Utusan Online - Utara |
- Cemerlang walau gemar tonton TV
- STPM: 22 sekolah lulus 100 peratus di Kedah
- 11 sekolah P. Pinang catat keputusan cemerlang
Cemerlang walau gemar tonton TV Posted: Cemerlang walau gemar tonton TVOleh SAFINA RAMLI
ALOR SETAR 21 Feb. - Pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di sini, Chuah Chong Yang, 20, menjadikan rancangan televisyen sebagai pengubat tekanan sewaktu mengulang kaji pelajaran. Chong Yang, 20, yang mendapat A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Matematik, Fizik dan Kimia berkata, dia sering menonton pelbagai rancangan televisyen pada waktu petang bagi merehatkan minda setelah berjam-jam mengulang kaji pelajaran. "Bagi saya kita perlu pandai membahagikan masa dan kita tidak boleh mengulang kaji pelajaran secara berterusan. "Saya sering berehat pada waktu petang dengan menonton televisyen sebelum menyambung semula membuat latihan Matematik, Fizik dan Kimia pada waktu malam," katanya ketika ditemui di SMJK Keat Hwa di sini hari ini. Sebanyak sembilan pelajar dari sekolah tersebut mendapat empat A serta tujuh pelajar lain mendapat tiga A dalam peperiksaan STPM 2010. Menurut Chong Yang, dia tidak menyangka berjaya memperoleh semua A dalam STPM kerana dalam peperiksaan percubaan dahulu dia hanya mendapat A- dalam mata pelajaran Pengajian Am. "Saya bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Malaya selepas ini. "Bagi mengisi masa lapang dan mencari wang tambahan saya kini bekerja sebagai guru tuisyen di sekitar Alor Setar," ujarnya. Sementara itu, seorang pelajar sekolah tersebut yang juga memperoleh 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Matematik, Fizik dan Kimia, Heng Tze Chzin, 20, berkata, dia juga membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran dan bersuka ria bersama rakan-rakan. "Saya aktif dalam pancaragam sekolah ini namun pada masa yang sama pelajaran tetap menjadi keutamaan. "Setiap pelajar perlu pandai membahagikan masa agar tidak tertekan sewaktu menuntut ilmu," jelasnya. | ||
STPM: 22 sekolah lulus 100 peratus di Kedah Posted: STPM: 22 sekolah lulus 100 peratus di KedahALOR SETAR 21 Feb. - Sebanyak 22 buah sekolah di negeri ini hari ini diumumkan berjaya mencapai kelulusan penuh 100 peratus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010. Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad berkata, antara sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, SMK Jitra, SMK Kulim, SMK Yan dan lain-lain lagi. "Sebanyak sembilan buah sekolah telah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 2.67 dan ke atas serta pencapaian minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) bagi negeri Kedah ialah 2.31 daripada 3,316 bilangan calon yang hadir. "Sekolah tersebut ialah SMK Sultanah Bahiyah, SMJK Sin Min, SMJK Keat Hwa, SMK Yan, SMK Agama Kedah, SMK Labu Besar, SMK Ibrahim, SMK Tun Sharifah Rodziah dan SMK Padang Serai," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Menurutnya, pada 2010 seramai 3,830 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM dan jumlah calon yang hadir untuk mengambil peperiksaan ialah 3,609 orang. "Seramai 3,410 ialah calon sekolah kerajaan, 76 orang calon sekolah swasta dan 344 orang ialah calon persendirian. "Pada 2010 juga peratus calon yang mendapat lulus penuh ialah 95.3 peratus berbanding 94.87 peratus pada 2009," katanya. Tambah Abdullah, seramai 27 calon yang menduduki STPM berjaya memperoleh PNGK 4.00 dan tujuh mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Matematik, Bahasa Tamil, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Kimia dan Sains Sukan telah mencatatkan peningkatan. | ||
11 sekolah P. Pinang catat keputusan cemerlang Posted: 11 sekolah P. Pinang catat keputusan cemerlang
KEPALA BATAS 21 Feb. - Sebanyak 11 buah sekolah di negeri ini berjaya mencatat keputusan 100 peratus kelulusan penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan hari ini. Sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian dan SMJK Chung Ling. Tujuh lagi sekolah yang mencatatkan keputusan lulus 100 peratus ialah SMJK Heng Lee, SMK Raja Tun Uda, SMKA Al-Irshad, SMK Bakti, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan. Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri, Yeoh Kok Kheng berkata, daripada sekolah berkenaan, seramai 58 pelajar berjaya mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0. Beliau berkata, pelajar SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam, Wilson Lye Wei King, muncul pelajar cemerlang STPM 2010 bagi negeri Pulau Pinang dengan mencatat keputusan 5A. ''Secara keseluruhan, sebanyak 95.66 peratus daripada 3,241 calon yang mengambil peperiksaan STPM di Pulau Pinang pada tahun lalu mendapat kelulusan sekurang-kurangnya 1P. ''Keputusan itu juga mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu 94.63 peratus," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Kok Kheng memberitahu, seramai 3,241 calon mengambil peperiksaan STPM 2010 di negeri itu yang terbahagi kepada 2,649 calon sekolah kerajaan, 374 calon sekolah swasta dan 218 calon persendirian. Menurut beliau, sebanyak 16 mata pelajaran mencatatkan peratusan lebih tinggi berbanding peringkat kebangsaan dengan subjek Matematik dan Seni Visual merekodkan kelulusan 100 peratus. Katanya, antara mata pelajaran yang menunjukkan prestasi membanggakan ialah Pengajian Am dengan kelulusan 90.41 peratus; Usuluddin (87.50); Computing (80.95); Fizik (81.76) dan Kimia (80.06). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan