Jumaat, 25 Februari 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Peperiksaan standard untuk semua doktor lulusan luar negara

Posted: 25 Feb 2011 02:46 AM PST

Mutakhir

JAKARTA: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan satu peperiksaan standard bagi semua lulusan perubatan dari universiti luar negara dalam usaha mengatasi masalah pengiktirafan terhadap kursus kedoktoran yang mereka jalani.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pegawai kementeriannya sedang meneliti perkara itu dalam pindaan Akta Perubatan yang kini sedang dalam peringkat akhir penyediaan draf pindaan itu.

"Hanya dengan menduduki satu peperiksaan yang standard dan kemudian menjalani tempoh latihan selama dua tahun, doktor lulusan mana-mana universiti luar negara akan diiktiraf dan mereka boleh menjalankan praktis sebagai seorang doktor," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Liow berkata rang undang-undang pindaan akta itu diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, namun beliau tidak dapat memberi kepastian secara tepat bila ia dapat dibentangkan.

Beliau berkata Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebelum ini juga mencadangkan supaya diperkenalkan kaedah peperiksaan yang standard itu sebagai jalan keluar kepada masalah pengiktirafan terhadap universiti-universiti yang mengendalikan kursus perubatan.

Pada masa ini, Malaysia telah mengiktiraf lebih 300 universiti di luar negara yang mengendalikan kursus perubatan dan proses memberi sesuatu pengiktirafan itu mengambil masa yang panjang.

"Kita ada jawatankuasa bersama, ada MMC, Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) dan Kementerian Kesihatan (MOH) yang bertanggungjawab memberi pengiktirafan.
"Apa yang diamalkan sekarang ialah jawatankuasa ini akan buat lawatan ke universiti-uiniversiti berkaitan untuk melihat subjek dan kurikulum dan MMC kemudian akan memberi akreditasi," katanya.

Liow menjelaskan bahawa cadangan dalam pindaan Akta Perubatan itu akan menetapkan semua lulusan kursus kedoktoran, sama ada yang telah mendapat pengiktirafan atau belum diiktiraf supaya menduduki satu peperiksaan yang standard bagi menguji pengetahuan dan kebolehan mereka.

Beliau tidak menolak kemungkinan adanya pihak, khususnya lulusan universiti ternama di luar negara, yang akan mempertikai keperluan peperiksaan itu namun ia bukan perkara yang perlu mereka khuatirkan kerana jika mereka benar-benar berkualiti, peperiksaan itu bukan merupakan masalah.

Mengenai masalah pengiktirafan Malaysia yang belum diberikan kepada Universiti Negeri Surakarta 11 Maret, Solo, Jawa Tengah, Liow berkata beliau sudah meminta pegawai kementeriannya melihat perkara itu.

Liow berkata beliau tidak mengetahui di peringkat mana proses pemberian pengiktirafan itu dan menjelaskan bahawa kelulusan di pihak kementeriannya boleh diberikan jika syarat-syarat yang ditetapkan telah dipenuhi.

Sejumlah 26 pelajar dari Malaysia, sedang menuntut di Uni 11 Maret, Solo, dan kumpulan pertama tujuh pelajar Malaysia seramai enam orang telah menamatkan kursus Sarjana Muda Sains Perubatan dan sedang menjalani tempoh latihan di Hospital Dr Moewardi, Solo.

Pengerusi Tetap Pusat Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Mohd Nazaluddin Mat Nazir, berkata Uni 11 Maret berada pada kedudukan keempat daripada ratusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Indonesia dan fakulti perubatan di universiti itu berada pada kedudukan kelima daripada seluruh IPTA di Indonesia.

Uni 11 Maret juga terdaftar dalam Direktori Avicenna, yang menyenaraikan sekolah perubatan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini memberi alasan menangguhkan pengiktirafan untuk Uni 11 Maret itu beberapa tahun lalu kerana akan memperkenalkan peperiksaan standard untuk doktor lulusan luar negara, namun dalam tempoh itu ia telah memberi kelulusan kepada beberapa universiti di Poland dan Austria dan tidak memberi keutamaan kepada Uni 11 Maret," katanya.

Mohd Nazaluddin, yang juga salah seorang pelajar kumpulan pertama universiti itu berkata semua pelajar Malaysia di situ merupakan pelajar yang membiayai sendiri yuran pengajian mereka.

Pihaknya memperjuangkan untuk mendapatkan pengiktirafan itu kerana ia merupakan syarat untuk mereka memohon mendapatkan pinjaman pelajaran atau biasiswa.

Sebelum ini, lebih 30 pelajar Malaysia menuntut di universiti itu namun bilangan itu berkurangan sebab ada yang sudah tidak mampu nenanggung pembiyaan yang begitu tinggi, katanya.

Daripada kumpulan itu, ada dua pelajar dari Selangor mendapat bantuan pelajaran Baitulmal Selangor dan ia boleh meringankan beban perbelanjaan mereka. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Untung pracukai MAS susut kepada RM282.03 juta

Posted: 25 Feb 2011 02:43 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Malaysian Airline System Bhd (MAS) bagi tahun berakhir 31 Disember, 2010 susut kepada RM282.036 juta daripada RM491.832 juta bagi tempoh yang sama pada 2009.

Bagaimanapun, pendapatannya bertambah kepada RM13.587 bilion daripada RM11.605 bilion sebelumnya, kata syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan sesaham turun kepada 7.25 sen berbanding 25.32 sen pada 2009. Dalam suku keempat, MAS melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM258.301 juta berbanding RM599.150 juta bagi tempoh yang sama pada 2009, selepas mengambil kira, antara lain, keuntungan derivatif sebanyak RM143.8 juta.
Pendapatan meningkat kepada RM3.673 bilion daripada RM3.388 bilion sebelumnya.
- BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan