Khamis, 24 Februari 2011

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


5 pengawal keselamatan UPM cedera

Posted:

5 pengawal keselamatan UPM cedera

5 pengawal keselamatan UPM cedera

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Lima pengawal keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) disahkan mengalami kecederaan termasuk seorang terpaksa menerima 16 jahitan di tangan semasa cuba menghalang sekumpulan pelajar promahasiswa memasuki pejabat pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kelima-lima pengawal keselamatan itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan setelah cedera terkena cermin kaca yang pecah dirempuh kumpulan pelajar berkenaan.

Beliau berkata, dua daripada mereka mendapat luka di tangan kanan menyebabkan masing-masing terpaksa menerima 16 dan enam jahitan.

"Tiga lagi rakan mereka mengalami kecederaan ringan iaitu luka kecil di tangan dan kaki.

"Kelima-lima mangsa berusia antara 32 hingga 35 tahun bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital selepas mendapatkan rawatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Semalam, kekecohan berlaku di UPM apabila sekumpulan 200 pelajar promahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan HEP membatalkan kemenangan 11 calon.

Kumpulan pelajar itu dianggotai gabungan pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UPM.

Mereka mula berkumpul seawal 10.30 malam kelmarin bertujuan meminta penjelasan Timbalan Naib Canselor HEP UPM mengenai pembatalan kemenangan calon terbabit.

Namun, keadaan menjadi tidak terkawal pada pukul 3 petang semalam, apabila pengawal keselamatan dan kakitangan HEP cuba menghalang mereka memasuki pejabat pentadbiran sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan mahasiswa tersebut.

Menurut Abd. Razak, setakat ini, dua laporan diterima mengenai kejadian tersebut iaitu dibuat oleh pihak pentadbiran UPM dan pengawal keselamatan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian serta video yang diambil oleh polis dan pelajar, pihaknya sudah mengenal pasti lebih lima pelajar yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu.

"Kita sudah meneliti rakaman CCTV di tempat kejadian, rakaman video diambil polis dan pelajar yang dimuat turun dalam laman sosial Facebook untuk membantu siasatan.

"Lebih lima pelajar dikenal pasti terlibat mencetuskan kekecohan itu dan mereka akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Abd. Razak turut meminta kedua-dua pihak terlibat dalam masalah ini agar mencari penyelesaian dengan cara berkhemah dan bijaksana bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pertemuan antara kumpulan pelajar promahasiswa dan Naib Canselor HEP UPM yang sepatutnya diadakan hari ini bagi membincangkan isu tersebut, telah ditunda kepada esok.

"Di sini, pihak polis ingin menasihatkan mereka yang terlibat supaya mengawal diri, tidak bertindak agresif dan mengambil tindakan di luar undang-undang.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika mahasiswa terbabit melanggar undang-undang kerana menjadi tanggungjawab polis mengawal keselamatan termasuk dalam kawasan universiti," ujarnya.

Selain itu, beliau turut memberi amaran kepada pihak luar supaya jangan cuba mengambil kesempatan memanipulasikan isu tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bayi dipercayai mangsa sindiket jual manusia diselamatkan

Posted:

Bayi dipercayai mangsa sindiket jual manusia diselamatkan

Bayi dipercayai mangsa sindiket jual manusia diselamatkan


Mohamad Zarir Mohamad Khozali melihat bayi perempuan yang diselamatkan selepas ditemui oleh polis pada sidang akhbar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 24 Feb. - Polis berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam satu operasi di sebuah rumah di Alma dekat sini, bulan lalu.

Dalam operasi pada 24 Januari lalu, bayi berkenaan ditemui dalam jagaan sepasang suami isteri berusia 50 dan 60 tahun yang dipercayai mendapatkan bayi itu melalui khidmat satu sindiket penjualan bayi.

Ekoran itu, polis menahan seorang lelaki dan perempuan berusia lingkungan 30-an yang disyaki menjadi orang tengah menyerahkan bayi itu kepada pasangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd. Lah memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007.

Katanya, ketika operasi tersebut, pasangan berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau sijil kelahiran bayi tersebut.

"Kita telah menahan dua orang iaitu seorang lelaki dan perempuan yang dipercayai menjadi orang perantara dan menyerahkan bayi berkenaan kepada pasangan tersebut," katanya di sini hari ini.

Azman memberitahu, kertas siasatan kes berkenaan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya tetapi pendakwaan tidak dapat dilakukan setakat ini kerana belum ada bukti atau transaksi wang tunai dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, polis sedia membuka semula kertas siasatan sekiranya wujud bukti baru dalam kes berkenaan dan bayi berkenaan kini ditempatkan dalam jagaan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM SPT, Mohamad Zarir Mohamad Khozali pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu atau waris bayi berkenaan.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima bayi berkenaan daripada pihak polis pada 18 Februari lalu untuk jagaan sementara mengikut Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001 sebelum ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, dekat sini.

"Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya menunjukkan bayi tersebut sihat dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan daripada semasa ke semasa," jelasnya.

Mohamad Zarir berkata, bayi tersebut mempunyai tanda kelahiran di sebelah tangan kiri dan pihaknya dimaklumkan bayi tersebut dipercayai dilahirkan wanita warga Indonesia.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin mengajukan pertanyaan mengenai bayi berkenaan boleh menghubungi Pegawai JKM SPT di talian 04-5382584, 04-5385705, 04-5385707 atau 04-538-5709.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan