Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Melahirkan pemain pelapis bola sepak

Posted:

Melahirkan pemain pelapis bola sepak

Melahirkan pemain pelapis bola sepak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


INILAH barisan pelatih Akademi Bola Sepak PCB selepas sesi perlawanan persahabatan di Padang SK Semut Api, Kota Bharu, baru-baru ini. - utusan/Yatimin Abdullah


KOTA BHARU 31 Jan. - Dengan yuran pendaftaran serendah RM5 dan bulanan hanya RM1, mereka yang berminat serta mempunyai bakat dalam sukan bola sepak berpeluang menyertai Akademi Bola Sepak Pantai Cahaya Bulan atau ringkasnya, Akademi PCB.

Biarpun baru empat bulan ditubuhkan, akademi tersebut sudah berjaya menghimpunkan seramai 70 orang pelatih di kalangan anak muda tempatan berusia seawal tujuh hingga 15 tahun.

Pengasas Akademi yang juga ketua jurulatih, Mohd. Lokeman Yusoff, 36, berkata, Akademi PCB ditubuhkan atas dasar minat dan inisiatif kewangan beliau sendiri dalam usaha mencungkil bakat dan mengetengahkan kebolehan anak-anak muda tempatan dalam sukan nombor satu itu.

Menurutnya, meskipun berada dalam serba kekurangan namun, beliau yang pernah mewakili Kelab Jabatan Kesihatan dalam liga di peringkat negeri, bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi melahirkan pemain-pemain pelapis bola sepak negeri dan negara di peringkat akar umbi.

"Di Akademi PCB ini pihak kami lebih menumpukan kepada pelatih bawah 12 tahun, namun pada masa yang sama kita turut memberikan penekanan kepada pembentukan pasukan bola sepak bawah 15 tahun.

"Objektif utama penubuhan akademi ini ialah untuk melahirkan lebih ramai pelapis mewakili pasukan Kelantan suatu hari nanti.

''Selain itu juga kita mahu mengisi masa lapang kanak-kanak di sini dengan aktiviti yang lebih berfaedah dan mewujudkan budaya sihat sejak kecil lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Lokeman memberitahu, kewujudan akademi itu bukan untuk memberikan saingan kepada mana-mana akademi sedia ada, tetapi lebih kepada hendak merancakkan sukan bola sepak tempatan dengan cuba mengesan bakat-bakat muda pada peringkat awal.

Menurutnya, kejayaan akademi ini tidak boleh di nilai dalam masa yang singkat, namun pihaknya meletakkan sasaran untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Masa zaman saya main bola sepak dahulu tiada kemudahan seperti ini, tetapi sekarang begitu banyak dan ia sesuatu yang positif untuk pembangunan sukan bola sepak tanah air.

"Kita boleh turun ke peringkat akar umbi, melatih pemain seawal usia tujuh tahun. Dari umur seperti inilah kita mampu melahirkan seorang pemain yang hebat mungkin dalam 10 tahun lagi, siapa tahu," ujarnya.

Tambah Mohd. Lokeman, selain itu pihaknya turut menerapkan program keagamaan kepada semua pelatih dengan menganjurkan aktiviti ke masjid, program membersihkan kawasan tanah perkuburan dan banyak lagi.

"Sekiranya tidak ada apa-apa halangan, kita turut bercadang mengadakan kem motivasi kepada pelatih-pelatih supaya mereka mempunyai ilmu yang seimbang iaitu ilmu dunia, kemahiran bermain bola sepak dan ilmu akhirat," katanya.

Sementara itu, seorang pelatih yang ditemui, Mohd. Shafiz Roslan, 10, dari Kampung Semut Api dekat sini, berkata, dia gembira kerana dapat memasuki akademi tersebut bagi mempelajari teknik bermain bola sepak dengan betul.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya bermain bola sepak mengikut minat dan melihat cara pemain-pemain bola sepak profesional bermain, tanpa sebarang bimbingan daripada mana-mana jurulatih.

"Sebelum ini saya bermain bola dengan tidak mempunyai asas, namun sejak berada di sini saya dapat pelbagai teknik terutama selaku penjaga gol," kata murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Semut Api itu.

Anak kedua dari tiga beradik ini memberitahu, dia cukup meminati corak permainan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang telah membantu negara mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Seorang lagi pelatih, Shahrul Nizam Ramli, 12, dari Kampung PCB pula berkata, dia sangat meminati sukan bola sepak dan memutuskan untuk memasuki akademik tersebut bagi meningkatkan lagi corak permainannya.

Dia yang merupakan pemain bola sepak Sekolah Kebangsaan Semut Api berkata, penglibatannya dalam sukan tersebut mendapat sokongan padu daripada kedua ibu bapanya.

"Sepanjang berada di akademi, saya kerap didedahkan dengan siri perlawanan, secara tak langsung ini meningkatkan keyakinan diri saya terlibat secara lebih serius dalam sukan ini pada masa hadapan," katanya yang bercita-cita untuk mewakili Kelantan dan negara suatu hari nanti.

Dalam pada itu, seorang bapa, Mohd. Aziz Awang, 44, berkata, dia menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Mohd. Lokeman menubuhkan akademi bola sepak tersebut untuk mencungkil bakat-bakat baru di kalangan kanak-kanak tempatan.

"Dengan adanya program seperti ini, ia dapat membantu kanak-kanak mengisi masa lapang dengan aktiviti yang lebih berfaedah, selain mendedahkan mereka teknik bermain bola sepak dengan betul.

"Saya dapat tahu mengenai program ini dari anak saya, selepas itu saya terus datang dan mendaftarkannya untuk menyertai akademi ini," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Imigresen berkas 182 PATI

Posted:

Imigresen berkas 182 PATI

Imigresen berkas 182 PATI

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Sebahagian daripada pendatang tanpa izin menaiki kenderaan Jabatan Imigresen Kelantan untuk dibawa ke depot jabatan itu di Tanah Merah, baru-baru ini.


KOTA BHARU 31 Jan. - Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri memberkas seramai 182 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negeri dalam beberapa operasi sepanjang bulan ini.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Hasimie Musa berkata, PATI terbabit ditahan dalam beberapa serbuan di Kuala Krai, sekitar bandar ini dan Tumpat.

Beliau berkata, selain masuk secara haram, PATI terbabit turut ditahan atas pelbagai kesalahan lain seperti bekerja sebagai buruh binaan dan menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO).

Katanya, dalam operasi terbaru malam semalam, pihaknya menahan 37 PATI warga Kemboja dalam beberapa serbuan di Kampung Penambang dan sekitarnya, dekat sini.

Menurutnya, serbuan tersebut bermula kira-kira pukul 9 malam dan berakhir pukul 6 pagi melibatkan seramai 20 pegawai penguat kuasa.

"Hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, satu serbuan dilakukan keatas beberapa buah rumah di Kampung Kubur Banggol, Kedai Buloh dan Kelochor dekat sini.

"Kita berjaya menahan 22 perempuan dan 15 lelaki warganegara Kemboja berusia antara 14 dan 51 tahun, kebanyakannya bekerja kampung dan mengambil upah menjahit baju," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya mengenal pasti modus operandi digunakan oleh PATI terbabit dengan salah seorang daripada mereka mempunyai taraf penduduk tetap (PR) dan mengajak saudara-mara di negara asal datang serta tinggal di sini.

Jelasnya, semasa serbuan dilakukan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku namun, terdapat insiden pegawai penguat kuasa terpaksa mengejar PATI yang cuba meloloskan diri.

Mohd. Hasimie memberitahu, PATI terbabit ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan sebahagian lagi di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk tinggal di negara ini.

"Kesemua PATI terbabit telah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pemandu teksi, kereta sewa bantu polis

Posted:

Pemandu teksi, kereta sewa bantu polis

Pemandu teksi, kereta sewa bantu polis


Azham Othman (dua dari kiri) beramah mesra dengan pemandu kereta sewa sambil diiringi Roomaino Ali (kiri) di Stesen Kereta Sewa Jalan Doktor, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID


KOTA BHARU 31 Jan. - Pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini diharap dapat berperanan sebagai 'mata dan telinga' dalam menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengurangkan kadar jenayah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mereka mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat ketika menjalankan kerja seharian.

"Oleh itu, polis sangat memerlukan maklumat daripada masyarakat seperti pemandu teksi dan kereta sewa dalam memerangi jenayah secara berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Memerangi Jenayah 2011 bersama pengusaha pengangkutan awam di sini, hari ini.

Turut hadir Penasihat Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kelantan, Roomaino Ali.

Seramai 250 pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini hadir pada pelancaran kempen itu.

Menurut Azham, pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negeri merupakan kumpulan pertama yang dipilih untuk menyertai kempen tersebut bagi memastikan ia berjaya mencapai matlamatnya.

"Kita mahu memastikan jenayah di negeri ini dapat dikurangkan secara drastik dan kempen itu akan dilakukan secara berterusan.

"Selepas pemandu teksi dan kereta sewa, kita akan menjalin kerjasama dengan persatuan pengangkutan awam yang lain pula pada masa terdekat ini," jelas beliau.

Sementara itu, katanya, semua unit dan cawangan polis di daerah ini akan digabungkan sempena Ops Bersepadu bagi mencegah jenayah semasa Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Tambahnya, meskipun kadar jenayah di daerah ini dapat dikurangkan dua peratus sejak awal tahun, tetapi usaha perlu diteruskan untuk meningkatkan pencapaian itu lagi.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan