Khamis, 24 Februari 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Bangkai tikus dalam kuali

Posted: 23 Feb 2011 02:54 PM PST

Wilayah

BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.

BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.

Ops Bersih 3 gempur premis niaga kotor sekitar Klang

KLANG: Bangkai tikus dalam kuali. Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah yang dilihat dalam satu operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan 'Ops Bersih 3' yang diadakan di sekitar bandar diraja ini, baru-baru ini.

Pemilik sebuah restoran mendakwa kuali itu tidak lagi digunakan tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang digempur pasukan penguat kuasa itu kotor dan berbau meloyakan. Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan turut menemui mi goreng yang sudah basi disimpan di bawah rak makanan dan boleh memudaratkan kesihatan jika ia dipanaskan dan dihidangkan semula kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan terus menjamu selera di restoran terbabit seperti langsung tidak mengendahkan operasi yang sedang dijalankan.

Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan sepatutnya di samping melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tidak melabel jenis makanan dan pekerja memakai selipar.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa didapati gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya tong sampah tidak ditutup dan lantai kotor.
"Malah, kami turut menjumpai bangkai tikus, najis tikus dan lipas di beberapa premis," katanya sambil menambah semua premis itu diarah ditutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Bulan lalu, sebanyak 12 premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 2 yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Tinggi.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

JKR baiki lampu jalan

Posted: 23 Feb 2011 02:52 PM PST

Wilayah

Penduduk Taman Arked kini lebih selesa

SEPANG: Penduduk Taman Arked, di sini, lega apabila masalah lampu jalan yang tidak menyala di sepanjang laluan masuk ke Paya Indah Wetland dan kawasan perumahan itu sejak tiga tahun lalu selesai selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membaikinya dua bulan lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Arked, Ngadenin Musa, 43, berkata penduduk berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana membaiki lampu jalan di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini, kita sudah mengadu masalah berkenaan kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan yang dibuat menyebabkan kami buntu kerana tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi. "Selepas masalah ini diadukan kepada Berita Harian kira-kira tujuh bulan lalu, sedikit sebanyak ada perubahan yang dilakukan oleh pihak berkenaan bagi memperbaiki lampu jalan untuk kemudahan orang ramai yang melalui jalan itu terutama pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata, penduduk di situ kini tidak berasa takut untuk melalui kawasan itu selepas lampu jalan dibaiki di samping mengelakkan berlaku sebarang masalah seperti samun.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR Selangor dan semua yang terbabit kerana menyelesaikan masalah itu," katanya.

Sebelum ini, Sentral melaporkan kira-kira 44 lampu jalan yang tidak menyala sejak tiga tahun lalu walaupun sudah siap dipasang sepenuhnya di sepanjang jalan masuk ke Paya Indah Wetland dan Taman Arked.
Ia kerana kotak fius dan sebahagian kabel elektrik di tiang lampu berkenaan, sebahagian besarnya hilang dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kemudahan awam disediakan itu tidak mencapai maksudnya kepada orang ramai.

Malah, sepanjang laluan di situ juga "mengerikan" terutama pada waktu malam kerana ada hutan dan belukar di kiri dan kanannya yang membahayakan pengguna.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan