Selasa, 22 Februari 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Tiga sindiket jenayah tumpas

Posted:

Tiga sindiket jenayah tumpas

Tiga sindiket jenayah tumpas

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS dan ARDYHANSAH AMAT
jenayah@utusan.com.my


Ayob Yaakob (dua kiri) menunjukkan cara dadah jenis syabu seberat 6.2 kg yang disorok di dalam bagasi milik dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada sidang media, semalam.


PULAU PINANG 21 Feb. - Kegiatan pengedaran dadah membabitkan warga Iran sekali lagi berjaya dibanteras Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila tiga rakyat negara itu termasuk dua wanita ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai RM2.65 juta di sini dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam kejayaan pertama, Polis Pulau Pinang merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.55 juta selepas menahan dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Sabtu lalu.

Kedua-dua wanita itu yang berusia 21 dan 24 tahun baru tiba di negeri ini dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu selepas transit di Singapura pada pukul 8.10 malam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayob Yaakob berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri sebaik sahaja tiba di lapangan terbang kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

"Setelah diperiksa, polis menemui dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram disimpan dalam dua bungkusan plastik lutsinar yang disembunyikan di dalam dua bagasi pakaian mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Ayub, wanita berkenaan pernah memasuki negara ini dua kali iaitu pada Disember dan Januari lalu.

"Polis juga sedang menyiasat sama ada mereka pernah membawa dadah ketika memasuki negara dua kali sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, pada Khamis lalu, Polis Kuala Lumpur menahan seorang lelaki warga Iran dan seorang wanita rakyat Moldova serta merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.1 juta di Hotel Mewah, Jalan Ampang di ibu negara.

Suspek lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 25 tahun itu diberkas dalam satu serbuan di hotel berkenaan kira-kira pukul 5 petang.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

"Polis turut merampas enam bungkusan besar plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat enam kilogram, wang tunai AS$4,500 (RM13,671.90), Riyal 137,000 (RM40.40) dan RM70 selain tiga telefon bimbit pelbagai jenis.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari dari 18 hingga 24 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang, sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Zulkifli, kejayaan itu diperoleh selepas pihaknya menahan seorang wanita warga Afrika berusia 22 tahun dalam keadaan berbogel di hadapan Restoran Jumbo Cheras, 7 Februari lalu.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasilnya menemui 65 kapsul syabu seberat 927 gram bernilai RM180,000 di dalam perutnya.

"Kesemua dadah itu berjaya dikeluarkan melalui saluran najis. Suspek kini direman sehingga 28 Februari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti saki baki sindiket yang terlibat serta punca bekalan dadah diperoleh," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sarjana perlu penghasilan terbaik

Posted:

Sarjana perlu penghasilan terbaik

Sarjana perlu penghasilan terbaik

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para sarjana politik Islam mengemukakan model terbaik sebuah negara Islam yang bukan sahaja demokratik tetapi stabil dan makmur.

Timbalan Perdana Menteri menambah, ini kerana banyak negara Islam hari ini yang bersifat majmuk daripada aspek budaya, agama, bahasa dan etnik.

Katanya, keadaan itu memerlukan para sarjana politik dan jurisprudens Islam mengemukakan jawapan kepada persoalan baru yang barang kali tidak pernah dibahaskan secara mendalam dalam karya-karya klasik politik Islam sebelum ini.

"Ini termasuk soal hubungan antara masyarakat pelbagai agama yang menjadi semakin penting di negara-negara Islam mutakhir ini.

"Keutamaan kita tentulah untuk menjamin keharmonian dalam hubungan antara masyarakat pelbagai agama di samping mempertahankan kesucian Islam," katanya.

Beliau berucap pada majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2010 anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Hadir sama isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang; dan Pemangku Naib Canselor USM, Prof. Ahmad Shukri Mustapha Kamal.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Tesis Doktor Falsafah Terbaik kepada Dr. Munif Zarrirudin Fikri Nordin dari Universiti Malaya (UM) menerusi tesisnya bertajuk Bahasa Kepimpinan Rasulullah SAW-Analisis Wacana Khutbah Ghazawat al-Rasul.

Anugerah Tesis Sarjana Terbaik pula diberikan kepada Radieah Mohd. Nor dari USM menerusi tesisnya yang bertajuk Prinsip-Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam Dalam Mukadimah Ibn Khaldun.

Pemenang tesis Doktor Falsafah dan Sarjana menerima hadiah berupa medal emas, wang tunai dan sijil masing-masing bernilai RM15,000 dan RM10,000.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen menambah, sudah tiba masanya para sarjana Islam dalam pelbagai disiplin ilmu di universiti tempatan mengadakan usaha kolaborasi untuk mengkaji secara mendalam model politik Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang majmuk, makmur dan stabil.

Katanya, ini termasuk mencari formula asas yang mendatari kelangsungan sistem politik demokrasi negara ini yang menerima Islam sebagai agama Persekutuan.

Tambah beliau, persoalan lain yang perlu dilihat ialah bagaimana selama ini masyarakat berbilang agama, budaya dan keturunan dapat hidup secara bersama dan menghormati hak masing- masing.

Menurutnya, persoalannya adalah bagaimana kestabilan politik dipertahankan dalam keadaan masyarakat paling majmuk dan pilihan raya negara ini yang paling kompetitif di rantau ini.

"Saya percaya jawapan kepada persoalan-persoalan ini pastinya akan menemukan formula penting yang menjadi faktor kritikal segala pencapaian kita sebagai sebuah negara Islam yang majmuk dan demokratik.

"Formula inilah yang perlu kita pertahankan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jumpa PM kesempatan paling manis

Posted:

Jumpa PM kesempatan paling manis

Jumpa PM kesempatan paling manis

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Peluang terindah.
Itulah yang boleh dirumuskan daripada pengalaman beberapa rakan dalam talian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpilih menghadiri majlis minum petang bersama beliau semalam.

Malah, mereka juga melahirkan rasa bertuah dan terharu kerana Perdana Menteri sanggup meluangkan masa menganjurkan majlis itu di sebalik kesibukan beliau serta komitmen lain yang lebih penting.

Tenaga pengajar di sebuah institut latihan swasta, Mohd. Hanafi Mahamud, 26, berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menerima jemputan menghadiri majlis bersama-sama Perdana Menteri dan jauh sekali untuk bertemu secara empat mata dengan Najib.

Sambil melahirkan rasa gembira yang tidak dapat digambarkan, Mohd. Hanafi yang menggunakan nama samaran "Penternak Kecil" di laman sosial Facebook menambah, kesempatan pertama kali bertemu dengan Najib itu juga membolehkannya melihat sendiri keikhlasan Perdana Menteri terhadap rakan-rakan dalam talian beliau.

"Saya berharap Perdana Menteri sentiasa tabah dan kuat dalam menjaga keamanan dan ekonomi negara selain dapat menyelesaikan semua masalah dengan baik," katanya kepada Utusan Malaysia menerusi ruangan sembang Facebook di sini hari ini.

Semalam, Najib meraikan lebih 600 rakan dalam talian beliau di Majlis Jamuan Minum Petang Perdana Menteri Bersama Rakan-Rakan Dalam Talian di Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis kali kedua di bawah program Mari Berjumpa, Mari Berhubung itu diadakan selepas kejayaan pertemuan kali pertama pada Mac tahun lalu yang dihadiri lebih 300 orang.

Setakat ini, Najib sudah mempunyai 560,000 rakan dalam laman sosial Facebook dan lebih 80,000 rakan di dalam Twitter.

Sementara itu, eksekutif di sebuah syarikat swasta, Jooven Lee, 33, pula menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang yang merendah diri dan tidak memperlihatkan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang sukar untuk didekati.

Ini kerana, katanya, Perdana Menteri masih sudi meluangkan masa melayan rakan-rakan Facebook untuk menurunkan tandatangan dan bergambar meskipun majlis itu sudah berakhir.

"Ini menunjukkan bahawa beliau benar-benar seorang Perdana Menteri yang mengambil berat perasaan rakyat," katanya yang turut berkongsi kegembiraan kerana terpilih ke majlis tersebut daripada ribuan rakan Facebook Najib.

Perasaan serupa dikongsi oleh seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Peter Meredan, 22, yang menyifatkan kesempatan berbual dengan Perdana Menteri meskipun tidak sampai 20 saat adalah pengalaman yang cukup berharga.

Anak kelahiran Sarawak yang menggunakan nama Jason Peter di Facebook itu menambah, dia juga berasa bangga kerana sepanjang pengetahuannya, Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri di dunia yang menganjurkan majlis khusus untuk rakan-rakan dalam talian.

"Perjalanan dari UMP semalam bagi saya sangat berbaloi dan saya berharap negara di bawah pimpinan Perdana Menteri akan kekal makmur dan harmoni dengan kehadiran rakyat yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Sementara itu, laman sosial Facebook Najib hari ini juga dipenuhi dengan pelbagai komen dan pendapat daripada rakan-rakan dalam talian beliau berhubung majlis yang diadakan petang semalam.

Antara komen yang dominan ialah permintaan rakan-rakan dalam talian Perdana Menteri supaya majlis serupa diadakan dengan lebih kerap dengan jemputan yang lebih ramai.

Malah, rakan-rakan dalam talian beliau di Sabah dan Sarawak juga berharap Perdana Menteri dapat menganjurkan majlis yang serupa di kedua-dua negeri tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan