Khamis, 24 Februari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Sukan santai malam

Posted:

Sukan santai malam

Sukan santai malam

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


Gelanggang motocross turut disediakan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 23 Feb. – Bagi membudayakan cara hidup sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia, kerajaan negeri terus menyemarakkan kegiatan sukan secara santai.

Ia bukan sahaja bagi mengisi waktu luang mereka, terutama kalangan generasi muda, tetapi juga untuk terus mencungkil dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang sukan ke arah mengukuhkan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara.

Konsep sukan secara santai lebih bercorak temasya turut diterjemahkan melalui program kegiatan waktu malam yang dinamakan Terengganu City Night Games (TCNG) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

Program kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) itu diadakan setiap bulan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini dan terbaru pada 18 hingga 19 Februari lalu ia ternyata berlangsung dalam suasana lebih meriah.

Ia yang menjadi sebahagian daripada pengisian kalendar pelancongan negeri itu semakin menarik penglibatan meluas, malah turut mendapat tumpuan ramai termasuk dari beberapa negeri lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, TCNG merangkumi sukan berprestasi tinggi, sukan lasak dan sukan massa, acara hiburan, persembahan, pameran, jualan dan demonstrasi.

''Ia bukan hanya membuka peluang kepada masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur, malahan kini turut menarik penyertaan peminat sukan dari negeri lain seperti Kelantan, Pahang dan Kedah,'' katanya.

Sebanyak 12 acara sukan iaitu street soccer, bola jaring, boling padang, kereta kawalan jauh, drift car, aquabike, motocross, hoki, memanah, kanu, lumba basikal dan mini bike dipertandingkan pada temasya berkenaan.

''Selain itu, ia dimeriahkan dengan pertunjukkan basikal unik, pertandingan menyanyi, pertunjukkan kebudayaan dan konvoi berbasikal untuk memikat lebih ramai pengunjung," ujarnya.


Perlumbaan drift car mendapat perhatian di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.


Pengunjung juga boleh menyertai acara-acara yang diminati, selain mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang berkelayakan dan mahir dalam bidang sukan tersebut.

Selain beriadah waktu malam, TNCG juga akan menjadi medan buat remaja mempamerkan bakat masing-masing, terutamanya pada acara sukan baru seperti kereta kawalan jauh, drift car, aquabike, motocross dan motosikal mini.

Temasya yang diadakan setiap minggu ketiga pada setiap bulan itu akan diperluaskan ke daerah-daerah lain dalam usaha mendedahkan masyarakat terhadap bidang sukan.

Katanya, temasya seumpama itu di daerah-daerah akan bermula bulan depan

mengikut giliran dan bergantung kepada kemudahan yang terdapat di setiap daerah.

"Acara utama masih diadakan di stadium ini dan pada masa yang sama kita juga akan menganjurkan temasya itu di daerah lain, bergantung kepada kemampuan pihak penganjur serta kelengkapan acara yang ingin diadakan.

"Saya berharap, melalui penganjuran acara ini di setiap daerah ia akan memudahkan kita mencari bakat-bakat terpendam dalam arena sukan berkenaan bagi membentuk satu pasukan yang hebat dalam pelbagai acara sukan di persada dunia," katanya.

Pada penganjuran TCNG untuk sesi pertama pada tahun 2011 itu, kira-kira 1,000 pengunjung memenuhi pekarangan Sultan Mizan Zainal Abidin di sini bagi menyaksikan pelbagai acara yang diadakan.

Paling mendapat sambutan adalah acara mini bike apabila kanak-kanak seawal usia enam tahun menunjukkan aksi-aksi dan kehebatan mereka menunggang motosikal mini bak pelumba handal di litar yang disediakan.

Menurut Rozi, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk membenarkan anak-anak mereka mencuba pelbagai acara yang diadakan, kerana terdapat golongan yang mahir akan mengajar dan memantau pergerakan anak-anak mereka.

"Setiap acara yang disediakan akan ditempatkan seorang tenaga pelatih yang mahir untuk mengendalikan acara berkenaan," jelasnya.

Namun, bagi mereka yang kurang gemarkan aktiviti lasak, usah bimbang kerana halwa telinga anda pasti ditemani suara-suara lunak penyanyi dan kumpulan muzik yang dijemput untuk membuat persembahan setiap kali berlangsungnya TCNG.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja dengan melibatkan mereka dengan kegiatan kegemaran pada satu hujung minggu setiap bulan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelajar perempuan tendang peragut

Posted:

Pelajar perempuan tendang peragut

Pelajar perempuan tendang peragut

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 23 Feb. – Tindakan berani seorang pelajar perempuan menendang dan bergelut dengan seorang peragut menyebabkan penjenayah itu berjaya diberkas.

Dalam kejadian pukul 5.50 petang di Kampung Paya Lasir, Kijal di Kemaman semalam, suspek yang berusia 25 tahun diberkas oleh penduduk sekitar setelah mendengar jeritan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 18 tahun menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Darat berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam mengekori sebelum menghimpit motosikal mangsa dan cuba melarikan beg pinggang pelajar itu yang diletakkan dalam bakul motosikal.

"Mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek bertindak melawan dengan menendang motosikal suspek menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Manoharan berkata, suspek yang terjatuh kemudian bangun dan cuba meragut kembali beg mangsa yang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai.

"Namun, dalam pergelutan itu, suspek yang berasal dari sekitar kawasan itu diberkas oleh orang ramai setelah mangsa yang menjerit meminta tolong sebelum diserahkan kepada pihak polis," jelasnya.

Menurutnya, akibat pergelutan itu, mangsa yang cedera di kaki telah dihantar ke hospital berdekatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Harga barangan keperluan diseragam

Posted:

Harga barangan keperluan diseragam

Harga barangan keperluan diseragam

BACHOK 23 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan (PPDNKKK) akan melaksanakan projek penyeragaman harga dalam waktu terdekat bagi mengurangkan perbezaan harga barangan keperluan antara kawasan bandar dan pedalaman.

Pengarahnya, Fauzi Haron berkata, hasil pemantauan yang dibuat oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) mendapati, barangan keperluan di kawasan pedalaman termasuk di penempatan Orang Asli dijual lebih tinggi berbanding harga pasaran dengan alasan peningkatan kos pengangkutan.

Beliau berkata, kenaikan itu turut melibatkan barangan kawalan bersubsidi seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.

"Pendekatan dan langkah segera perlu diambil bagi mengatasi masalah ini. Ia bertujuan memberi hak dan keadilan kepada para pengguna di kawasan pedalaman.

"Projek penyeragaman harga ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membela kebajikan rakyat, terutama di kawasan hulu Kelantan yang meliputi Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau ditemui pada Majlis Wacana 1Malaysia anjuran PPDNKKK dan Jabatan Penerangan Kelantan di Permai Resort di sini. Hadir sama, Pengarah Penerangan negeri, Ramly Yusoff.

Fauzi berkata, harga bahan api termasuk gas dan petrol di kawasan penempatan Orang Asli juga melebihi pasaran semasa sehingga membebankan golongan itu.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan ketua keluarga Orang Asli terpaksa ke Tanah Tinggi Cameron, Pahang untuk mendapatkan bekalan petrol dan gas yang dijual mengikut harga semasa.

"Kita akan cuba menyediakan pengangkutan atau membayar kos kepada pembekal atau penjual berdaftar supaya barangan keperluan itu dijual mengikut harga yang ditetapkan dan seragam.

"Harga barangan keperluan terutama yang bersubsidi sepatutnya dijual mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Mengenai krisis bekalan minyak masak pula, Fauzi berkata, masalah itu sentiasa dipantau dan ditangani sebaik mungkin.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan pembekal menghantar bekalan minyak masak ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan berdasarkan laporan harian yang diterima.

Menurutnya, pengedaran barangan kawalan itu turut dipantau ketat dan pembatalan 19 permit pemborong gula di kawasan sempadan dikekalkan bagi mengelak penyeludupan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan