Utusan Online - Dalam Negeri |
- Mesyuarat Ke-223 Majlis Raja-Raja bermula hari ini
- Rosmah gesa pemimpin wanita ilhamkan inspirasi perubahan
- JPJ, polis, DBKL tempatkan pegawai kompaun
Mesyuarat Ke-223 Majlis Raja-Raja bermula hari ini Posted: Mesyuarat Ke-223 Majlis Raja-Raja bermula hari ini
KUALA LUMPUR, 23 Feb. - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini mempengerusikan Mesyuarat Ke-223 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini. Mesyuarat dihadiri semua Raja kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Baginda semua diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diwakili oleh Ketua Menteri. Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng diiringi wakil Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg. Malam ini, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan meraikan semua Raja dan Yang Dipertua Negeri dalam satu istiadat santapan malam sempena mesyuarat itu yang berakhir esok. Isnin lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim berangkat ke Kuala Lumpur dengan menaiki tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dipandu baginda sendiri untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu. - BERNAMA | ||
Rosmah gesa pemimpin wanita ilhamkan inspirasi perubahan Posted: Rosmah gesa pemimpin wanita ilhamkan inspirasi perubahan
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri berkata, wanita yang memegang jawatan sebagai pemimpin perlu mengilhamkan inspirasi untuk transformasi perubahan dengan mewujudkan nilai baru bagi faedah sosial dan ekonomi. "Wanita kini mempunyai peranan lebih besar dalam membentuk masa depan dunia. Kita patut menggunakan pengaruh, kreativiti dan daya inovatif kita secara bijak dan efektif untuk mengilhamkan inspirasi perubahan," katanya dalam ucaptama pada forum kepimpinan wanita "Women In Leadership Forum Asia" yang diadakan di sini semalam. Rakaman ucaptama Rosmah disiarkan pada forum itu oleh kerana beliau kini berada di Turki mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara itu sejak Isnin. Rosmah berkata, sebagai pemimpin, wanita boleh mengilhamkan inspirasi untuk transformasi yang bermakna dan bermanfaat apabila mereka berpengetahuan dan berkemahiran, mampu memberi respons dengan cepat terhadap kehendak masyarakat, membina rangkaian kerja dan komited dalam mewujudkan dunia yang lebih baik. "Oleh yang demikian, pendidikan merupakan teras paling penting untuk mendapatkan pengaruh dan ditambah dengan pengetahuan dan kemahiran, wanita akan lebih berupaya untuk merumuskan dasar, memperkenalkan inisiatif dan merintis inovasi yang dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi orang lain. "Dalam kebanyakan masyarakat, akses kepada pendidikan untuk budak perempuan dan wanita masih terbatas. Kita perlu memperluaskan akses itu serta menambah baik kualiti pendidikan yang mesti bermula dari peringkat awal kanak-kanak. Dalam masyarakat miskin, ini merupakan satu cabaran besar tetapi di sinilah daya inovatif dan kebijaksanaan kita dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya. Rosmah juga berkata, terdapat keperluan meningkatkan peluang wanita untuk mendapatkan pendidikan tinggi secara holistik dan meningkatkan kemahiran mereka menerusi latihan berterusan dan pendidikan sepanjang hayat. "Secara umumnya, wanita berpendidikan akan membawa pelbagai manfaat kepada keluarga dan masyarakat, yang akan membantu kanak-kanak mendapat pendidikan lebih baik, kesihatan dan pemakanan yang lebih baik," katanya. Rosmah yang juga penaung forum itu berkata, pendekatan wanita dalam pekerjaan dan kehidupan adalah berbeza kerana mereka lebih sensitif terhadap keperluan keluarga dan masyarakat, dengan itu, wanita menggunakan pendekatan lebih holistik terhadap kehidupan dengan menyeimbangkan keperluan kerja, keluarga dan masyarakat. "Kekuatan ini perlu ditingkatkan lagi, dan wanita perlu memberi penekanan dan menggalakkan pendekatan komprehensif ini yang mengutamakan kesejahteraan manusia sebagai teras pembangunan dalam mana-mana masyarakat," katanya. "Untuk wanita melaksanakan peranan ini secara efektif, mereka perlu sentiasa peka dengan kuasa perubahan sedia ada yang baru muncul seperti teknologi, komunikasi, nilai, tingkah laku pengguna dan sumber ekonomi," katanya. Rosmah berkata, dengan memahami perubahan dan peralihan ini akan dapat membantu wanita memanfaatkan kuasa mereka untuk memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah. Beliau turut menekankan mengenai pentingnya rangkaian kerja, menegaskan dengan memanfaatkan semua rangkaian berkenaan, wanita boleh memperluaskan capaian mereka ke seluruh dunia dan mengoptimumkan sumber mereka yang terhad. "Dalam era digital sekarang, rangkaian berasaskan media telah terbukti merupakan antara kaedah yang paling efektif untuk mempengaruhi perubahan," katanya. Rosmah berkata, di seluruh dunia, jumlah wanita yang memegang jawatan eksekutif di peringkat pengurusan tertinggi korporat ialah sebanyak 22 peratus dan daripada segi penyertaan dalam kegiatan keusahawan, satu pertiga daripadanya ialah wanita. "Dalam abad ke-21 ini, wanita memainkan peranan penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, dengan 40 hingga 50 peratus perniagaan kini dimiliki wanita. Wanita juga memberikan impak yang signifikan dalam sains dan teknologi," katanya. - BERNAMA | ||
JPJ, polis, DBKL tempatkan pegawai kompaun Posted: JPJ, polis, DBKL tempatkan pegawai kompaunPUTRAJAYA 23 Feb. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan pegawai rujukan di cawangan masing-masing bagi menyelesaikan pertikaian orang ramai mengenai saman kesalahan lalu lintas yang diterima. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, tindakan itu bagi memudahkan orang ramai membuat pertanyaan dan mendapat penjelasan mengenai saman yang boleh dipertikaikan. "Ini merupakan tindakan proaktif untuk mengatasi pertikaian mengenai sesetengah saman di mana terdapat pemandu yang menafikan mereka pernah melakukan sesuatu kesalahan lalu lintas. "Sekurang-kurangnya dua pegawai rujukan akan ditempatkan di setiap cawangan JPJ. Pemandu yang ingin mempertikaikan saman yang diterima boleh menemui pegawai ini sebelum berurusan di kaunter pembayaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Solah berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pertikaian termasuk urusan penjualan kereta tanpa melakukan urusan menukar hak milik kenderaan. "Terdapat juga pemandu yang menghantar kereta mereka untuk dijual oleh kedai kereta terpakai tetapi jurujual atau bakal pembeli melakukan kesalahan ketika melakukan pandu uji, saman bagaimanapun dihantar ke pemilik asal. "Selain itu terdapat juga pemandu yang menjadi mangsa pemalsuan apabila nombor plat milik mereka dipalsu dan disalahgunakan oleh pemandu lain," jelasnya. Menurut beliau, tidak kurang juga pemandu yang mengabaikan surat saman yang dikirim kepada mereka dan menjadi kecoh apabila nama mereka disenaraihitam. "Pada masa sama, terdapat pemandu yang tidak menerima surat saman kerana ia diambil oleh ahli keluarga lain, pemandu berkenaan hanya tahu disaman apabila mereka disenaraihitamkan dan gagal memperbaharui cukai jalan," katanya. Dalam pada itu, Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof memberitahu, orang ramai yang mempunyai pertikaian mengenai saman boleh menemui pegawai rujukan di balai polis terdekat. ''Mereka yang melakukan kesalahan melanggar had laju dan ingin melihat gambar yang membuktikan kesalahan mereka bagaimanapun perlu datang ke Bukit Aman atau ke balai berhampiran dengan lokasi kejadian," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan