Isnin, 28 Februari 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Sewa tak masuk akal

Posted: 27 Feb 2011 02:35 PM PST

Wilayah

SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.

SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.

Pemilik rumah DUN Kerdau ambil kesempatan naikkan harga

TEMERLOH: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau turut membawa rezeki terpijak kepada penduduk sekitar bandar ini kerana ada antara mereka yang menyewakan rumah atau premis perniagaan dengan harga tinggi hingga mencecah lebih RM20,000 bagi tempoh hanya dua minggu.

Keperluan mendesak khususnya di kalangan penyokong parti bertanding, selain kekurangan bilik hotel yang boleh ditempah, menjadikan permintaan terhadap rumah penduduk bagaikan pisang goreng panas.

Seorang penduduk bertindak sebagai orang tengah bagi mencari penyewa rumah ini, Ramli Yusuf, berkata kebanyakan penyewa premis itu membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik, pemerhati dan pihak berkuasa, selain petugas media. Ramli, 32, berkata, kebanyakan rumah teres biasa berdekatan kawasan Kerdau disewa dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 seunit, manakala di Temerloh pula, kadar sewanya rendah sedikit iaitu antara RM1,000 hingga RM5,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada juga penduduk berjaya menyewakan rumah banglo mereka kepada petugas parti hingga mencecah kira-kira RM21,000.

"Kadar sewa ini bagaikan durian runtuh kepada pemilik rumah sewa kerana kadar biasa rumah sewa di kawasan Kerdau hanya RM150 hingga RM250 sebulan, manakala di Temerloh pula hanya antara RM200 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada jenis rumah.

"Disebabkan berlaku pilihan raya kecil dan permintaan untuk menyewa rumah adalah tinggi, pemilik rumah mampu memperoleh pendapatan luar biasa dan sewa diperoleh ini boleh menampung bayaran bulanan rumah mereka untuk jangka panjang.
"Paling mengejutkan, unit rumah kos rendah yang selama ini terbiar kosong di Kerdau tanpa sebarang kemudahan, turut dijadikan penginapan mereka yang terbabit dalam pilihan raya DUN Kerdau ini dengan sewa dikenakan RM5,000," katanya.

Ramli berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan panas bagi sewaan rumah ini adalah di kawasan Desa Murni, Ketumbit dan Rumpun Makmur di Kerdau kerana kedudukannya berdekatan dengan tempat berkempen.

"Kadar sewa ini seolah-olah satu bonus kepada masyarakat kawasan ini kerana kebanyakannya bekerja sebagai petani atau melakukan kerja kampung.

"Biasanya rumah yang disewa ini dijadikan rumah kedua oleh pemiliknya atau dibiarkan kosong begitu saja, malah ada pemilik rumah yang tinggal di situ sanggup mengosongkan kediaman dan tinggal bersama keluarga bagi membolehkan rumah mereka disewa.

"Saya mengakui harga ini tidak masuk akal tetapi disebabkan permintaan bagi premis tempat tinggal agak tinggi kali ini, pemilik rumah sewa masih berjaya mendapatkan penyewa," katanya.

Sementara itu, Sariman Jaafar,32, dari Desa Murni, Sanggang, berkata dia menyewakan rumahnya RM4,000 kepada sekumpulan belia bagi tempoh 10 hari.

Katanya, wang diperoleh itu akan digunakan bagi menampung kehidupan sekeluarga selepas ini.

"Kami mendapat rezeki tidak diduga dan disebabkan tawaran yang menarik, saya dan isteri sanggup berpindah sementara tinggal di rumah abang berdekatan kawasan ini selama tempoh rumah itu disewa," katanya.

Rakannya, Zamri Mohamad Saaid, 31, pula menyewakan rumahnya dengan kadar RM5,500 bagi tempoh sama kepada Majlis Keselamatan Negara.

"Saya akan menggunakan wang sewa diperoleh itu untuk memperbaiki rumah terutama bahagian pagar.

"Sekarang kami menumpang tinggal di rumah keluarga mentua dan bersyukur kerana kempen pilihan raya ini memberi rezeki tambahan kepada penduduk di sini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

TEKUN bantu usahawan

Posted: 27 Feb 2011 02:34 PM PST

Wilayah

1,288 usahawan di Jasin nikmati pinjaman RM13,428,900

MERLIMAU: Seramai 5,118 usahawan di Melaka menerima pinjaman dan bantuan modal dari TEKUN Nasional berjumlah RM54,578,700 sejak 1998 hingga awal tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 1,288 usahawan di kawasan Parlimen Jasin termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dibantu dengan peruntukan sebanyak RM13,428,900.

"Mereka ini adalah usahawan kecil yang membabitkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan meliputi katering, jualan makanan dan minuman serta pertanian. "Sehingga kini, keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan TEKUN Nasional kepada usahawan ini adalah sebanyak RM1.6 bilion sejak penubuhannya pada 1998.
Alhamdulillah dana permulaan pemberian kerajaan dulu, berjaya dikembangkan sehingga kita boleh menjana pemberian pinjaman sebanyak itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keusahawanan 'TEKUN Nasional: Maklumat Keusahawanan, Peluang Perniagaan dan Pinjaman Modal' di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek pinjaman TEKUN Nasional bernilai RM1,474,900 kepada 123 usahawan selain pemberian Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang, sijil lantikan ahli jawatankuasa pengasas dan penaja Kelab Komuniti Usahawan Tekun kepada 12 usahawan.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, Roslan Ahmad dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Seorang penerima, Adnan Osman, 43, berkata beliau gembira apabila permohonannya untuk membuat pinjaman modal kali kedua iaitu sebanyak RM40,000 diluluskan dalam tempoh kurang dua minggu.

Katanya, sebelum ini beliau ada membuat pinjaman sebanyak RM5,000 pada 1996 untuk permulaan perniagaan kedai makan dan juga katering yang diusahakan di Merlimau.

"Kali ini saya gembira apabila permohonan saya diterima oleh TEKUN Nasional, walaupun jumlah sebenar yang saya pohon adalah RM50,000. Dengan jumlah yang diberikan ini, saya akan jadikan ia sebagai modal pusingan terutama untuk menambah peralatan katering saya," katanya.

Beliau berharap dengan peranan yang dimainkan oleh TEKUN Nasional dalam memberikan pinjaman modal kepada semua usahawan kecil, ia dapat membantu usahawan Melayu untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Seorang lagi penerima anugerah cemerlang, Alinah Mohd Karim, 44, berkata berkat bantuan pinjaman modal yang diluluskan TEKUN Nasional sebanyak RM3,000 kepadanya ada 2007, membolehkan beliau menjana pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan.

"Saya kini mempunyai perusahaan yang dikenali sebagai Cili Boh Asli Alinah Karim yang diusahakan di rumah termasuk mempunyai Pasar Segar Alinah Karim di Krubong yang menjual pelbagai barangan keperluan harian.

"Selepas menerima pinjaman pertama, saya membuat pinjaman kali kedua pada 2009 sebanyak RM30,000 dan alhamdulillah kini saya mampu memperoleh jualan sebanyak RM120,000 sebulan," katanya.

Alinah berterima kasih kepada TEKUN Nasional kawasan DUN Bukit Katil yang banyak membantu dan berhasrat untuk memperkembangkan perniagaannya di kawasan DUN Merlimau selepas ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan