakan Yang Dipertua MPPG.

Bengkel layang-layang

Setiap tahun, festival itu menarik kedatangan lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Beberapa acara diatur sepanjang festival itu termasuk pertandingan layang-layang peringkat antarabangsa, kebangsaan dan sekolah, pertandingan Malay Kite, pertandingan layang-layang rokkaku, bengkel membuat wau tradisi kebangsaan dan pelbagai acara menarik lain.

Austria, katanya, adalah hos untuk peserta antarabangsa juga tidak ketinggalan memeriahkan acara dengan menganjurkan bengkel layang-layang terbuka kepada orang awam selain bengkel-bengkel yang dikendalikan peserta antarabangsa seperti Jepun, Indonesia, India dan peserta tempatan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut mencemar duli merasmikan festival tersebut sekali gus menambahkan kemeriahan tahun ini.


SULTAN Ibrahim (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada peserta dari luar negara sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (kanan) pada majlis perasmian Festival Layang-Layang Sedunia di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.


Dalam pada itu, pelayang-pelayang luar turut menyatakan kekaguman dengan keunikan festival layang-layang berkenaan yang disifatkan bertaraf dunia dan satu acara yang tidak boleh dilepaskan bagi peminat-peminatnya.

Peserta dari Britain, George Webster, 75, berkata, dia tertarik melihat reka bentuk layang-layang tempatan yang unik. Ada yang berbentuk ketupat, petai dan bermotifkan haiwan seperti harimau, burung helang serta sotong.

Menurutnya, keistimewaan dan kelainan tersebut membuatkan festival tersebut begitu istimewa di mata pelayang luar negara.

"Ini menunjukkan kreativiti pelayang tempatan amat tinggi, kita tidak pernah terfikir motif sedemikian boleh dijadikan layang-layang malah dalam bentuk layang-layang gergasi.

"Pada masa yang sama, pelayang dari Eropah seperti kami mendapat satu pengalaman baru dalam festival ini selain dapat berkongsi buah fikiran sekali gus meningkatkan lagi kemahiran mencipta layang-layang," katanya.

Webster berkata, selain layang-layang dan wau tempatan, peserta luar juga dapat melihat layang-layang dari Jepun, Korea, Kemboja dan Thailand yang turut mempunyai keunikan.

Rakan senegaranya, Malcolm Goodman, 66, berkata, hasil penyertaan di festival layang-layang di seluruh dunia dapat membuka mindanya terhadap keunikan layang-layang negara asing.

Cerita dan pengalaman

Buktinya, pada tahun ini dia yang meminati layang-layang Jepun mengambil pendekatan menggunakan motif samurai dan naga untuk layang-layang rekaannya.


FESTIVAL Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang diangkat sebagai acara bertaraf dunia.


Menurutnya, motif dari negara matahari terbit itu amat disukainya kerana dia meminati kisah samurai dan mitos naga selain mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Saya ambil masa yang lama untuk mencorakkan layang-layang dengan motif ini dan ia memerlukan kira-kira 30 minit untuk memasang seluruh bahagiannya," katanya.

Warga emas itu mengakui faktor usia tidak pernah menghalangnya untuk terus meminati permainan layang-layang termasuk menyertai festival tersebut.

Yoon Kim, 57, dari Korea, yang telah empat kali menyertai festival itu berkata, dapat berkongsi minat dengan rakan dari negara lain adalah satu pengalaman paling bermakna yang sukar untuk dilepaskan.

Menurutnya, semua peserta mempunyai cerita dan pengalaman masing-masing kerana kebanyakan mereka pernah menyertai festival seumpama itu di negara lain.

Peserta tempatan, Mohd. Hamzah Jumat, 59, pula berkongsi minat dengan ahli keluarganya yang datang ke festival itu bagi menyaksikan beraneka jenis layang-layang.

Mohd. Hamzah yang berasal dari Permas Jaya berkata, permainan itu membuatkannya merasa tenang sekali gus melupakan segala masalah atau kerja hariannya.

Dia yang merupakan pengurus di sebuah syarikat di Johor memberitahu, dia mempunyai lebih 30 koleksi layang-layang dengan pelbagai bentuk dan motif.

"Peluang datang ke festival ini sukar dilepaskan kerana pelbagai acara dapat disaksikan selain dapat melihat aksi-aksi pelayang di tengah padang.

"Selain itu, saya dapat berkongsi minat dengan ahli keluarga lain dan mengisi masa luang dengan penuh bermakna," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan