Berita Harian: Nasional |
Kerajaan kaji opsyen stabil harga petrol Posted: 22 Feb 2011 02:52 PM PST Nasional RAKYAT Libya di negara ini mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Libya di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji beberapa opsyen bagi menstabilkan harga minyak untuk mengelakkan kenaikan harga dalam tempoh terdekat supaya tidak membebankan rakyat. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian terbaik. "Walaupun harga minyak dunia semakin melambung, setakat ini harganya tidak dinaikkan. Kerajaan sedang mengkaji beberapa opsyen kerana untuk menjimatkan belanja subsidi bukan setakat menaikkan harga minyak," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pelaksanaan Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) di Pusat Harta Intelek di sini, semalam. Kelmarin, harga minyak dunia melonjak hampir ke paras AS$88 setong di pasaran Asia ketika kebimbangan pelabur berhubung ketegangan di Libya yang diramal akan menjejaskan pengeluaran bekalan negara Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC).Penanda aras kontrak penghantaran minyak mentah bulan Mac di New York Merchantile Exchange, meningkat AS$1.67 kepada AS$87.87 setong pada lewat petang kelmarin dalam dagangan pasaran elektronik Asia. Ia mencatatkan penurunan 16 sen kepada AS$86.20 pada Jumaat lalu. Di London, minyak mentah Brent bagi penghantaran April di ICE Futures Exchange pula meningkat AS$1.78 kepada AS$104.30 setong. Ismail Sabri berkata, pada masa ini, kerajaan mengambil pendekatan melihat secara keseluruhan situasi yang berlaku dan tidak sekadar menaikkan harga petrol berikutan tindakan itu tidak menyumbang kepada pengurangan belanja kerajaan dalam pemberian subsidi.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, projek ATOM sebagai usaha untuk memodenkan dan mentransformasikan sektor industri perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan automotif yang kini tidak tersusun. Beliau berkata, kerajaan mensasarkan sebanyak 300 bengkel automotif di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada projek terbabit yang dijadualkan bermula April ini sebaik modul yang disediakan kementerian siap. "Melalui projek ini, pengusaha bengkel automotif akan mendapat pelbagai bantuan antaranya pinjaman kewangan, khidmat nasihat, penyediaan cadangan naik taraf, latihan kemahiran dan keusahawanan," katanya. Katanya, antara persatuan yang akan menjadi konsultan bagi pelaksanaan projek ATOM itu termasuk Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM) dan Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia (PPIBM). |
Najib lawat kilang kenderaan tentera terbesar di Turki Posted: 22 Feb 2011 02:51 PM PST Nasional PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam melawat kilang pengeluar kenderaan ketenteraan terbesar Turki, FNSS Savunma Sistemleri A.S. (FNSS Savunma) di Golbasi, kira-kira 30 kilometer dari sini.Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia diberi taklimat mengenai operasi kilang berkenaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besarnya, K. Nail Kurt. Perdana Menteri turut menyaksikan demonstrasi pelbagai kenderaan ketenteraan yang dikeluarkan firma terbabit, yang juga antara pengeluar kenderaan ketenteraan terbesar dunia. Turut serta dalam lawatan berkenaan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.Pada lawatan itu, majlis menandatangani perjanjian di antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dan FNSS Savunma bagi usaha sama pengeluaran kenderaan ketenteraan di Pekan, Pahang. Usaha sama berkenaan turut merangkumi bantuan latihan dan kepakaran serta pemindahan teknologi firma Turki itu kepada Deftech. Kedua-dua pihak sudah menjalin kerjasama dalam bidang berkenaan sejak 2000. Pada majlis menandatangani itu, Deftech diwakili Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil manakala FNSS Savunma diwakili Kur, sambil disaksikan Najib. Sementara itu, pada sebelah petangnya Najib dan rombongan melawat Muzium Anitkabar yang antara lain menempatkan makam pengasas Republik Turki, Mustapa Kamal Ataturk yang mana Perdana Menteri meletakkan kalungan bunga dan menandatangani buku pelawat. Perdana Menteri kemudian mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Recep Tayyip Erdogan, sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara SME Corporation Malaysia dan Small and Medium Enterprises Development Organization (KOSGEB) Turki. Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Erdogan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan