Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Banjir di 4 negeri semakin buruk

Posted:

Banjir di 4 negeri semakin buruk

Banjir di 4 negeri semakin buruk

Oleh KAMIL MASLIH, AINOL AMRIZ ISMAIL, MOHD. FAIRUZ YUSOF dan AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my


Penduduk Segamat mengharungi air hampir paras pinggang apabila bandar itu ditenggelami akibat banjir, semalam.


KUALA LUMPUR 31 Jan. - Keadaan banjir di beberapa buah negeri semakin buruk apabila meragut tiga nyawa hari ini masing-masing dua di Johor dan seorang di Melaka.

Keadaan banjir yang dilaporkan di Johor semalam juga semakin merebak ke beberapa buah negeri lain termasuk di Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Beberapa buah pusat pemindahan mangsa banjir di kesemua negeri tersebut juga mula menerima mangsa-mangsa banjir dan jumlahnya semakin meningkat sehingga petang ini.

Di JOHOR, seramai 39,304 penduduk negeri ini terpaksa dipindahkan ke 241 pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dilanda banjir hari ini.

Hujan lebat berterusan sehingga tahap amaran merah oleh Jabatan Meteorologi menyebabkan paras air di kebanyakan sungai di negeri ini telah mencecah paras bahaya termasuk Sungai Segamat, Sungai Muar, Sungai Bekok dan Sungai Mengkibol.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bencana banjir kini berada pada tahap serius namun pihaknya telah menggerakkan setiap jentera kerajaan untuk membantu penduduk yang terlibat.

"Kita melibatkan setiap pihak termasuk tentera, polis, bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk membantu memindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir ke tempat lebih selamat.

"Kami turut mengenal pasti lokasi-lokasi banjir dan mengerahkan setiap aset termasuk trak, bot serta helikopter untuk membawa keluar mangsa banjir," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Beliau berkata, setiap daerah di negeri Johor terjejas dalam banjir kali ini dengan Segamat yang paling teruk membabitkan seramai 9,539 mangsa diikuti Kluang (7,013), Johor Bahru (6,882), Ledang (1,616), Kulaijaya (1,426), Muar (1,283), Batu Pahat (736), Kota Tinggi (180), Pontian (126) dan Mersing (99).

Di NEGERI SEMBILAN pula, Seramai 4,198 penduduk di beberapa daerah sekitar negeri ini dipindahkan malam tadi hingga lewat petang ini berikutan hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, jumlah berkenaan meningkat sejak petang ini apabila beberapa kawasan masih lagi dilanda banjir berikutan paras Sungai Muar dekat daerah kecil Gemas naik mendadak.

''Sehingga pukul 12.45 tengah hari, jumlah mereka yang dipindahkan ialah seramai 4,198 orang dan ia dijangka meningkat berikutan keadaan laporan cuaca yang menunjukkan hujan akan terus berlaku di beberapa kawasan lewat petang ini dan sebelah malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Ali yang juga Setiausaha Kerajaan negeri memberitahu, sebanyak 22 pusat pemindahan sementara telah dibuka dan bantuan segera kepada mangsa banjir telah disalurkan pelbagai agensi penyelamat.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan banjir yang berlaku ini disebabkan hujan lebat tanpa henti.

''Kawasan paling teruk ialah di sekitar Tampin dan Gemas di mana, lebih 1,500 orang telah dipindahkan, katanya ketika ditemui pemberita di Nilai, hari ini.

Di PAHANG, seramai 690 orang dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat dan banjir di empat daerah negeri ini hari ini.

Antara kawasan terjejas adalah Raub, Bentong, Maran dan Rompin.

Selain itu beberapa laluan utama turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan jalan terbabit dinaiki air antara 0.5 hingga dua meter.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohd. Fauzi Abdul Rahim berkata, daerah Raub mencatatkan jumlah kawasan tertinggi yang dilanda banjir melibatkan 13 kampung dengan mangsa banjir seramai 204 orang.

Beliau memberitahu, beberapa jalan di sekitar negeri ini turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan paras air meningkat di laluan terbabit.

Katanya, bagi daerah Bentong, jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Karak-Kuala Pilah di kilometer 9, kilometer 12 dan kilometer 13.

Tambahnya, Jambatan Kampung Bubuk Batu di Rompin ditutup kepada semua kenderaan kecuali kilometer 5, Jalan Felda Selancar yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

"Beberapa jalan di Bera pula ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan alternatif Kampung Pasal-Kampung Pelangi 8 ke Muadzam Shah dan kilometer 22 Jalan Kemayan-Jalan Ladang Risda Berat.

"Jalan di Kilometer 24 Jalan Maran-Jerantut di Maran hanya dilalui oleh kenderaan berat sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan di sini hari ini.

Di MELAKA, seramai 2,014 orang daripada 510 keluarga di Jasin dan Alor Gajah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.2 hingga 0.4 meter berikutan hujan lebat sejak semalam hingga hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Asahan dan Simpang Bekoh di Jasin manakala Taman Seri Bayu, Rembia serta Seri Pengkalan di Alor Gajah.

Menurutnya, empat kawasan yang teruk dilanda banjir melibatkan 1,397 penduduk iaitu 306 penduduk dari Asahan, Sungai Bekoh (276), Taman Seri Bayu (538) dan Seri Pengkalan (277) manakala selebihnya dari Tehel, Batang Melaka, Lipat Kajang dan Melaka Pindah.

Beliau berkata, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara yang telah dibuka sejak malam tadi iaitu 19 di Jasin dan tujuh lagi di Alor Gajah.

Beliau menambah, tiga jalan utama terpaksa ditutup buat sementara waktu sejak awal pagi hingga tengah hari ini kerana dinaiki air antara 0.2 hingga 0.4 meter.

Katanya, jalan tersebut ialah dari jalan dari Pekan Lubuk China ke Simpang Ampat, Seri Pengkalan ke Alor Gajah dan Seri Pengkalan ke Rembia.

Mohd. Ali berkata, banjir berpunca berikutan limpahan air daripada tiga sungai iaitu satu di Alor Gajah dan dua di Jasin berikutan hujan berterusan sejak semalam hingga hari ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kaji sistem amaran awal banjir

Posted:

Kaji sistem amaran awal banjir

Kaji sistem amaran awal banjir

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin bersama isteri, Noorainee Abdul Rahman melawat Raman a/l Madaran yang terlantar akibat patah pinggang semasa melawat penempatan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis, Segamat, Johor, semalam. - UTUSAN/Nasirrudin Yazid


LABIS 31 Jan. - Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengkaji sistem amaran awal banjir yang lebih berkesan dalam usaha membantu penduduk untuk berpindah dengan cepat dan selamat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membawa perkara tersebut dalam perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran usaha memindahkan mangsa banjir.

"Kalau kita lihat, banjir boleh berlaku begitu pantas dengan arus deras yang mungkin boleh membahayakan nyawa penduduk. Saya akan berbincang dengan MKN agar kita dapat memperkenalkan sistem amaran awal banjir.

"Kita akan mengkaji sistem-sistem amaran yang telah dipraktikkan di luar negara dan berharap dapat melaksanakannya segera kerana banjir boleh berlaku secara luar jangka," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Agama Labis di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pusat itu menempatkan 830 orang daripada 137 keluarga yang terjejas apabila banjir melanda beberapa kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di sekitar Labis.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah menggerakkan setiap agensi berkaitan untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke lokasi yang lebih selamat.

"Kita telah mengerahkan tentera serta pasukan penyelamat yang lain untuk melakukan operasi menyelamat dan membantu para penduduk.

"Mengambil kira situasi banjir pada 2006 dan 2007, kita telah pun mempunyai pengalaman untuk membantu para penduduk menghadapi bencana banjir yang teruk ini," katanya.

Katanya, bencana banjir yang melanda di Labis, Segamat, Kluang, Ledang dan beberapa daerah lain sejak dua hari lalu berpunca daripada hujan lebat yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Beliau juga telah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan meminta kerajaan negeri melaksanakan segala usaha bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Saya turut meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu operasi pemindahan mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata, pengalaman Johor semasa berdepan banjir besar pada penghujung 2006 dan awal 2007 apabila puluhan ribu rakyat menjadi mangsa dan ditempatkan di pusat-pusat pemindahan, amat berguna dalam menghadapi bencana banjir kali ini.

Sehingga pukul 2 petang ini, seramai 39,304 orang telah dipindahkan ke 241 pusat pemindahan di seluruh negeri ini akibat banjir.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

PM tertarik tenaga alternatif di Masdar

Posted:

PM tertarik tenaga alternatif di Masdar

PM tertarik tenaga alternatif di Masdar

ABU DHABI 31 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, satu kajian akan dilaksanakan mengenai tenaga alternatif yang sedang dibangunkan oleh Abu Dhabi bagi melihat sama ada teknologi yang terlibat boleh diguna pakai di Malaysia.

"Jika inilah keadaannya, kita akan menggalakkan bandar raya Masdar dan Mubadala Development Company untuk melabur atau bekerjasama dengan rakan di Malaysia bagi membangunkan tenaga alternatif di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sebelum berlepas pulang selepas mengadakan lawatan kerja sehari ke Abu Dhabi di mana beliau merasmikan forum "Invest Malaysia 2011" semalam.

Najib telah mengambil peluang itu untuk melawat bandar raya Masdar, satu pembangunan meneutralkan karbon bernilai berbilion dolar di padang pasir Abu Dhabi.

Bandar raya Masdar adalah satu pembangunan mesra pejalan kaki berkapadatan tinggi teknologi tenaga diperbaharui dan bersih yang sedang dilaksanakan dan akan datang, dipamerkan, dipasarkan, dilakukan penyelidikan, dibangunkan, diuji dan dilaksanakan.

Menjelaskan lebih lanjut, Najib berkata, kajian itu, antara lain akan mengkaji aspek kos menggunakan sumber tenaga diperbaharui seperti solar dan angin.

"Kita ingin tahu sebagai contoh, kos tenaga solar setiap jam kilowatt, sama ada ia opsyen berdaya maju berbanding tenaga yang sedang dikeluarkan melalui grid kuasa nasional," katanya.

Malaysia, katanya, juga berminat mempelajari lebih banyak mengenai pengalaman Emiriah Arab Bersatu (UAE) di dalam pembangunan tenaga nuklear.

Melalui perancangan bagi penempatan 50,000 penduduk serta ratusan perniagaan, bandar raya Masdar akan menyepadukan sepenuhnya pelbagai tenaga diperbaharui dan teknologi mampan, yang merentasi kehidupan dan pekerjaan komuniti itu.

Masdar, satu syarikat kepelbagaian tenaga diperbaharui, adalah satu anak syarikat milik penuh Mubadala Development Company, iaitu jentera pelaburan kerajaan Abu Dhabi. - BERNAMA

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan