Utusan Online - Kota |
Posted: Risiko pergi sekolahOleh NUR NAZLINA NADZARI
AMPANG 23 Feb. – Jalan sunyi, semak-samun dan terpaksa berkongsi jalan dengan lori dari sebuah projek pembangunan kondominium adalah antara 'cabaran' yang perlu diharungi oleh sekumpulan pelajar untuk ke sekolah setiap hari. Itulah kesan yang perlu diterima oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (1 dan 2) Kuala Ampang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hulu Klang akibat pembangunan yang menghimpit sekolah mereka. Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati, pelajar terbabit menggunakan lorong kecil di belakang SMK Hulu Klang untuk ke sekolah kerana tiada jalan lain yang lebih dekat. Jalan utama di hadapan sekolah itu tidak menjadi pilihan kerana jaraknya yang jauh sedangkan kebanyakan mereka tinggal di perumahan di belakang sekolah itu seperti di Desa Pasifik. Tambahan pula, hampir keseluruhan pelajar tersebut berjalan kaki atau berbasikal, sekali gus jalan yang lebih dekat tentunya menjadi pilihan walaupun mereka sedar risikonya. Selain risiko jenayah seperti culik, rogol, curi dan sebagainya, jalan yang dikongsi dengan lori berat dari projek berhampiran menambahkan lagi risiko pelajar terbabit. Kehadiran ramai pekerja asing di situ sekadar menambah kekhuatiran ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka. Seorang pelajar tingkatan empat, Najihah Mohd. Rafi, 16, berkata, terdapat banyak lori yang menggunakan laluan itu kerana tapak projek tersebut berada betul-betul di belakang sekolah. Katanya, lorong kecil yang dilaluinya itu agak sunyi dan gelap pada waktu awal pagi menyebabkan dia memilih untuk keluar pada pukul 7 pagi kerana hari sudah cerah dan ramai pelajar lain. "Saya tidak pernah melalui lorong ini seorang diri kerana sangat berbahaya. Setiap hari saya akan pergi dan pulang dari sekolah dengan kawan, malah guru juga berpesan supaya tidak berjalan berseorangan. "Sebelum ini, ada juga saya dengar berlaku kes pukau dan curi di kawasan ini dan itu amat menakutkan pelajar," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Sementara itu, seorang lagi pelajar M. Gugan, 14, berkata, lorong yang mereka lalui itu tidak begitu selamat dan selesa kerana bersemak-samun dan berlumpur jika hujan. "Kalau tidak hujan, lorong ini boleh dilalui tetapi kalau hujan, jalan akan becak dan licin menyebabkan kasut sekolah kotor. "Lori juga banyak yang lalu di sini dan keadaan itu boleh membahayakan kami terutama murid sekolah rendah kerana mereka masih kecil dan pemandu susah nampak mereka," jelasnya. Pelajar tingkatan satu, Nur Ezni Suhaimi, 13, berkata, dia tinggal di Desa Pasifik dan jalan itu adalah yang paling dekat untuk sampai ke rumahnya. "Memang bahaya kalau lalu jalan ini seorang diri, bukan sahaja takut berlaku kes jenayah tetapi juga takut juga kalau ada binatang berbisa seperti ular dari semak berhampiran," ujarnya. Sementara itu, Pengetua SMK Hulu Klang, Rihan Mohd. Salleh berkata, pihaknya merancang untuk membina jalan yang lebih selesa tidak lama lagi. "Kami akan menggunakan dana daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membina jalan tersebut untuk memudahkan pelajar berulang-alik. "Saya akui jalan yang digunakan sekarang memang berisiko tetapi kami juga tidak mahu bersifat kejam dengan mereka dengan menutup pagar itu dan membiarkan mereka pulang menggunakan jalan jauh," jelasnya. Beliau berkata, langkah keselamatan yang diambil sekolah adalah dengan menyedia pengawal keselamatan untuk menjaga jalan itu pada waktu pagi dan waktu pulang dari sekolah. Tambahnya, pihak sekolah juga selalu berpesan kepada pelajar semasa perhimpunan pagi supaya tidak berjalan berseorangan semasa pergi dan balik dari sekolah. | ||
Melayu usah takut pertahan hak Posted: Melayu usah takut pertahan hakOleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Orang Melayu perlu berani mempertahankan hak mereka seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan negara. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, untuk itu, orang Melayu seharusnya memperkukuhkan perpaduan agar menjadi bangsa yang kuat untuk menangkis sebarang cubaan melemahkan jati diri mereka. ''Sekarang ini, kalau kita lihat, orang Melayu agak 'segan' atau tidak berani untuk menyuarakan dan mempertahankan hak sendiri. ''Kita perlu berani pertahankan agama, raja, keadilan sosial, budaya, bahasa dan segala keistimewaan kita. ''Jangan rasa takut. Meski kaum- kaum lain turut diberikan jaminan, tetapi kita ada hak-hak keistimewaan. Ini perlu dijaga dengan baik," katanya. Beliau berucap merasmikan Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Cheras di Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, dekat sini malam ini. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee. Mengulas lanjut, Rais memberitahu, apa yang dikecapi orang Melayu ketika ini tidak akan mampu dipertahankan jika mereka sendiri berada di dalam situasi lemah. ''Kalau kita lemah, bagaimana hendak pertahankan hak? Untuk itu, kita di dalam UMNO perlu perkukuhkan juga parti yang menjadi pendokong kepada bangsa," tegas beliau. Dalam perkembangan lain, beliau turut menyelar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak memburuk-burukkan nama negara termasuk keaslian batik tempatan di luar negara. ''Kalau Anwar hendakkan kuasa sangat, carilah cara lain. Bukannya dengan cara memburuk-burukkan negara. Pergi ke Indonesia, kutuk batik kita dan perlekeh kerajaan. ''Beliau tak ubah seperti 'cicak' yang mampu mengubah warna kulitnya mengikut keadaan. Beginikah hendak jadi pemimpin?," soalnya. | ||
Media di Internet banyak bohong Posted: Media di Internet banyak bohong
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kebanyakan media Internet kini dipenuhi dengan pembohongan ekoran kebebasan yang tidak terkawal. Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin kesal dengan fenomena tersebut yang menghakis kedominan akhbar arus perdana dan menyebabkan generasi kini hanyut dalam penjajahan minda oleh media tersebut. "Di Barat, mereka momokkan semua orang dengan kejatuhan media cetak. Hakikatnya media cetak masih kukuh sebagai pemangkin pembangunan negara," katanya ketika berucap pada program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di sini hari ini. Program anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bertujuan melengkapkan wartawan dengan kemahiran mencari dan mengolah berita, mengumpul maklumat, menyediakan laporan berita dan rencana. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, Ahli Dewan Negara selaku moderator kursus, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan bekas Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia, Datuk Rosnah Majid. Jelas Zainuddin, akhbar di negara ini mempunyai masa depan yang cerah kerana majoriti rakyat masih bergantung kepada kesahihan berita arus perdana kerana kredibilitinya. Beliau yang juga Tokoh Wartawan 2006 menyarankan para wartawan muda supaya lebih kental berhadapan dengan cabaran. Ujarnya, pengamal media di negara ini terutamanya wartawan perlu melengkapkan diri dengan ketahanan fizikal dan mental dalam menjalankan tugas sebagai orang tengah di antara kerajaan dan rakyat. "Seorang wartawan secara lumrahnya perlu menjadi pemerhati dan pendengar yang baik dalam menyampaikan fakta-fakta mereka dengan tepat dan beretika," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan